Tuesday, March 31, 2015

Origami mengelakkan anak dari ketagih gajet

Teks dan foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Seni melipat ataupun origami bukan lah suatu yang asing. Saya sendiri tidak cukup sabar mengikut arahan langkah demi langkah yang teliti dan rumit.

Namun disebabkan saya tidak mahu Harith Fakhruddin terlalu taksub dengan skrin elektronik. Maka saya melabur banyak kertas kosong. Saya beli satu rim kertas kosong tanpa jenama, khas untuk dia melipat-lipat. 

Origami terawal saya perkenalkan ialah kapal terbang. Lipatan mudah dan segera siap. Pada masa tersebut segenap ceruk almari dan sudut rumah dipenuhi kertas origami kapal terbang yang berjaya mendarat. Dia akan mengulangi proses lipat dan terbangkan pesawat. Saya tidak pasti berapa bulan. 

Di dalam kereta pun penuh dengan pesawat kertas. Tetapi saya tidak pula membebel. Saya lebih suka dia bermain origami daripada memandang skrin ipad. Niat yang paling penting. Objektif kenapa kita mahu anak bermain kertas. Proses melipat-lipat itu adalah masa sel-sel otak berhubung dengan aktif. Imaginasi juga semakin bertambah.

Selepas beberapa bulan, dia seperti ketagih origami. Meskipun menonton youtube, dia menonton tutorial origami yang sukar dan rumit. Tidak pula saya kisah apabila dia menonton skrin secara aktif. Otak dan tangan masih bergerak meski mata memandang skrin.

Kini dia sudah boleh membaca arahan dari buku-buku origami. Kemahirannya meningkat. Tidak perlu tutorial, melalui bacaan langkah demi langkah dia mampu membuat lipatan yang saya sendiri tidak faham bagaimana dia membuatnya.

Sampai bila dia akan bosan saya tidak pasti. Saya juga tidak kisah. Saya anggap itu cara dia melepaskan tekanan sebagai budak darjah tiga yang bersekolah pagi. Juga sekolah agama di waktu petang serta perlu menyiap pelbagai tugasan di rumah pula setiap malam. 

Saya juga masih menyimpan beberapa helai kertas kosong di dalam kereta. Tidak akan bosan Harith Fakhruddin.


Monday, March 30, 2015

Cara membuat rumah kotak

Teks dan foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Dua minggu yang lalu Najah ada tugasan semasa cuti. Dia perlu membuat satu projek tentang 'rumah saya'. Syaratnya 90% tugasan tersebut dilakukan oleh anak-anak. Cuma 10% atas bantuan ibu bapa. Tidak pasti pula peratusan bantuan saya dalam projek ini. Saya cuma mencantumkan kotak dengan selotap. Kerja-kerja seni yang lain saya serahkan kepada Najah Munirah.

Di sini saya kongsikan beberapa langkah mudah.

1) Kotak bijirin sarapan

Saya ada habit menyimpan kotak-kotak bijirin. Tidak kira bijirin kanak-kanak atau dewasa. Pasti ada kegunaannya.


2) Mencantum dan membentuk rumah

Buka kotak tersebut dengan berhati-hati. Terbalikkan dan cantumkan setiap bahagian dengan gam atau selotap. Saya selalu nak cepat. Maka gunalah selotap sahaja. Pastikan semua bahagian dicantum dengan rapi. Bentukkan bahagian atas kotak menjadi atap. Gunakan imaginasi masa zaman kanak-kanak dahulu. Atap rumah semestinya berbentuk huruf 'A'. 

3) Melukis bahagian rumah

Proses ini saya serahkan pada Najah Munirah 100%. Tidak perlu sempurna. Saya biarkan dia memilih berapa tingkap yang dia mahu. Warna apa yang dia suka. Proses ini sangat penting untuk menggalakkan imaginasi di luar kotak. Tidak kisah lah tingkap banyak tapi tak ada pintu. Layankan saja.


Mula-mula rajin nak mewarna ala pelangi. Tapi bila dah mengantuk, marker biru pun dia guna supaya cepat siap. 

4) Tapak rumah

Ambil satu lagi kotak bersaiz kertas A4 sebagai tapak rumah. Lebih mudah rumah berdiri dan dipamer di sekolah. Kalau rajin boleh tambah taman dan kereta. Tapi semasa projek ini, Khairil Ammar sudah mengamuk kerana mengantuk. Maka rumah saja yang siap.




Selamat mencuba.

Sunday, March 22, 2015

Melawat Tip of Borneo

Teks dan foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Semasa di Kota Belud, kami mencari tempat yang boleh dilawati. Orang tempatan mencadangkan supaya kami ke Kudat melihat Tip of Borneo. Maksudnya penghujung tanah Borneo. 

Jalan ke sana juga sempit berbukit bukau. Ada kawasan yang masih belum berturap. Saya mual lagi sepanjang perjalanan. Kurang lasak jika berlama-lama di dalam kenderaan. 

Setelah menghabiskan masa tiga jam barulah kami sampai. Sedikit menyesal kerana pening kepala. Namun apabila sampai dan melihat kecantikan laut dan pemandangannya. Penat lelah duduk di dalam van beransur hilang.

Kami bersantai selama dua jam di sana sebelum memulakan perjalanan pulang ke Kota Belud. 

Selesai majlis bertandang ke Kota Belud baru saya faham mengapa saya mual dan pening sepanjang perjalanan.

Rupa-rupanya saya sudah mula mengandung ketika itu.

Orang lain yang kahwin, saya pula yang mengandung. 

En. Suami sengeh saja.



Bertandang ke Kota Belud

Teks dan foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Tidak lama lagi bulan April. Anak buah saya akan menyambut hari lahirnya yang pertama. Terkenang pula saya kisah kami bertandang ke Kota Belud, Sabah dua tahun lalu untuk majlis pernikahan dan perkahwinan adik lelaki tunggal saya.

Itu kali pertama kami ke sana. Selalunya kami hanya ke Kota Kinabalu, Kundasang dan Ranau sahaja. Tempat wajib melancong melihat kemegahan gunung Kinabalu. 

Perjalanan ke Kota Belud dari Kota Kinabalu sekitar dua jam. Kami menyewa sebuah van bagi membawa rombongan pengantin lelaki.

Jalan ke sana agak sempit. Saya pening melihat jalan yang bengkang bengkok. Anak-anak seronok melihat kuda, lembu, kerbau dan bangau sungguh jinak di tepi jalan.

'Macam zoo mama, kata mereka.'

Saya senyum saja. 






Thursday, March 19, 2015

Melawat Legoland

Teks dan foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Dua tahun lepas saya membawa ibu bapa bersama keluarga saya melancong di sekitar pantai barat Semenanjung Malaysia. Ketika itu adik lelaki saya masih bekerja di Pasir Gudang. Kami mengambil kesempatan berkunjung ke Legoland. 

Saya kongsikan beberapa perkara mengenai tempat pelancongan ini.

(1) Tempat letak kereta yang agak jauh dari taman tema tersebut. Anak-anak kerap bertanya. 
Bila nak sampai ni mama?

(2) Tempat ini sesuai untuk anak-anak berumur 4 hingga 7 tahun. Permainan yang disediakan tidak menarik untuk remaja.

(3) Jumlah pokok-pokok yang besar agak kurang maka cuaca agak panas. Nasib baik kami membeli topi sebelum ke sini. Bolehlah bergaya sakan dengan fesyen bertopi.

(4) Aktiviti paling menarik adalah bergambar dengan semua model lego yang comel.

(5) Aktiviti berkumpulan untuk sekeluarga ialah menaiki kereta bomba dan memadam kebakaran kecil.

Anak-anak bertanya bila boleh melawat Legoland lagi.

Saya diam tidak berani memberi janji.



Friday, March 13, 2015

Suatu hari nanti

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Cuti sekolah sudah bermula. Saya buntu merancang aktiviti anak-anak di rumah. Cuti terdahulu saya dapat mencari orang yang mahu menjadi pemandu kepada anak-anak. Mudah saya merancang. Tetapi pemandu tersebut sudah tidak mahu bekerja meski diberi tawaran. Saya juga tidak mahu memaksa. 

Disaat begini saya berharap. Alangkah bagus jika saya bekerja di rumah. Boleh lah saya merancang aktiviti anak-anak dengan lebih teratur. Saya boleh membuat kerja sambil memantau kelas renang mereka. Saya boleh menjawab telefon sambil menunggu kelas seni mereka tamat. 

Kini saya hanya boleh berangan-angan. Ketika Harith Fakhruddin sudah di tahun 5, saya ada di rumah menemani beliau menyiapkan kerja sekolah pada waktu petang. Bukan di waktu malam seperti sekarang. Berangan-angan supaya Najah Munirah boleh menghabiskan masa petang bersama saya. Khairil Ammar juga lebih masa memeluk saya. Semoga saya mampu mencapai angan-angan ini dalam masa 2 hingga 3 tahun lagi. 

Thursday, March 12, 2015

Salam Jumaat 13032015

Teks dan foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Kelmarin Encik suami ada tugas di luar kawasan. Beliau perlu bermalam di Labuan. Saya memohon doanya supaya Allah permudahkan urusan saya di rumah dan pejabat.

Doakan anak-anak tidak meragam dan sihat, pesan saya padanya. 

Saya sedikit risau kerana perlu membuat pembentangan kepada lebih kurang 250 orang semalam. 

Khairil Ammar seperti biasa. Tidak kurang ragamnya tapi saya keluar rumah lebih awal. Najah Munirah juga bermalasan mahu ke sekolah. Saya memujuk dengan alasan minggu depan sudah cuti sekolah. Sedikit saja lagi.

Petang semalam saya menarik nafas lega. Semua urusan dipermudahkan Allah. Encik suami juga sudah di rumah. Alhamdulillah.


Sunday, March 8, 2015

Pengalaman bersalin anak ke dua (1)

Teks dan foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham



Rabu lepas genap 5 tahun umur Najah Munirah. Sambutan sederhana di sekolah. Saya bekalkan kek harijadi dan beg makanan untuk kawan-kawannya. 

Teringat kenangan melahirkannya di Manchester, United Kingdom dahulu. Jika ditanya pengalaman melahirkan yang mana paling saya sukai. Pasti saya jawab kali ke dua. 

Bukan saya memperlekeh suasana bersalin di Malaysia. Cuma saya rasa lebih tenang dan kurang tekanan yang tidak perlu. Meskipun saya disuruh pulang ke rumah dahulu walaupun sudah mendaftar di hospital. 

Sakit bersalin Najah memang lain dari Harith dan Ammar. Sakit yang sedikit-sedikit dan kadang- kadang. Namun saya rasa selama dua hari. Sempat lagi bersiar-siar di muzium kerana membawa emak dan bapa saya yang baru sampai dari Malaysia.

Emak mendesak saya ke hospital sebelum tengah malam. Beliau memang cepat panik apabila saya memberitahu saya sudah mula merasa sakit bersalin. Sesampai di hospital, jururawat perbidanan memeriksa kedudukan bayi. Masih tinggi katanya, lalu menyuruh saya pulang ke rumah dan kembali ke hospital selepas dua jam.

Perasaan tidak puas hati kerana terpaksa pulang namun saya akur menahan sakit di ruang tamu rumah. Mujur emak dan bapa saya tidak sedar saya melutut di meja kopi selama dua jam dengan ditemani encik suami. 

Bersambung

Friday, March 6, 2015

Merancang Hari Keluarga Syarikat (3)

Teks: Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Lazimnya setelah semua ahli jawatankuasa pelaksa menghubungi penjual dan menyetujui sebut harga, maka wang deposit boleh dibayar bersama penerimaan resit.

Beberapa hari sebelum majlis sebenar berlangsung, taklimat khas untuk semua ahli jawatankuasa dan para penjual perlu diadakan. Ini bagi memastikan kelancaran majlis yang bakal dianjurkan. Aspek keselamatan dan kebersihan perlu sentiasa dititikberatkan. Pihak anggota keselamatan syarikat dan unit rawatan kecemasan perlu dihubungi supaya semua pihak dalam keadaan berjaga-jaga.

Ketika majlis berlangsung, ahli jawatankuasa akan memastikan kelancaran program. Segala kekurangan yang perlu diperbaiki pada masa hadapan perlulah dibincangkan di dalam mesyuarat 'post mortem'. Semua baki pembayaran perlu dilakukan secepat mungkin bagi menutup akaun penganjuran majlis.

Wednesday, March 4, 2015

Keputusan SPM

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Beberapa hari yang lalu keputusan STPM dan SPM telah diumumkan. Semakin hari semakin ramai pelajar yang cemerlang.

Teringat kenangan 18 tahun yang lalu. Saya bertangguh untuk mengambil keputusan SPM. Sungguh tiada keyakinan diri pada ketika itu. Sebabnya keputusan percubaan saya cuma kurang satu mata untuk jatuh menjadi pangkat 2. Itu zaman pengiraan agregat. Saya menunggu waktu menjelang tengah hari untuk ke sekolah dengan harapan tidak terserempak dengan sesiapa. Kawan-kawan atau guru sekolah.

Namun keputusan sebenar sungguh diluar jangkaan. Saya tahu saya sudah berusaha namun saya akui saya bukanlah pelajar dalam kategori paling cemerlang pada ketika itu. Saya bersekolah premier. Maka, saya masih dalam golongan biasa-biasa saja.

Melihat slip keputusan dengan agregat satu digit menyebabkan saya menyesal pula berlengah-lengah. Kalau tidak, sudah pasti gambar terpampang di akhbar tempatan pada ketika itu. Tidak mengapalah. Nama saja yang masuk akhbar pun sudah memadai.

Itu cuma satu kenangan manis. Kini saya sedar untuk berjaya sepanjang hidup perlu sikap yang positif. Itu lebih penting. Keputusan yang baik hanya pasport untuk melanjutkan pelajaran. Namun sikap positif adalah kunci untuk bertahan dengan pelbagai cabaran hidup.

Tahniah untuk yang berjaya. Kepada yang kurang berjaya percayalah anda mungkin lebih cemerlang dalam hidup. Ingat bahawa SIKAP adalah penentu yang lebih dominan.

Sunday, March 1, 2015

Melawat Jerudong Park, Brunei Darussalam

Teks dan foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham



Semasa kami bertolak dari Miri pada hari cuti umum sempena Tahun Baru Cina, lupa saya memeriksa waktu operasi Taman Jerudong.

Pada pagi Jumaat baru teringat di Brunei, semua kedai ditutup selama dua jam untuk menghormati solat Jumaat. Kami membeli pizza dan di bawa balik ke hotel sebelum waktu tengah hari. Sebagai musafir, kami berada di hotel menunggu waktu operasi taman bermula pada jam 3.00 petang. 

Kami bertolak dari hotel pada pukul 2.30 petang kerana tidak mahu membazir masa. Selesai membeli tiket untuk kami 5 beranak bernilai BD31, kami memilih permainan dalam bangunan terlebih dahulu seperti bumper car dan pirate ship. 

Semua operasi  taman berhenti selama 20 minit untuk menghormati azan dan memberi peluang kepada para pekerja menunaikan solat.

Menjelang pukul 4.00 petang, kami bermain di water park yang comel. Tepat pukul 6.00 petang, taman itu ditutup selama dua jam untuk azan Maghrib.

Kami bersolat di surau yang disediakan. Terdapat tempat makan di luar kawasan taman tetapi kami hanya makan makanan yang dijual sekitar taman.

Aktiviti malam lebih menarik dengan kerlipan lampu yang berwarna warni. Konsep bermain tanpa had membolehkan anak-anak berbaris beberapa kali untuk permainan yang mereka gemari. Kami pulang ke hotel menjelang pukul 9.00 malam.