Sunday, October 5, 2014

Pengurusan majlis

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Salam Isnin 06102014

Saya memulakan tugas pertama di tempat kerja sebagai seorang Pengurus Majlis untuk program-program kendalian syarikat. Banyak tugasan yang melibatkan perancangan daripada sebelum, semasa dan selepas majlis diadakan yang perlu diambil kira setiap kali pelaksanaan dilakukan. 

Contoh majlis yang pernah saya kendalikan ialah:
  1. Hari Keluarga Syarikat.
  2. Majlis Tilawah Al-Quran
  3. Pesta Sukan Syarikat
  4. Pesta Sukan antara Syarikat
  5. Majlis Makan Malam Syarikat
  6. Majlis Sambutan Perayaan
Setiap kali sambutan dilaksanakan, beberapa kategori tugasan perlu dibahagikan terlebih dahulu untuk memastikan penganjuran berjalan lancar. Di antara perkara-perkara asas ialah:
  1. Sekretariat
  2. Publisiti dan promosi
  3. Jamuan dan lokasi
  4. Logistik
  5. Pembukaan dan penutupan majlis
  6. Pengurus pentas
  7. Program
Khairil Ammar sudah bangun. 
Bersambung...

Sunday, September 28, 2014

Membeli belah di alam maya (4)

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Kali ini saya kongsikan pengalaman membeli dari website.  Secara jujur , saya paling gemar cara pembelian ini kerana proses yang sekaligus siap. Tidak perlu bertanya stok. Tidak perlu mencatit nombor akaun bank dan nombor  telefon penjual.

Tengok gambar, saiz, harga dan warna yang dipilih anda sudah boleh membuat pembayaran melalui ‘online banking’, kad kredit atau ‘paypall’.  Isi borang maklumat diri dan sudah boleh menunggu posmen tiba.

Namun demikian, saya dapati sukar untuk mendapatkan rekabentuk menarik dari website sebegini. Saya tidak pasti kenapa produk ‘Instashop’ dan ‘Facebook’ kadang kala lebih bagus rekaannya. Hanya website yang menjadi ‘one stop centre’ mempunyai pilihan lebih variasi. Namun harganya juga lebih tinggi.

Saya rasa cara shopping cart adalah lebih kurang bersosial. Tidak boleh bertanya perkara yang terperinci. Hanya sesuai untuk pembeli yang tidak begitu cerewet. Pembeli cerewet lebih sesuai membeli di ‘Instashop’ dan ‘Facebook’ kerana bebas bertanya.


Waktu rehat sudah habis.

Wednesday, September 24, 2014

Membeli belah di alam maya (3)

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Bersambung mengenai pengalaman membeli belah online. Kali ini dari Facebook. Tidak dinafikan dulu saya mudah membuka 'suggested fan page' yang menarik. Tetapi beberapa kali saya membuat pertanyaan di 'private message' berakhir dengan perasaaan hampa kerana barang yang diingini sudah habis stok. Sekarang saya sudah tidak begitu minat untuk membuka 'suggested page'. Bimbang kecewa lagi.

Pernah juga saya membuka fan page, memilih produk, 'copy link' dan terus letak di 'private message'. Nasib baik kebanyakan barang masih ada. Ada juga yang sudah tiada stok. Saya selalu berharap stok yang habis di tulis nota 'out of stock' atau 'delete' terus. 

Saya juga pernah membeli barangan dan penjual menggunakan syarikat 'courier' yang tidak menghantar ke alamat yang diberi. Hampir sebulan barang yang saya harapkan terus sampai kepada penerima terpaksa berada di syarikat tersebut kerana saya tidak dapat mengambil terus atas faktor kesihatan dan masa. Pengajaran untuk diri sendiri. Lain kali saya lebih berhati-hati untuk meminta penjual menggunakan pos laju sahaja. 

Meskipun banyak pengalaman yang tidak begitu memuaskan hati, saya berpendapat bahawa para penjual sudah memberi perkhidmatan terbaik mereka. Pasti mereka punya kekangan tersendiri.

Salam Rabu 24092014

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Hari ini saya berada di Kerteh, Terengganu. Ada tugasan dua hari. Sampai melalui lapangan terbang Kuantan malam tadi. Sekitar pukul 9.00 malam baru selamat tiba di hotel. Perjalanan dari Miri bermula pukul 12.00 tengahari. Dua pesawat perlu dinaiki. Sudah lama saya tidak mempunyai tugasan luar daerah.  Mabuk kenderaan pula saya di dalam teksi. Malu.

Bilik hotel mengadap laut. Indah pemandangan pantai timur. Rasanya sudah lebih 5 tahun saya tidak menjejak kaki ke pantai timur. Banyak bangunan baru. Sepatutnya saya membawa kasut sukan. Lebih selesa untuk bersiar-siar di tepi pantai.

Semasa dalam pesawat ke Kuantan, saya duduk di tepi tingkap. Di sebelah saya pasangan kekasih. Mungkin juga baru berkahwin. Mereka sungguh mesra. Bisik hati. Kenapa perlu menunjuk-nunjuk. Tapi saya pilih untuk bersangka baik. Mungkin mereka dalam fasa bahagia. Biarkan saja. Mereka sudah dewasa untuk berfikir. Saya teruskan aktiviti membaca. Itu matlamat saya untuk tugasan luar daerah. Sekurang-kurangnya saya habis membaca sebuah buku. Kerana saya tidak mempunyai masa lain untuk aktiviti membina minda ini. Saya membaca sahaja. Hati saya lebih tenang daripada mulanya sibuk membuat penilaian pada pasangan tersebut.

Menilai. Suatu tindakan luar sedar yang selalu kita lakukan pada sesiapa. Kadangkala penilaian yang terlalu rumit membuatkan kita menjadi emosi dan negatif. Saya harap saya boleh melatih hati untuk tidak menilai terlalu kompleks. Jauhkan juga untuk menjadi penghukum disebabkan penilaian kita yang entah betul entahkan tidak.

Perut sudah lapar. Mencari makan malam versi pantai timur.

Sunday, September 21, 2014

Salam Isnin 22092014

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Hari ini seperti biasa Harith Fakhruddin bangun tanpa banyak soal. Meskipun sudah seminggu bercuti, dia cergas saja. Najah Munirah bangun dengan drama yang sudah dijangka. Malas saya melayan. Biarkan saja. Melayan rajuk sendiri. Khairil Ammar seperti tahu cuti sudah habis. Tidur saja. Semasa cuti dia lah yang paling awal bangun. Mahu bermain sepuasnya.

Hari ini saya ada kerja di hotel. Esok tengahari sudah perlu bergegas ke lapangan terbang. Harapnya saya sempat menyiapkan kerja tertunggak.

Bisik suami, minggu depan dia pula perlu ke luar daerah. Nampak gayanya, tidak pulanglah kami ke rumah sendiri selama dua minggu. Hidup kami memang nomad . Entah bila pencarian pembantu rumah akan berakhir.

Saya perlu ke pejabat.

Friday, September 19, 2014

Salam Sabtu 20092014

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Pagi ini suami perlu ke pejabat. Saya terpaksa membangunkan Khairil Ammar untuk menghantar abang dan kakaknya ke kelas mewarna. Nasib baik dia tidak marah. Tersengeh saja semasa saya mengangkatnya ke kerusi bayi. Selesai makan, dia tidur kembali. 

Saya hanya ada 10 minit di sini. Perlu mengemas bag. Minggu depan saya perlu ke Kerteh. Hari ini cadangannya mahu merai anak-anak sebelum cuti sekolah berakhir. Asal ada air dan kolam. Mereka sudah cukup gembira. 

Sebelum Khairil Ammar bangun, saya perlu menyambung kerja. 

Semoga semua gembira berhujung minggu.

Thursday, September 18, 2014

Membeli belah di alam maya (2)

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Salam Jumaat

Hari ini saya kongsikan pengalaman membeli secara online dari instashop.
Tidak dinafikan pengaruh ‘review’ dari ‘public figure’ seperti artis banyak memberi pengaruh untuk menekan butang ‘follow’ di Instagram. Saya rasakan gambar di Instagram lebih menarik dari Facebook. Ini kerana focus Instagram adalah gamba. Cantik gambar, mudahlah kita rasa berkenan sekiranya memang memerlukan produk tersebut. Berbanding dengan Facebook. Semakin hari saya rasa semakin lemas dengan lambakan maklumat. Semua benda berada di Facebook. Saya boleh pening menatap Facebook terlalu lama. Fokus juga cepat berubah untuk membaca artikel dan menonton video daripada melihat produk jualan.

Cuma perkara paling leceh membeli belah di Instagram ialah proses untuk menyimpan nombor telefon penjual didalam buku telefon kita. Pemalasnya saya. Perkara itu pun saya rasakan leceh.

Selesai menyimpan nombor tersebut. Kita boleh terus ‘print screen’ gambar-gambar produk yang kita berkenan dan hantar secara percuma melalui aplikasi ‘whatsapp’. Setakat ini, nasib saya baik kerana semua produk yang saya print screen gambar tersebut mempunyai stok.

Maka, selesai pembayaran dan memberi maklumat diri. Beberapa hari kemudian, barang yang ditunggu sudah sampai. Saya pernah membeli baju menyusu, tudung dan baju Khairil Ammar melalui kaedah ini.

Masa rehat sudah hampir tamat. Sambung kerja dulu.