Showing posts with label Pendidikan awal kanak-kanak. Show all posts
Showing posts with label Pendidikan awal kanak-kanak. Show all posts

Sunday, September 27, 2015

Mengajar anak aktiviti jual beli

Teks dan foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Sepanjang cuti sekolah yang lalu kami tidak ada perancangan keluar dari Miri. Harith Fakhruddin dan Najah Munirah cuma bercuti di rumah nenek.

Musim buah-buahan masih berlangsung dan makcik saya ada dusun rambutan. Sengaja saya memesan sekiranya mereka menjual sebarang jenis buah, jangan lupa memberitahu saya. Saya mahu Harith dan Najah terlibat dalam aktiviti jual beli. 

Kebetulan mereka berada di rumah makcik saya Sabtu lepas. Menjual rambutan sebagai pendedahan awal aktiviti jual beli meskipun sekadar membantu memasukkan rambutan ke dalam plastik. Pengalaman itu yang berharga.


Saturday, September 12, 2015

Aktiviti anak-anak dihujung minggu : Membuat kek mikro

Teks dan foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Sudah lama saya tidak membuat aktiviti dapur bersama anak-anak. Sejak berpindah dan keadaan rumah baru yang belum mempunyai oven menyebabkan saya menangguh sebarang projek. Sejak beberapa hari ini, viral di Facebook tentang resepi kek cawan. Seronok Harith Fakhruddin dan Najah Munirah apabila diajak. Harith membaca resepi dan Najah memasukkan bahan-bahan.

Saya kongsikan resepi yang saya gunakan pagi tadi.

Bahan-bahannya:
  1. 4 sudu besar milo
  2. 4 sudu gula kastor
  3. 4 sudu besar tepung gandum
  4. 4 sudu besar susu segar
  5. 4 sudu besar minyak masak
  6. Sebiji telur
  7. Sedikit baking powder
  8. Bahan tambahan - Chocolate chips 
  9. Bahan hiasan - Kepingan badam yang dibakar terlebih dahulu
Cara membuatnya:
  1. Gaulkan semua bahan
  2. Masukkan ke dalam bekas ceramic
  3. Bakar dalam ketuhar mikro selama 3 minit
Setelah siap. Mereka makan berkongsi. Boleh lah untuk menahan lapar sebelum makan tengah hari.
Selamat mencuba.



Monday, September 7, 2015

Aktiviti biasa di halaman rumah

Teks dan foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham


Salam Selasa.

Minggu lepas saya belikan penyiram bunga berbentuk gajah ini untuk HaNaMar. Kanak-kanak perlukan rutin menghirup udara luar setiap hari untuk lebih ceria.

Setiap kali Khairil Ammar merengek manja meminta untuk didukung, saya akan membiarkan dia berjalan di halaman rumah. Selesai melepaskan penat membakar lebihan tenaga, dia akan tidur lebih lena. 

Harith Fakhruddin dan Najah Munirah cukup gembira disuruh menyiram bunga. Jika mereka menyiram lantai, mama pejam sebelah mata.

Friday, August 21, 2015

Permainan bahasa


Teks dan foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Secara peribadi saya rasa sukar mempelajari bahasa. Terutama memahami peraturan tatabahasa. Saya kagum dengan mereka yang mempunyai kemahiran bahasa yang tinggi. Sehingga kini saya masih cuba memperbaiki penggunaan perkataan.

Harith Fakhruddin gemar dengan permainan Scrabble. Membina perkataan bahasa Inggeris dari beberapa huruf. Cuma situasi agak mencabar apabila Khairil Ammar ingin turut serta.

Selalunya saya tidak sempat untuk duduk dan turut serta. Saya cuma menunjukkan cara untuk merujuk kamus bagi mencari perkataan yang sesuai. Proses ini menjadi kegemaran mereka. Najah Munirah belum boleh membaca kamus tapi sudah boleh diajak meramaikan kuota pemain.


Tuesday, May 12, 2015

Permainan murah dari dapur sendiri

Teks dan foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Saya selalu menyimpan benda terbuang seperti kitchen roll tissue yang sudah habis tisu nya. Malam tadi saya meluangkan masa selama 15 minit untuk bermain bersama Khairil Ammar.

1) Lekatkan kitchen roll tissue pada mana-mana bahagian dinding menggunakan sellotape.

2) Letak basin dapur di bahagian bawah kitchen roll tissue.

3) Biarkan anak-anak mengambil pom pom berwarna-warni dan meletakkan ke dalam kitchen roll tissue. Mereka akan mengulang aktiviti ini sehingga bosan.

Di samping itu, saya menerangkan kepada Ammar tentang warna dan bilangan pom-pom yang dipegangnya. Permainan ini penting untuk motor skill anak-anak untuk menguatkan jari jemari comel mereka.

Selamat mencuba.


3 cara mengitar semula alat permainan lama

Teks dan foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Rasanya semua ibu bapa ada pendapat yang sama. Anak-anak tertarik dengan permainan baru untuk jangkamasa yang sangat pendek. Baru saja beli pagi tadi, esok pagi sudah berkurangan minat mereka. Berbeza dengan sesuatu barang bukan permainan seperti besen, periuk dan bekas-bekas makanan yang tersusun di rak. Semua ini lebih menarik daripada permainan berharga puluhan malahan ratusan ringgit.

Beginilah cara saya menyimpan permainan anak-anak.

1) Bahagikan permainan mengikut hari tertentu. Contohnya hari Isnin, bekas yang paling atas akan dibuka terlebih dahulu. Bekas-bekas lain tidak boleh dibuka sehingga tiba hari yang sepatutnya.

2) Kumpulkan kategori permainan yang pelbagai di dalam setiap bekas. Saya letakkan permainan yang mempunyai muzik, bola, patung dan kenderaan di dalam setiap bekas. Anak-anak akan bermain mengikut kegemaran mereka pada hari tertentu.

3) Kekalkan sensasi membuka bekas seperti membuka kotak permainan baru. Anak-anak teruja dengan aktiviti sebegini. Di harap dengan menyimpan secara berasingan, maka keseronokan bermain dapat diulang.

Selamat mencuba.

Monday, May 4, 2015

5 langkah mengitar semula pelbagai kotak

Teks dan foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Saya selalu menyimpan kotak-kotak bijirin, kotak biskut dan kotak ubat gigi. Kali ini saya kongsikan bagaimana saya membuat ruang di dalam laci daripada kotak-kotak tersebut.

1) Langkah pertama ialah dengan menyusun semua kotak yang sesuai mengikut saiz keseluruhan laci. 

2) Tandakan dengan menggunakan marker ketinggian semua kotak tersebut.

3) Gunting atau potong lebihan kotak di bahagian atas.

4) Anda boleh membalut kotak-kotak kecil tersebut untuk lebih comel dan kemas.

5) Setelah siap, susun semua benda mengikut saiz ruang kotak yang comel tadi.


Selamat mencuba dan pasti anda dapat menjimatkan beberapa minit masa berharga mencari barang yang kecil di dalam laci yang mempunyai barang yang banyak.

5 aktiviti yang boleh dilakukan di pantai bersama anak-anak

Teks dan foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham
Pantai adalah tempat yang penting untuk dikunjungi semasa anak-anak sedang membesar. Suasana santai menikmati keindahan laut sesuai untuk mengajar anak-anak tentang beberapa perkara asas.

Saya senaraikan 5 aktiviti mudah semasa berada di pantai.

1) Mengajar anak-anak tentang tekstur pasir. Biarkan mereka berkaki ayam. Bermain, menggengam pasir dan membina istana pasir adalah bagus untuk menggalakkan imaginasi dan rangsangan pada deria kulit.

2) Meminta anak-anak mencari beberapa sampah yang berada di sekitar pantai. Aktiviti ini mengajar anak-anak supaya menjaga kebersihan dan mengekalkan keindahan alam sekitar. Terangkan pada mereka akibat sampah yang dibuang ke dalam laut holeh menyebabkan kematian penyu dan ikan kerana makan sampah yang tidak hadam.

3) Mengajar anak-anak tentang ombak dan bahaya sekiranya saiz ombak terlalu besar. Mereka perlu tahu bila boleh bermain di pantai dan bila keadaan menjadi bahaya.

4) Menerangkan kepada anak-anak tentang ciptaan tuhan yang sangat cantik. Oleh itu kita mesti sentiasa bersyukur. Bersyukur adalah suatu bentuk berterima kasih. Kita berterima kasih pada Allah dengan menunaikan solat.

5) Beriadah bersama anak-anak. Pantai adalah sangat sesuai untuk berjogging, bermain layang-layang dan bermain permainan rakyat seperti ting ting.

Salam Selasa.

Tuesday, March 31, 2015

Origami mengelakkan anak dari ketagih gajet

Teks dan foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Seni melipat ataupun origami bukan lah suatu yang asing. Saya sendiri tidak cukup sabar mengikut arahan langkah demi langkah yang teliti dan rumit.

Namun disebabkan saya tidak mahu Harith Fakhruddin terlalu taksub dengan skrin elektronik. Maka saya melabur banyak kertas kosong. Saya beli satu rim kertas kosong tanpa jenama, khas untuk dia melipat-lipat. 

Origami terawal saya perkenalkan ialah kapal terbang. Lipatan mudah dan segera siap. Pada masa tersebut segenap ceruk almari dan sudut rumah dipenuhi kertas origami kapal terbang yang berjaya mendarat. Dia akan mengulangi proses lipat dan terbangkan pesawat. Saya tidak pasti berapa bulan. 

Di dalam kereta pun penuh dengan pesawat kertas. Tetapi saya tidak pula membebel. Saya lebih suka dia bermain origami daripada memandang skrin ipad. Niat yang paling penting. Objektif kenapa kita mahu anak bermain kertas. Proses melipat-lipat itu adalah masa sel-sel otak berhubung dengan aktif. Imaginasi juga semakin bertambah.

Selepas beberapa bulan, dia seperti ketagih origami. Meskipun menonton youtube, dia menonton tutorial origami yang sukar dan rumit. Tidak pula saya kisah apabila dia menonton skrin secara aktif. Otak dan tangan masih bergerak meski mata memandang skrin.

Kini dia sudah boleh membaca arahan dari buku-buku origami. Kemahirannya meningkat. Tidak perlu tutorial, melalui bacaan langkah demi langkah dia mampu membuat lipatan yang saya sendiri tidak faham bagaimana dia membuatnya.

Sampai bila dia akan bosan saya tidak pasti. Saya juga tidak kisah. Saya anggap itu cara dia melepaskan tekanan sebagai budak darjah tiga yang bersekolah pagi. Juga sekolah agama di waktu petang serta perlu menyiap pelbagai tugasan di rumah pula setiap malam. 

Saya juga masih menyimpan beberapa helai kertas kosong di dalam kereta. Tidak akan bosan Harith Fakhruddin.


Monday, March 30, 2015

Cara membuat rumah kotak

Teks dan foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Dua minggu yang lalu Najah ada tugasan semasa cuti. Dia perlu membuat satu projek tentang 'rumah saya'. Syaratnya 90% tugasan tersebut dilakukan oleh anak-anak. Cuma 10% atas bantuan ibu bapa. Tidak pasti pula peratusan bantuan saya dalam projek ini. Saya cuma mencantumkan kotak dengan selotap. Kerja-kerja seni yang lain saya serahkan kepada Najah Munirah.

Di sini saya kongsikan beberapa langkah mudah.

1) Kotak bijirin sarapan

Saya ada habit menyimpan kotak-kotak bijirin. Tidak kira bijirin kanak-kanak atau dewasa. Pasti ada kegunaannya.


2) Mencantum dan membentuk rumah

Buka kotak tersebut dengan berhati-hati. Terbalikkan dan cantumkan setiap bahagian dengan gam atau selotap. Saya selalu nak cepat. Maka gunalah selotap sahaja. Pastikan semua bahagian dicantum dengan rapi. Bentukkan bahagian atas kotak menjadi atap. Gunakan imaginasi masa zaman kanak-kanak dahulu. Atap rumah semestinya berbentuk huruf 'A'. 

3) Melukis bahagian rumah

Proses ini saya serahkan pada Najah Munirah 100%. Tidak perlu sempurna. Saya biarkan dia memilih berapa tingkap yang dia mahu. Warna apa yang dia suka. Proses ini sangat penting untuk menggalakkan imaginasi di luar kotak. Tidak kisah lah tingkap banyak tapi tak ada pintu. Layankan saja.


Mula-mula rajin nak mewarna ala pelangi. Tapi bila dah mengantuk, marker biru pun dia guna supaya cepat siap. 

4) Tapak rumah

Ambil satu lagi kotak bersaiz kertas A4 sebagai tapak rumah. Lebih mudah rumah berdiri dan dipamer di sekolah. Kalau rajin boleh tambah taman dan kereta. Tapi semasa projek ini, Khairil Ammar sudah mengamuk kerana mengantuk. Maka rumah saja yang siap.




Selamat mencuba.

Saturday, August 30, 2014

Semulajadi atau dipupuk?

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham
Sumber : Bright Start (Dr. Richard C. Woolfson)


Tidak dapat dinafikan sering terjadi pertembungan pendapat di antara perkembangan anak-anak secara semulajadi atau pun perlu dipupuk dengan cara yang bersesuaian.

Saya mengambil kira kedua-dua pendapat ini sama pentingnya dan tidak salah untuk menggunakan kedua-dua kaedah mengikut kesesuaian yang difikirkan selari dengan personaliti anak-anak yang pelbagai.

Saya kongsikan beberapa tips yang boleh kita ikuti bersama.

1. Bermainlah dengan anak-anak
  • Cari masa untuk bermain setelah seharian kita menghabiskan masa menguruskan rumah, bekerja di pejabat dan melakukan pelbagai komitmen hidup. Itu hak mereka sebagai anak-anak. Masa bermain adalah masa mereka mendapat sepenuh perhatian daripada kita sebagai ibu bapa.
2. Perkembangan adalah bersifat variasi
  • Ada masanya kita mendapati anak-anak menguasai kemahiran baru dengan cepat. Manakala, ada pula masa kita menyedari perkembangan mereka tidak banyak berubah. Bertenanglah kerana ini adalah suatu yang normal.
3. Kenalpasti kegemarannya
  • Cuba perhati apa yang menarik minatnya. Adakah permainan berbentuk pengiraan ataupun permainan bersifat imaginasi seperti bermain anak patung yang menjadi pilihannya.
  • Setelah mengenal pasti kecenderungan anak-anak, maka lebih mudah untuk anda merancang aktiviti stimulasi yang lain.
4. Terima dia sebagai seorang individu
  • Anak nombor tiga mungkin tidak berminat dengan nombor seperti abang sulungnya atau kakaknya yang pandai berimaginasi.
  • Terima kelebihan dia sebagai seorang individu kecil yang berpotensi.
5. Peranan ibu bapa
  • Kita mungkin tidak dapat menukar keupayaan anak-anak yang cenderung dalam bidang masing-masing. 
  • Namun kita boleh menggalak perkembangan positif anak-anak mengikut minat mereka yang tersendiri.

Semoga bermanfaat.
Sumber gambar : Google

Salam dari bumi kenyalang.

Friday, August 29, 2014

Sikap ibu bapa semasa aktiviti stimulasi

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham
Sumber : Bright Start (Dr. Richard C. Woolfson)


Tidak dapat dinafikan sikap ibu bapa memainkan peranan penting di dalam sesuatu sesi stimulasi. Terlalu memaksa anak-anak untuk mencapai sasaran pencapaian sebagaimana rajah perkembangan boleh menyebabkan tekanan yang tidak berasas.

Sikap terlalu sambil lewa dan acuh tak acuh dalam memperuntukkan masa yang sepatutnya bersama dengan anak-anak juga tidak boleh diamalkan sama sekali. Keseimbangan sikap perlu dicapai dalam menyokong perkembangan sihat anak-anak.

Saya senaraikan beberapa tips yang boleh kita ikuti bersama.

1. Jujur pada diri sendiri

  • Sebagaimana manusia biasa, ada hari yang terlalu memenatkan kita. Tugasan pejabat yang terlalu mendesak dan mesyuarat yang perlu dihadiri sepanjang hari. Pastinya keadaan badan sudah lemah longlai setelah sampai di rumah.
  • Maka mood untuk bermain dengan anak-anak juga pastinya hanya di dalam mimpi sahaja. Dalam keadaan begini, tidak perlulah kita memaksa diri untuk melakukan sebarang stimulasi. Cukup sekadar menyanyi bersama-sama atau membaca surah-surah lazim bersama dengan anak-anak. Pasti kita boleh melakukannya sambil berbaring di atas katil dan menutup separuh mata.
2. Elak dari sebarang pertandingan
  • Perkembangan anak-anak bukanlah untuk dibandingkan dengan anak-anak orang lain seperti anak jiran sebelah atau anak buah yang seusia dengan anak kita sendiri. 
  • Percayalah bahawa perkembangan anak-anak adalah bersifat individu mengikut personaliti masing-masing.
3. Tiada perancangan khusus
  • Biarkan anak-anak memilih permainan mereka sendiri dan bukannya kita sebagai ibu bapa menetapkan bahawa mereka perlu bermain permainan kenderaan pada hari Isnin, manakala bermain pedang pada hari Rabu.
  • Beri mereka peluang untuk membuat keputusan sendiri. Ini dapat meningkatkan keyakinan diri anak-anak.
4. Spontan
  • Lakukan semasa kita melakukan aktiviti harian seperti semasa memandu dan tersekat di dalam kesibukan lalu lintas. 
  • Contohnya, bertanya kepada anak-anak apa pendapat mereka tentang kereta yang ada di jalan raya. Tanyalah warna kereta, jenis kenderaan dan yang mana satu yang paling mereka sukai.
5. Berkomunikasi
  • Tidak salah untuk kita sebagai ibu bapa berkongsi perihal anak-anak semasa sesi mengepam susu di pejabat. 
  • Gunakan masa sebegini untuk berkongsi idea bersama-sama kawan-kawan yang mempunyai anak sebaya anak kita. Namun jangan lupa untuk tidak membuat sebarang perbandingan. Kongsi dan bukannya membanding.
Semoga bermanfaat.


Sumber gambar : Google

Salam dari bumi kenyalang.

Langkah-langkah stimulasi kanak-kanak

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham
Sumber : Bright Start (Dr. Richard C. Woolfson)

Masa yang dihabiskan sejak bayi lahir sehinggalah mereka berumur 5 tahun adalah sangat penting bagi kita sebagai ibu bapa. Stimulasi yang betul dan bersesuaian adalah perlu untuk perkembangan sihat anak-anak. Tempoh stimulasi tidak perlu lama memandangkan kesibukan kita seharian. Cukup sekadar 3 hingga 5 minit untuk setiap sesi stimulasi sudah memadai mengikut umur masing-masing. Stimulasi anak-anak yang lebih dewasa pastinya boleh dilakukan dengan kadar yang lebih lama.

Saya kongsikan beberapa tips semasa aktiviti stimulasi yang boleh kita ikuti bersama.

1.  Jangan mendominasi
  • Usah sekali-kali cuba untuk mengawal segala tindak tanduk anak-anak. Lakukan seperti di dalam satu pasukan yang memerlukan satu sama lain. Mereka juga seperti orang dewasa, sudah tentu tidak suka dipaksa-paksa.
2. Berhibur
  • Sesuatu aktiviti perlu dilakukan dalam keadaan bersuka ria dan bebas dari sebarang tekanan. Pastikan anda tidak melakukan aktiviti stimulasi ketika anak baru bangun tidur dan sedang dalam keadaan lapar.
3. Rancang aktiviti yang bersesuaian
  • Kenalpasti skil apa yang kita hendak stimulasikan kepada anak-anak. Contohnya kita mahu dia meningkatkan kemahiran koordinasi tangan. Maka carilah permainan yang sesuai dengan saiz tangan bayi untuk mereka belajar memegang permainan tersebut.
4. Beri ruang 
  • Sekiranya tangan anak-anak tadi masih belum cekap memegang permainan dan hasilnya barang permainan selalu terjatuh. Usah pula kita merasa kecewa dengan keadaan ini. Biarkan dia menyentuh saja permainan tersebut meskipun tidak sepenuhnya memegang.
5. Ucapan positif
  • Akhiri sesuatu sesi stimulasi dengan menyatakan bahawa usaha anak anda tadi sangat bagus kerana dia berusaha. Meskipun tidak berjaya sepenuhnya, nyatakan padanya bahawa kita akan membantunya sehingga berjaya. 


Sumber gambar : Google



Salam dari bumi kenyalang.