Beberapa hari yang lalu keputusan STPM dan SPM telah diumumkan. Semakin hari semakin ramai pelajar yang cemerlang.
Teringat kenangan 18 tahun yang lalu. Saya bertangguh untuk mengambil keputusan SPM. Sungguh tiada keyakinan diri pada ketika itu. Sebabnya keputusan percubaan saya cuma kurang satu mata untuk jatuh menjadi pangkat 2. Itu zaman pengiraan agregat. Saya menunggu waktu menjelang tengah hari untuk ke sekolah dengan harapan tidak terserempak dengan sesiapa. Kawan-kawan atau guru sekolah.
Namun keputusan sebenar sungguh diluar jangkaan. Saya tahu saya sudah berusaha namun saya akui saya bukanlah pelajar dalam kategori paling cemerlang pada ketika itu. Saya bersekolah premier. Maka, saya masih dalam golongan biasa-biasa saja.
Melihat slip keputusan dengan agregat satu digit menyebabkan saya menyesal pula berlengah-lengah. Kalau tidak, sudah pasti gambar terpampang di akhbar tempatan pada ketika itu. Tidak mengapalah. Nama saja yang masuk akhbar pun sudah memadai.
Itu cuma satu kenangan manis. Kini saya sedar untuk berjaya sepanjang hidup perlu sikap yang positif. Itu lebih penting. Keputusan yang baik hanya pasport untuk melanjutkan pelajaran. Namun sikap positif adalah kunci untuk bertahan dengan pelbagai cabaran hidup.
Tahniah untuk yang berjaya. Kepada yang kurang berjaya percayalah anda mungkin lebih cemerlang dalam hidup. Ingat bahawa SIKAP adalah penentu yang lebih dominan.
No comments:
Post a Comment