Tuesday, March 31, 2015

Origami mengelakkan anak dari ketagih gajet

Teks dan foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Seni melipat ataupun origami bukan lah suatu yang asing. Saya sendiri tidak cukup sabar mengikut arahan langkah demi langkah yang teliti dan rumit.

Namun disebabkan saya tidak mahu Harith Fakhruddin terlalu taksub dengan skrin elektronik. Maka saya melabur banyak kertas kosong. Saya beli satu rim kertas kosong tanpa jenama, khas untuk dia melipat-lipat. 

Origami terawal saya perkenalkan ialah kapal terbang. Lipatan mudah dan segera siap. Pada masa tersebut segenap ceruk almari dan sudut rumah dipenuhi kertas origami kapal terbang yang berjaya mendarat. Dia akan mengulangi proses lipat dan terbangkan pesawat. Saya tidak pasti berapa bulan. 

Di dalam kereta pun penuh dengan pesawat kertas. Tetapi saya tidak pula membebel. Saya lebih suka dia bermain origami daripada memandang skrin ipad. Niat yang paling penting. Objektif kenapa kita mahu anak bermain kertas. Proses melipat-lipat itu adalah masa sel-sel otak berhubung dengan aktif. Imaginasi juga semakin bertambah.

Selepas beberapa bulan, dia seperti ketagih origami. Meskipun menonton youtube, dia menonton tutorial origami yang sukar dan rumit. Tidak pula saya kisah apabila dia menonton skrin secara aktif. Otak dan tangan masih bergerak meski mata memandang skrin.

Kini dia sudah boleh membaca arahan dari buku-buku origami. Kemahirannya meningkat. Tidak perlu tutorial, melalui bacaan langkah demi langkah dia mampu membuat lipatan yang saya sendiri tidak faham bagaimana dia membuatnya.

Sampai bila dia akan bosan saya tidak pasti. Saya juga tidak kisah. Saya anggap itu cara dia melepaskan tekanan sebagai budak darjah tiga yang bersekolah pagi. Juga sekolah agama di waktu petang serta perlu menyiap pelbagai tugasan di rumah pula setiap malam. 

Saya juga masih menyimpan beberapa helai kertas kosong di dalam kereta. Tidak akan bosan Harith Fakhruddin.


No comments:

Post a Comment