Friday, September 12, 2014

Salam Sabtu 13092014

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Hari ini cuti umum. Kali ini kami tiada perancanagan untuk keluar dari Miri. Suami sudah keluar bertemu kontraktor untuk projek rumah kedua. Rumah lama tapi lokasi lebih strategik. Perlu dibaiki beberapa bahagian rumah yang rosak. Harapnya apabila berpindah ke situ, masa di dalam kenderaan dapat dijimatkan. Saya baru selesai masak makanan tengahari. Sambil menunggu pakaian di dalam mesin basuh siap. Khairil Ammar tidur setelah bangun awal. Mungkin sudah biasa rutin di hari persekolahan. Saya berikan sarapan biskut. Selesai mandi, dia tidur kembali. 

Semalam saya mengambil kesempatan memperbaharui passport antarabangsa. Sudah luput sejak akhir tahun lepas. Meski tidak punya perancangan terdekat, saya perlu bersedia. Paling tidak bersiar-siar ke negara jiran Brunei. Proses membuat dan memperbaharui passport kini lebih efisien. Sejam selepas membuat pembayaran, passport sudah siap. Terasa berbaloi membayar wang cukai. Namun terdapat proses jabatan lain yang masih perlu diperbaiki. Sekurang-kurangnya proses membuat mykad, mykid dan passport sudah menjimatkan masa. 

Dua kali saya perlu berulang-alik ke pejabat imigresen kerana tidak dapat menunggu lama. Saya memerhati seorang tua kaum cina menjual pembalut passport dengan harga RM5.00. Saya perhatikan dia. Pandai dia mencari peluang. Saya membeli dua set, meski pun sebenarnya saya kurang perlu pembalut tersebut. Sudah rezeki dia melalui saya. Jika suami tahu, pasti dia memberi pendapat tersendiri. Senyap saja.

Saya membeli kerana kasihan melihat tubuh tua yang berjalan perlahan mengejar bakal pelanggan. Tidak dinafikan ada yang tidak suka diekori. Bisik hati kecil. Kalau pun saya terserempak lagi dengan penjual tersebut, mungkin tahun depan. Passport Najah Munirah akan luput setelah 5 tahun. 

Thursday, September 11, 2014

Salam Jumaat 12092014

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Suami sudah keluar menghantar dua beradik ke sekolah dan tadika. Segar bugar Najah Munirah hari ini. Hari kedua dia tidak meragam. Faktor pembesaran harap-harapnya. Khairil Ammar baru tidur kembali setelah bangun sebelum subuh. Sarapan sudah. Pakaian juga sudah di ampaian. Saya jarang menjemur di luar rumah. Selalunya matahari masih malu, saya sudah keluar. Matahari terbenam saya baru sampai. Disebabkan itu, satu bilik dikhaskan untuk mesin basuh dan menjemur pakaian. Kipas dihidupkan sentiasa untuk pengeringan yang lebih berkesan. Belum terdesak membeli mesin pengering. Semasa di Manchester juga saya jarang menggunakan mesin tersebut. Maklum saja bajet kami sebagai pelajar, mahu berjimat bil elektrik sebenarnya. 

Semalam saya berborak dengan seorang kawan di pejabat. Perihal soalan bocor UPSR. Terkejut saya dengan realiti. Rupanya saya tidak tahu dunia hari ini. Ada pihak tergamak menyuap jawapan pada anak-anak kerana mahu menjaga nama baik sekolah. Sehinggakan ada anak-anak yang tidak cemerlang ditukar ke sekolah lain kerana bimbang akan mencemar keputusan keseluruhan sekolah. Terkesima saya mendengar. Hanya kerana imbuhan wang ringgit dari pihak atasan, sanggup pihak pengurusan bawahan membuat keputusan sebegitu. Tiba-tiba saya takut mengenangkan masa depan. Anak-anak saya. Anak-anak kita. Anak-anak anda. Semoga masih ramai guru-guru yang benar-benar berjiwa pendidik. Jauh lagi perjalanan hidup anak-anak itu. Cemerlang mereka kerana hafalan jawapan. Tapi bagaimana mereka mahu meneruskan pengajian di peringkat menengah jika asas mereka sebenarnya goyah. 

Bimbang dan cemas.

Wednesday, September 10, 2014

Salam Khamis 11092014

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Khairil Ammar bangun sebelum Subuh. Saya serahkan pada suami buat sementara waktu. Bergilir sambil menyiapkan kerja di dapur. Najah Munirah juga mudah bangun pagi ini. Tadika ada membuat lawatan ke taman hari ini. Kanak-kanak lebih suka suasana begitu. Tidak terperuk di dalam kelas. Salah satu kriteria apabila kami memilih tadika ialah kekerapan membuat lawatan. Saya tidak kisah jika mereka belum pandai membaca. Saya lebih suka jika pihak tadika rajin mengadakan lawatan. Hari ini saya menghantar ketiga-tiganya. Bermaksud tiga destinasi berbeza. Sekali sekala memberi masa suami bersendirian di rumah. Dia perlukan lebih masa untuk membaca.

Minggu ini cuti hujung minggu agak panjang di Sarawak untuk sesetengah pekerja swasta. Sempena hari jadi TYT Sarawak pada hari Sabtu. Esok kami mendapat cuti ganti. Perlu membuat senarai urusan yang perlu diselesaikan di kaunter pejabat kerajaan dan bank. Mereka masih bekerja esok hari. Peluang sebegini bukan selalu datang. Anak-anak sudah teruja cuti sekolah minggu depan. Sudah membuat permintaan mahu melepak di rumah nenek. Saya tidak begitu gemar sebenarnya. Bimbang karenah anak-anak akan memenatkan ibu bapa saya. Disebabkan itu, saya tidak mahu mereka bermalam di rumah nenek mereka tanpa saya atau suami berada sama. Mereka perlu masa bersendirian untuk berehat dan beribadat.

Tuesday, September 9, 2014

Salam Rabu 10092014

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Usai solat subuh, Khairil Ammar menangis. Rupanya lampin pakai buang perlu ditukar. Matanya buntang tanda tidak mahu tidur lagi. Saya membiarkan dia bermain di dalam katil. Nampak gaya emosinya positif hari ini. Mahu bermain sendiri.  Sempat saya ke dapur menyiapkan sarapan dan bekalan. Sudah 2 tahun Harith Fakhruddin bersekolah rendah. Belum lagi saya memberinya wang saku. Disebabkan itu, bekalan wajib ada. Meski cuma sekadar biskut biasa. Bukan tidak mahu memberi wang saku.

Dari pemerhatian saya, jualan makanan di sekolah tersebut dalam kategori makanan rapu. Pernah Harith Fakhruddin membawa bungkusan makanan dari sekolah. Bimbang juga saya jika dia mengambil makanan kawan-kawan yang mempunyai wang saku. Namun setelah ditanya, dia menyatakan bahawa rakan-rakan yang suka untuk memberi. Mulia sungguh hati anak-anak kecil. Mungkin mereka kasihan melihat Harith kerana makan bekalan sahaja setiap hari. Harith Fakhruddin selalunya mengambil bungkusan makanan tersebut dan membawanya ke rumah. Namun lazimnya dia tidak makan kerana tidak biasa makan makanan sebegitu.

Hari ini sudah Rabu. Cepat masa berlalu. Tadika sudah mula membuka pendaftaran untuk tahun depan. Masih berfikir sama ada untuk mengekalkan atau mencari alternatif tadika baru untuk Najah Munirah. Di mana-mana pun pasti ada kekuatan atau kekurangan. 

Monday, September 8, 2014

Salam Selasa 09092014

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Khairil Ammar bangun awal hari ini. Menjelang subuh, dia sudah tidak mahu ditidurkan kembali. Saya perlu ke dapur membuat sarapan dan bekalan. Maka dia saya dukung dibelakang menggunakan bedung jenama ‘Boba’. Suami mengambil alih selepas menguruskan Harith Fakhruddin.  Sejam kemudian, kami sudah mula meninggalkan rumah menuju sekolah. Suami keluar lewat sedikit kerana perlu menguruskan Najah Munirah yang agak sukar bangun pagi. Selesai menghantar Khairil Ammar di rumah emak, saya menuju ke pejabat. Rutin yang sama sejak 6 bulan yang lalu.

Saya sampai agak awal di pejabat. Kononnya, boleh lah saya mengepam susu di meja kerja dengan lebih aman. Hari ini saya mendapat kejutan dari kawan lelaki. Sedang saya sedang mengepam, tiba-tiba dia datang mahu berbincang. Saya tiada pilihan untuk mematikan pam. Maka dengan muka selamba saya berbincang dengan beliau sambil diiringi bunyi pam. Mudah-mudahan dia tidak perasan. Ataupun perasan tapi buat muka tak perasan.  Malu juga sebenarnya. Tapi tidak mengapalah. Bukan saya sengaja.

Sunday, September 7, 2014

Salam Isnin 08092014

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham


Semalam mengambil peluang membawa ibu bapa dan anak-anak bersiar-siar. Melawat rumah rekabentuk lama yang baru dibeli. Sekali sekala makan luar. Juga membeli barangan keperluan rumah. Anak-anak lah paling seronok. Penat bukan kepalang membawa ketiga-tiga memilih barangan. Sekali sekala berkejaran di dalam pasaraya. 

Isnin datang lagi. Bersusun kerja yang perlu disiapkan. Semoga minggu ini lebih produktif dari biasa. 

Monday, September 1, 2014

Kita hanya merancang

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham


Saya sudah habis tempoh kuarantin selama dua minggu. Tidak sabar pulang bertemu anak-anak. Masing-masing minta dilayan. Manja tak kurang. Terutama Khairil Ammar. Menangis dia melihat saya kali pertama setelah tidak bertemu dua minggu. Tangis tunjuk perasaan agaknya. Mula-mula langsung tidak mahu disusukan. Protes bayi. Individu kecil yang comel. Cubaan kali ketiga baru dia mahu menyusu badan. Sedih mengenangkan protes kecil begitu. Hampir menitis air mata. Mujur rajuknya tidak lama. Saya merancang mahu membawa mereka bersiar-siar sempena cuti Merdeka.

Tanpa disangka virus cacar rupanya sudah ada pada Khairil. Baru sehari saya sihat. Dia pula dijangkiti cacar air. Sedih lagi. Kerana saya punca jangkitan. Meski sudah berusaha kuarantin diri sendiri. Tapi apakan daya. Kita hanya merancang. Allah juga sebaik-baik perancang. Saya melihat dari sudut positif. Nasib baik dia tidak sihat semasa saya masih di rumah. Sempena cuti hujung minggu yang panjang. Biarlah dia puas merengek manja. Semoga esok dia beransur sembuh. Saya perhatikan cacar sudah sampai ke kaki. Harapnya tidak ada lagi yang tumbuh selepas ini. 


Sumber gambar : Google