Sumber : Bright Start (Dr. Richard C. Woolfson)
Tidak dapat dinafikan sikap ibu bapa memainkan peranan penting di dalam sesuatu sesi stimulasi. Terlalu memaksa anak-anak untuk mencapai sasaran pencapaian sebagaimana rajah perkembangan boleh menyebabkan tekanan yang tidak berasas.
Sikap terlalu sambil lewa dan acuh tak acuh dalam memperuntukkan masa yang sepatutnya bersama dengan anak-anak juga tidak boleh diamalkan sama sekali. Keseimbangan sikap perlu dicapai dalam menyokong perkembangan sihat anak-anak.
Saya senaraikan beberapa tips yang boleh kita ikuti bersama.
1. Jujur pada diri sendiri
- Sebagaimana manusia biasa, ada hari yang terlalu memenatkan kita. Tugasan pejabat yang terlalu mendesak dan mesyuarat yang perlu dihadiri sepanjang hari. Pastinya keadaan badan sudah lemah longlai setelah sampai di rumah.
- Maka mood untuk bermain dengan anak-anak juga pastinya hanya di dalam mimpi sahaja. Dalam keadaan begini, tidak perlulah kita memaksa diri untuk melakukan sebarang stimulasi. Cukup sekadar menyanyi bersama-sama atau membaca surah-surah lazim bersama dengan anak-anak. Pasti kita boleh melakukannya sambil berbaring di atas katil dan menutup separuh mata.
2. Elak dari sebarang pertandingan
- Perkembangan anak-anak bukanlah untuk dibandingkan dengan anak-anak orang lain seperti anak jiran sebelah atau anak buah yang seusia dengan anak kita sendiri.
- Percayalah bahawa perkembangan anak-anak adalah bersifat individu mengikut personaliti masing-masing.
3. Tiada perancangan khusus
- Biarkan anak-anak memilih permainan mereka sendiri dan bukannya kita sebagai ibu bapa menetapkan bahawa mereka perlu bermain permainan kenderaan pada hari Isnin, manakala bermain pedang pada hari Rabu.
- Beri mereka peluang untuk membuat keputusan sendiri. Ini dapat meningkatkan keyakinan diri anak-anak.
4. Spontan
- Lakukan semasa kita melakukan aktiviti harian seperti semasa memandu dan tersekat di dalam kesibukan lalu lintas.
- Contohnya, bertanya kepada anak-anak apa pendapat mereka tentang kereta yang ada di jalan raya. Tanyalah warna kereta, jenis kenderaan dan yang mana satu yang paling mereka sukai.
5. Berkomunikasi
- Tidak salah untuk kita sebagai ibu bapa berkongsi perihal anak-anak semasa sesi mengepam susu di pejabat.
- Gunakan masa sebegini untuk berkongsi idea bersama-sama kawan-kawan yang mempunyai anak sebaya anak kita. Namun jangan lupa untuk tidak membuat sebarang perbandingan. Kongsi dan bukannya membanding.
Semoga bermanfaat.
Sumber gambar : Google
Salam dari bumi kenyalang.
No comments:
Post a Comment