Wednesday, September 10, 2014

Salam Khamis 11092014

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Khairil Ammar bangun sebelum Subuh. Saya serahkan pada suami buat sementara waktu. Bergilir sambil menyiapkan kerja di dapur. Najah Munirah juga mudah bangun pagi ini. Tadika ada membuat lawatan ke taman hari ini. Kanak-kanak lebih suka suasana begitu. Tidak terperuk di dalam kelas. Salah satu kriteria apabila kami memilih tadika ialah kekerapan membuat lawatan. Saya tidak kisah jika mereka belum pandai membaca. Saya lebih suka jika pihak tadika rajin mengadakan lawatan. Hari ini saya menghantar ketiga-tiganya. Bermaksud tiga destinasi berbeza. Sekali sekala memberi masa suami bersendirian di rumah. Dia perlukan lebih masa untuk membaca.

Minggu ini cuti hujung minggu agak panjang di Sarawak untuk sesetengah pekerja swasta. Sempena hari jadi TYT Sarawak pada hari Sabtu. Esok kami mendapat cuti ganti. Perlu membuat senarai urusan yang perlu diselesaikan di kaunter pejabat kerajaan dan bank. Mereka masih bekerja esok hari. Peluang sebegini bukan selalu datang. Anak-anak sudah teruja cuti sekolah minggu depan. Sudah membuat permintaan mahu melepak di rumah nenek. Saya tidak begitu gemar sebenarnya. Bimbang karenah anak-anak akan memenatkan ibu bapa saya. Disebabkan itu, saya tidak mahu mereka bermalam di rumah nenek mereka tanpa saya atau suami berada sama. Mereka perlu masa bersendirian untuk berehat dan beribadat.

No comments:

Post a Comment