Suami sudah keluar menghantar dua beradik ke sekolah dan tadika. Segar bugar Najah Munirah hari ini. Hari kedua dia tidak meragam. Faktor pembesaran harap-harapnya. Khairil Ammar baru tidur kembali setelah bangun sebelum subuh. Sarapan sudah. Pakaian juga sudah di ampaian. Saya jarang menjemur di luar rumah. Selalunya matahari masih malu, saya sudah keluar. Matahari terbenam saya baru sampai. Disebabkan itu, satu bilik dikhaskan untuk mesin basuh dan menjemur pakaian. Kipas dihidupkan sentiasa untuk pengeringan yang lebih berkesan. Belum terdesak membeli mesin pengering. Semasa di Manchester juga saya jarang menggunakan mesin tersebut. Maklum saja bajet kami sebagai pelajar, mahu berjimat bil elektrik sebenarnya.
Semalam saya berborak dengan seorang kawan di pejabat. Perihal soalan bocor UPSR. Terkejut saya dengan realiti. Rupanya saya tidak tahu dunia hari ini. Ada pihak tergamak menyuap jawapan pada anak-anak kerana mahu menjaga nama baik sekolah. Sehinggakan ada anak-anak yang tidak cemerlang ditukar ke sekolah lain kerana bimbang akan mencemar keputusan keseluruhan sekolah. Terkesima saya mendengar. Hanya kerana imbuhan wang ringgit dari pihak atasan, sanggup pihak pengurusan bawahan membuat keputusan sebegitu. Tiba-tiba saya takut mengenangkan masa depan. Anak-anak saya. Anak-anak kita. Anak-anak anda. Semoga masih ramai guru-guru yang benar-benar berjiwa pendidik. Jauh lagi perjalanan hidup anak-anak itu. Cemerlang mereka kerana hafalan jawapan. Tapi bagaimana mereka mahu meneruskan pengajian di peringkat menengah jika asas mereka sebenarnya goyah.
Bimbang dan cemas.
No comments:
Post a Comment