Friday, September 12, 2014

Salam Sabtu 13092014

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Hari ini cuti umum. Kali ini kami tiada perancanagan untuk keluar dari Miri. Suami sudah keluar bertemu kontraktor untuk projek rumah kedua. Rumah lama tapi lokasi lebih strategik. Perlu dibaiki beberapa bahagian rumah yang rosak. Harapnya apabila berpindah ke situ, masa di dalam kenderaan dapat dijimatkan. Saya baru selesai masak makanan tengahari. Sambil menunggu pakaian di dalam mesin basuh siap. Khairil Ammar tidur setelah bangun awal. Mungkin sudah biasa rutin di hari persekolahan. Saya berikan sarapan biskut. Selesai mandi, dia tidur kembali. 

Semalam saya mengambil kesempatan memperbaharui passport antarabangsa. Sudah luput sejak akhir tahun lepas. Meski tidak punya perancangan terdekat, saya perlu bersedia. Paling tidak bersiar-siar ke negara jiran Brunei. Proses membuat dan memperbaharui passport kini lebih efisien. Sejam selepas membuat pembayaran, passport sudah siap. Terasa berbaloi membayar wang cukai. Namun terdapat proses jabatan lain yang masih perlu diperbaiki. Sekurang-kurangnya proses membuat mykad, mykid dan passport sudah menjimatkan masa. 

Dua kali saya perlu berulang-alik ke pejabat imigresen kerana tidak dapat menunggu lama. Saya memerhati seorang tua kaum cina menjual pembalut passport dengan harga RM5.00. Saya perhatikan dia. Pandai dia mencari peluang. Saya membeli dua set, meski pun sebenarnya saya kurang perlu pembalut tersebut. Sudah rezeki dia melalui saya. Jika suami tahu, pasti dia memberi pendapat tersendiri. Senyap saja.

Saya membeli kerana kasihan melihat tubuh tua yang berjalan perlahan mengejar bakal pelanggan. Tidak dinafikan ada yang tidak suka diekori. Bisik hati kecil. Kalau pun saya terserempak lagi dengan penjual tersebut, mungkin tahun depan. Passport Najah Munirah akan luput setelah 5 tahun. 

No comments:

Post a Comment