Wednesday, September 24, 2014

Salam Rabu 24092014

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Hari ini saya berada di Kerteh, Terengganu. Ada tugasan dua hari. Sampai melalui lapangan terbang Kuantan malam tadi. Sekitar pukul 9.00 malam baru selamat tiba di hotel. Perjalanan dari Miri bermula pukul 12.00 tengahari. Dua pesawat perlu dinaiki. Sudah lama saya tidak mempunyai tugasan luar daerah.  Mabuk kenderaan pula saya di dalam teksi. Malu.

Bilik hotel mengadap laut. Indah pemandangan pantai timur. Rasanya sudah lebih 5 tahun saya tidak menjejak kaki ke pantai timur. Banyak bangunan baru. Sepatutnya saya membawa kasut sukan. Lebih selesa untuk bersiar-siar di tepi pantai.

Semasa dalam pesawat ke Kuantan, saya duduk di tepi tingkap. Di sebelah saya pasangan kekasih. Mungkin juga baru berkahwin. Mereka sungguh mesra. Bisik hati. Kenapa perlu menunjuk-nunjuk. Tapi saya pilih untuk bersangka baik. Mungkin mereka dalam fasa bahagia. Biarkan saja. Mereka sudah dewasa untuk berfikir. Saya teruskan aktiviti membaca. Itu matlamat saya untuk tugasan luar daerah. Sekurang-kurangnya saya habis membaca sebuah buku. Kerana saya tidak mempunyai masa lain untuk aktiviti membina minda ini. Saya membaca sahaja. Hati saya lebih tenang daripada mulanya sibuk membuat penilaian pada pasangan tersebut.

Menilai. Suatu tindakan luar sedar yang selalu kita lakukan pada sesiapa. Kadangkala penilaian yang terlalu rumit membuatkan kita menjadi emosi dan negatif. Saya harap saya boleh melatih hati untuk tidak menilai terlalu kompleks. Jauhkan juga untuk menjadi penghukum disebabkan penilaian kita yang entah betul entahkan tidak.

Perut sudah lapar. Mencari makan malam versi pantai timur.

No comments:

Post a Comment