Thursday, August 28, 2014

Borak antara benua

Sumber gambar : Google


Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham


Teringat semasa tinggal di Manchester, United Kingdom 5 tahun yang lalu. Di sana, jika berborak tentang sesuatu berkenaan falsafah dan kepercayaan. Anda perlu bersedia dari segi ilmu secara kreatif. Kreatif dalam erti kata cara penyampaian dan kerbekesanan komunikasi 2 hala.
Di bawah adalah beberapa contoh soalan dan jawapan yang saya kumpul atas pengalaman saudara mara dan kawan-kawan yang biasa berhadapan dengan situasi borak antara benua.

Soalan 1 : Kenapa muslim tidak makan babi?

Jawapan : Kerana muslim perlu makan binatang yang disembelih. Proses sembelihan melibatkan anggota badan binatang tersebut iaitu bahagian leher. Babi adalah binatang yang tidak mempunyai leher.
Nota : Jika anda menjawab kerana di dalam kitab suci kami terdapat larangan dan kami perlu patuh atas larangan tersebut, pasti perbincangan di atas sukar untuk diterima. Tapi jika anda menjawab mengikut logik dan penjelasan ringkas, Insyaallah jawapan anda akan diterima dengan senang hati.

Soalan 2 : Kenapa muslim mesti makan binatang yang disembelih?

Jawapan : Kerana apabila proses sembelihan dilakukan dengan cara yang betul, binatang tersebut tidak merasai sakit yang lama. Pisau yang digunakan perlu tajam supaya binatang cepat putus nyawa. Oleh itu, binatang itu tidak menderita. Sembelihan penting untuk mengeluarkan darah. Apabila darah mengalir dengan lancar dari badan binatang tersebut, maka dagingnya lebih bersih.
Nota : Ada juga orang tempatan yang hanya makan daging halal di sana meskipun mereka bukan muslim. Mereka beranggapan pasti ada sebab kenapa muslim begitu mengambil berat tentang halal dan pasti sebabnya untuk kebaikan dan kesihatan. Oleh itu mereka juga makan daging halal. 

Soalan 3 : Kenapa muslim perlu menggunakan air untuk bersuci setiap kali ke tandas. 

Jawapan : Benda kesat seperti tisu juga boleh. Cuma mungkin cara kita dibesarkan menyebabkan kita lebih selesa dengan air. Analogi sama seperti kita mencuci pinggan selepas makan. Jika kita cuma buang sisa makanan pada pinggan dan selepas itu cuma dilap dengan tisu dan kita terus letakkan di dalam almari. Rasa-rasanya bagaimana keadaan pinggan tersebut?
Nota : Jika jawapan anda membuatkan mereka berfikir, itu sudah dianggap jawapan yang bagus. 

Soalan 4 : Kenapa muslim perlu solat 5 kali sehari?

Jawapan : Kerana sebelum bersolat, perlu mengambil wudhu. Wudhu menggunakan air. Air itu terapi yang menghilangkan keletihan. Menyegarkan. Semasa bersolat, anda banyak melakukan pergerakan seperti rukuk dan sujud. Maka perjalanan darah juga lancar. Sama juga apabila anda melakukan senaman. Solat juga ditambah dengan unsur terapi apabila anda dalam keadaan tenang membaca surah-surah suci. Ketenangan itu perlu untuk anda berhadapan dengan kesibukan harian. Manusia bukan robot. Kita perlu rehat bukan?
Nota : Perkaitan antara logik dan praktikal penting dalam memberi jawapan yang mudah difahami.

Soalan 5 : Kenapa muslim takut pada anjing?

Jawapan : Bukan takut. Anjing binatang yang pintar dan comel. Cuma malas sedikit untuk melakukan proses pembersihan jika terkena bulu anjing yang basah. Kerana perlu mencari tanah untuk membersihkan tempat yang terkena, dengan air tanah. Semasa di sana, kami tinggal di rumah teres. Saiz tanah di belakang rumah pun kecil sahaja. Pasti rumit untuk mencari tanah yang sesuai.

Nota : Saya yakin jawapan ini boleh memberi kelegaan kepada si penerima jawapan. Seni komunikasi ini sangat luas. 

Semoga perkongsian ini bermanfaat.

Salam dari bumi kenyalang.












No comments:

Post a Comment