Dua minggu yang lalu Najah ada tugasan semasa cuti. Dia perlu membuat satu projek tentang 'rumah saya'. Syaratnya 90% tugasan tersebut dilakukan oleh anak-anak. Cuma 10% atas bantuan ibu bapa. Tidak pasti pula peratusan bantuan saya dalam projek ini. Saya cuma mencantumkan kotak dengan selotap. Kerja-kerja seni yang lain saya serahkan kepada Najah Munirah.
Di sini saya kongsikan beberapa langkah mudah.
1) Kotak bijirin sarapan
Saya ada habit menyimpan kotak-kotak bijirin. Tidak kira bijirin kanak-kanak atau dewasa. Pasti ada kegunaannya.
2) Mencantum dan membentuk rumah
Buka kotak tersebut dengan berhati-hati. Terbalikkan dan cantumkan setiap bahagian dengan gam atau selotap. Saya selalu nak cepat. Maka gunalah selotap sahaja. Pastikan semua bahagian dicantum dengan rapi. Bentukkan bahagian atas kotak menjadi atap. Gunakan imaginasi masa zaman kanak-kanak dahulu. Atap rumah semestinya berbentuk huruf 'A'.
3) Melukis bahagian rumah
Proses ini saya serahkan pada Najah Munirah 100%. Tidak perlu sempurna. Saya biarkan dia memilih berapa tingkap yang dia mahu. Warna apa yang dia suka. Proses ini sangat penting untuk menggalakkan imaginasi di luar kotak. Tidak kisah lah tingkap banyak tapi tak ada pintu. Layankan saja.
4) Tapak rumah
Ambil satu lagi kotak bersaiz kertas A4 sebagai tapak rumah. Lebih mudah rumah berdiri dan dipamer di sekolah. Kalau rajin boleh tambah taman dan kereta. Tapi semasa projek ini, Khairil Ammar sudah mengamuk kerana mengantuk. Maka rumah saja yang siap.
Selamat mencuba.
No comments:
Post a Comment