Sunday, March 8, 2015

Pengalaman bersalin anak ke dua (1)

Teks dan foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham



Rabu lepas genap 5 tahun umur Najah Munirah. Sambutan sederhana di sekolah. Saya bekalkan kek harijadi dan beg makanan untuk kawan-kawannya. 

Teringat kenangan melahirkannya di Manchester, United Kingdom dahulu. Jika ditanya pengalaman melahirkan yang mana paling saya sukai. Pasti saya jawab kali ke dua. 

Bukan saya memperlekeh suasana bersalin di Malaysia. Cuma saya rasa lebih tenang dan kurang tekanan yang tidak perlu. Meskipun saya disuruh pulang ke rumah dahulu walaupun sudah mendaftar di hospital. 

Sakit bersalin Najah memang lain dari Harith dan Ammar. Sakit yang sedikit-sedikit dan kadang- kadang. Namun saya rasa selama dua hari. Sempat lagi bersiar-siar di muzium kerana membawa emak dan bapa saya yang baru sampai dari Malaysia.

Emak mendesak saya ke hospital sebelum tengah malam. Beliau memang cepat panik apabila saya memberitahu saya sudah mula merasa sakit bersalin. Sesampai di hospital, jururawat perbidanan memeriksa kedudukan bayi. Masih tinggi katanya, lalu menyuruh saya pulang ke rumah dan kembali ke hospital selepas dua jam.

Perasaan tidak puas hati kerana terpaksa pulang namun saya akur menahan sakit di ruang tamu rumah. Mujur emak dan bapa saya tidak sedar saya melutut di meja kopi selama dua jam dengan ditemani encik suami. 

Bersambung

Friday, March 6, 2015

Merancang Hari Keluarga Syarikat (3)

Teks: Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Lazimnya setelah semua ahli jawatankuasa pelaksa menghubungi penjual dan menyetujui sebut harga, maka wang deposit boleh dibayar bersama penerimaan resit.

Beberapa hari sebelum majlis sebenar berlangsung, taklimat khas untuk semua ahli jawatankuasa dan para penjual perlu diadakan. Ini bagi memastikan kelancaran majlis yang bakal dianjurkan. Aspek keselamatan dan kebersihan perlu sentiasa dititikberatkan. Pihak anggota keselamatan syarikat dan unit rawatan kecemasan perlu dihubungi supaya semua pihak dalam keadaan berjaga-jaga.

Ketika majlis berlangsung, ahli jawatankuasa akan memastikan kelancaran program. Segala kekurangan yang perlu diperbaiki pada masa hadapan perlulah dibincangkan di dalam mesyuarat 'post mortem'. Semua baki pembayaran perlu dilakukan secepat mungkin bagi menutup akaun penganjuran majlis.

Wednesday, March 4, 2015

Keputusan SPM

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Beberapa hari yang lalu keputusan STPM dan SPM telah diumumkan. Semakin hari semakin ramai pelajar yang cemerlang.

Teringat kenangan 18 tahun yang lalu. Saya bertangguh untuk mengambil keputusan SPM. Sungguh tiada keyakinan diri pada ketika itu. Sebabnya keputusan percubaan saya cuma kurang satu mata untuk jatuh menjadi pangkat 2. Itu zaman pengiraan agregat. Saya menunggu waktu menjelang tengah hari untuk ke sekolah dengan harapan tidak terserempak dengan sesiapa. Kawan-kawan atau guru sekolah.

Namun keputusan sebenar sungguh diluar jangkaan. Saya tahu saya sudah berusaha namun saya akui saya bukanlah pelajar dalam kategori paling cemerlang pada ketika itu. Saya bersekolah premier. Maka, saya masih dalam golongan biasa-biasa saja.

Melihat slip keputusan dengan agregat satu digit menyebabkan saya menyesal pula berlengah-lengah. Kalau tidak, sudah pasti gambar terpampang di akhbar tempatan pada ketika itu. Tidak mengapalah. Nama saja yang masuk akhbar pun sudah memadai.

Itu cuma satu kenangan manis. Kini saya sedar untuk berjaya sepanjang hidup perlu sikap yang positif. Itu lebih penting. Keputusan yang baik hanya pasport untuk melanjutkan pelajaran. Namun sikap positif adalah kunci untuk bertahan dengan pelbagai cabaran hidup.

Tahniah untuk yang berjaya. Kepada yang kurang berjaya percayalah anda mungkin lebih cemerlang dalam hidup. Ingat bahawa SIKAP adalah penentu yang lebih dominan.

Sunday, March 1, 2015

Melawat Jerudong Park, Brunei Darussalam

Teks dan foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham



Semasa kami bertolak dari Miri pada hari cuti umum sempena Tahun Baru Cina, lupa saya memeriksa waktu operasi Taman Jerudong.

Pada pagi Jumaat baru teringat di Brunei, semua kedai ditutup selama dua jam untuk menghormati solat Jumaat. Kami membeli pizza dan di bawa balik ke hotel sebelum waktu tengah hari. Sebagai musafir, kami berada di hotel menunggu waktu operasi taman bermula pada jam 3.00 petang. 

Kami bertolak dari hotel pada pukul 2.30 petang kerana tidak mahu membazir masa. Selesai membeli tiket untuk kami 5 beranak bernilai BD31, kami memilih permainan dalam bangunan terlebih dahulu seperti bumper car dan pirate ship. 

Semua operasi  taman berhenti selama 20 minit untuk menghormati azan dan memberi peluang kepada para pekerja menunaikan solat.

Menjelang pukul 4.00 petang, kami bermain di water park yang comel. Tepat pukul 6.00 petang, taman itu ditutup selama dua jam untuk azan Maghrib.

Kami bersolat di surau yang disediakan. Terdapat tempat makan di luar kawasan taman tetapi kami hanya makan makanan yang dijual sekitar taman.

Aktiviti malam lebih menarik dengan kerlipan lampu yang berwarna warni. Konsep bermain tanpa had membolehkan anak-anak berbaris beberapa kali untuk permainan yang mereka gemari. Kami pulang ke hotel menjelang pukul 9.00 malam.


Saturday, February 28, 2015

Taman permainan dalam bangunan di Miri - Kids World

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Hampir setiap hujung minggu kami membawa anak-anak ke Permaisuri Mall, Miri. Tempat letak kereta yang lebih teratur adalah salah satu faktor yang menyebabkan kami lebih suka ke sini. 

Terdapat sebuah taman permainan kanak-kanak di tingkat paling atas bangunan. Bayaran RM5.00 tanpa had masa adalah sangat murah jika dibandingkan dengan tempat sedemikian di Kuala Lumpur. Pernah kami membayar RM30.00 seorang untuk kemudahan taman yang lebih kecil saiznya.

Jika ingin bermain permainan lain seperti kereta api di kawasan luar, hanya perlu menambah caj sebanyak RM5.00 juga. Satu alternatif ketika hari hujan dan tidak dapat bersantai di luar bangunan.


Thursday, February 26, 2015

Melawat Brunei Darussalam (2)

Teks dan foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Sesampai di hotel, anak-anak kecewa kerana tiada tab mandi. Saya memujuk mereka dengan kolam renang hotel. Saiz kolam agak kecil namun banyak kerusi santai disediakan di sekeliling kolam.

Sangat sesuai untuk berehat. Kerusi ala katil juga disediakan untuk pengunjung yang mahu memejamkan mata.

Jika perut terasa lapar, tekan saja loceng untuk memanggil pelayan restoren yang terletak bersebelahan dengan kolam. Saya memesan minuman panas dan char kue tiaw untuk mengalas perut. 


Kolam di Radisson Hotel, Brunei Darussalam.

Bersambung...

Monday, February 16, 2015

Melawat Brunei Darussalam (1)

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Encik Suami sudah awal- awal memberitahu saya bahawa tahun ini beliau agak sukar memohon cuti. Maklumlah sebagai orang baru, masih banyak yang perlu beliau belajar di tempat kerja.
Oleh itu, saya tidak membuat sebarang perancangan cuti yang memerlukan kami memohon cuti tahunan. Kami cuma bercuti ke negara jiran. Brunei Darussalam.
Kami bertolak setelah tengah hari. Maklumlah saya baru mula mengemas pagi hari yang sama. Keadaan trafik sangat lancar. Barisan di Imigresen juga pendek saja untuk ke Brunei. Namun seperti biasa barisan kereta ke Miri sangat panjang. 
Kami tidak berhenti di mana-mana kerana mahu cepat sampai ke Bandar Seri Begawan, ibu negara Brunei. Anak-anak sudah mula berzikir sejak perjalanan memasuki satu jam setengah.

Jauh lagi ke mama, tanya Najah Munirah.

Kita nak pergi mana ni mama, tanya Harith Fakhruddin.

Aaa aaa aaaaaa laung Khairil Ammar.

Zikir mereka semakin kerap dan bingit setelah 2 jam dalam keadaan statik.

Saya memberi makanan untuk menghilangkan kebosanan mereka.
Akhirnya kami tiba di Radisson Hotel kira-kira pukul 2 petang.

Bersambung...


Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin. Kubahnya diperbuat daripada emas.