Sunday, March 1, 2015

Melawat Jerudong Park, Brunei Darussalam

Teks dan foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham



Semasa kami bertolak dari Miri pada hari cuti umum sempena Tahun Baru Cina, lupa saya memeriksa waktu operasi Taman Jerudong.

Pada pagi Jumaat baru teringat di Brunei, semua kedai ditutup selama dua jam untuk menghormati solat Jumaat. Kami membeli pizza dan di bawa balik ke hotel sebelum waktu tengah hari. Sebagai musafir, kami berada di hotel menunggu waktu operasi taman bermula pada jam 3.00 petang. 

Kami bertolak dari hotel pada pukul 2.30 petang kerana tidak mahu membazir masa. Selesai membeli tiket untuk kami 5 beranak bernilai BD31, kami memilih permainan dalam bangunan terlebih dahulu seperti bumper car dan pirate ship. 

Semua operasi  taman berhenti selama 20 minit untuk menghormati azan dan memberi peluang kepada para pekerja menunaikan solat.

Menjelang pukul 4.00 petang, kami bermain di water park yang comel. Tepat pukul 6.00 petang, taman itu ditutup selama dua jam untuk azan Maghrib.

Kami bersolat di surau yang disediakan. Terdapat tempat makan di luar kawasan taman tetapi kami hanya makan makanan yang dijual sekitar taman.

Aktiviti malam lebih menarik dengan kerlipan lampu yang berwarna warni. Konsep bermain tanpa had membolehkan anak-anak berbaris beberapa kali untuk permainan yang mereka gemari. Kami pulang ke hotel menjelang pukul 9.00 malam.


Saturday, February 28, 2015

Taman permainan dalam bangunan di Miri - Kids World

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Hampir setiap hujung minggu kami membawa anak-anak ke Permaisuri Mall, Miri. Tempat letak kereta yang lebih teratur adalah salah satu faktor yang menyebabkan kami lebih suka ke sini. 

Terdapat sebuah taman permainan kanak-kanak di tingkat paling atas bangunan. Bayaran RM5.00 tanpa had masa adalah sangat murah jika dibandingkan dengan tempat sedemikian di Kuala Lumpur. Pernah kami membayar RM30.00 seorang untuk kemudahan taman yang lebih kecil saiznya.

Jika ingin bermain permainan lain seperti kereta api di kawasan luar, hanya perlu menambah caj sebanyak RM5.00 juga. Satu alternatif ketika hari hujan dan tidak dapat bersantai di luar bangunan.


Thursday, February 26, 2015

Melawat Brunei Darussalam (2)

Teks dan foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Sesampai di hotel, anak-anak kecewa kerana tiada tab mandi. Saya memujuk mereka dengan kolam renang hotel. Saiz kolam agak kecil namun banyak kerusi santai disediakan di sekeliling kolam.

Sangat sesuai untuk berehat. Kerusi ala katil juga disediakan untuk pengunjung yang mahu memejamkan mata.

Jika perut terasa lapar, tekan saja loceng untuk memanggil pelayan restoren yang terletak bersebelahan dengan kolam. Saya memesan minuman panas dan char kue tiaw untuk mengalas perut. 


Kolam di Radisson Hotel, Brunei Darussalam.

Bersambung...

Monday, February 16, 2015

Melawat Brunei Darussalam (1)

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Encik Suami sudah awal- awal memberitahu saya bahawa tahun ini beliau agak sukar memohon cuti. Maklumlah sebagai orang baru, masih banyak yang perlu beliau belajar di tempat kerja.
Oleh itu, saya tidak membuat sebarang perancangan cuti yang memerlukan kami memohon cuti tahunan. Kami cuma bercuti ke negara jiran. Brunei Darussalam.
Kami bertolak setelah tengah hari. Maklumlah saya baru mula mengemas pagi hari yang sama. Keadaan trafik sangat lancar. Barisan di Imigresen juga pendek saja untuk ke Brunei. Namun seperti biasa barisan kereta ke Miri sangat panjang. 
Kami tidak berhenti di mana-mana kerana mahu cepat sampai ke Bandar Seri Begawan, ibu negara Brunei. Anak-anak sudah mula berzikir sejak perjalanan memasuki satu jam setengah.

Jauh lagi ke mama, tanya Najah Munirah.

Kita nak pergi mana ni mama, tanya Harith Fakhruddin.

Aaa aaa aaaaaa laung Khairil Ammar.

Zikir mereka semakin kerap dan bingit setelah 2 jam dalam keadaan statik.

Saya memberi makanan untuk menghilangkan kebosanan mereka.
Akhirnya kami tiba di Radisson Hotel kira-kira pukul 2 petang.

Bersambung...


Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin. Kubahnya diperbuat daripada emas.


Friday, January 16, 2015

Tahun Baru 2015

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Salam tahun baru meskipun agak lambat. Sudah lebih dari dua minggu masa berlalu pergi. Semoga kita semua mampu melaksanakan apa saja amanah dengan hati terbuka. Bukan mudah mendidik hati. Menghadapi segala cabaran yang datang tidak kira di tempat kerja, bersama anak-anak dan keluarga terdekat.

Tahun baru ini saya berazam untuk lebih banyak membaca buku. Sesuatu yang kurang dilakukan tahun lepas. Paling kurang sasaran saya ialah untuk menghabiskan bacaan satu buku setiap bulan. Saya rasa itu azam yang realistik dan selari dengan rutin sibuk tanpa pembantu rumah dan bekerja sepenuh masa 8 jam sehari.

Saya juga berazam untuk bersenam setiap hari. Tidak kira regangan setempat. Umur sudah meningkat. Kesihatan juga perlu lebih dititik beratkan.

Begitu juga dengan pemakanan. Saya dan suami juga berazam untuk mengurangkan pengambilan nasi. Cukup sekadar segenggam nasi setiap kali menjamu selera.

Saya pasti anda semua juga mempunyai azam masing-masing. Semoga berjaya.

Sunday, November 30, 2014

Merancang Hari Keluarga Syarikat (2)

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Setelah semua bajet telah dinilai oleh semua ahli jawatankuasa pelaksana kerja dan diterima oleh bendahari, maka perkara seterusnya yang perlu dilakukan ialah menganalisa bajet keseluruhan adalah tidak melebihi bajet yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan syarikat.

Setelah semua bajet dianalisa, bendahari perlu memberi nasihat tentang cara pembayaran setiap perbelanjaan yang telah dirancang oleh ahli jawatankuasa pelaksana. Ini bagi memastikan setiap perbelanjaan adalah mengikut prosedur yang betul dan tidak melanggar terma-terma yang ditetapkan.
Contohnya, syarikat bersaiz besar lazimnya mementingkan kewujudan lesen syarikat bersaiz kecil yang berdaftar. Ini bagi memudahkan pembayaran yang selalunya dilakukan dalam terma kredit dan bukan tunai.

Setelah semua perbelanjaan telah ditetapkan, maka pengurus projek akan mengarahkan setiausaha untuk menyediakan surat perlantikan kepada semua syarikat yang telah dipilih untuk memastikan syarikat yang dilantik tidak melanggar syarat-syarat yang telah ditetapkan. Surat pengakuan penerimaan tanggungjawab juga perlu didapati daripada semua syarikat terpilih.
Pembayaran wang permulaan juga kadang-kala diperlukan untuk syarikat bersaiz kecil yang mempunyai modal yang terhad. Semua perkara ini boleh dinyatakan di dalam surat perlantikan dengan menerangkan dengan terperinci mengenai terma pembayaran.
Setelah semua perkara sudah dilakukan, maka pengurus projek boleh meneliti program keseluruhan majlis. Ahli jawatankuasa pelaksana program perlu memastikan semua perkara diambil kira seperti:
1.       Senarai menu makanan dan minuman yang dirancang oleh AJK Jamuan
2.       Senarai permainan dan sukan yang dirancang oleh AJK Permainan
3.       Senarai hadiah yang disediakan oleh AJK Cenderahati perlu selari dengan perancangan AJK Permainan

Bersambung.

Friday, November 7, 2014

Merancang Hari Keluarga Syarikat (1)

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Lazimnya sesetengah syarikat menganjurkan Hari Keluarga pada hujung tahun iaitu selepas semua aktiviti pencapaian objektif syarikat sudah dilaksanakan. Pengajuran Hari Keluarga adalah sebagai tanda terima kasih syarikat kepada para pekerja.

Pelaksanaan setiap syarikat juga berbeza pendekatannya. Terdapat syarikat yang membawa pekerjanya melancong ke tempat pelancongan di dalam atau di luar negara. Penganjuran sebegini lazimnya dilakukan oleh kumpulan syarikat bersaiz kecil.

Bagi syarikat bersaiz besar yang mana pekerjanya mencecah ribuan orang, penganjuran Hari Keluarga di lokasi setempat adalah lebih ekonomik dan mudah diurus.

Perkara pertama yang lazimnya dilakukan ialah menubuhkan ahli jawatankuasa kerja bagi projek penganjuran tersebut. Kertas kerja perlulah dibentangkan kepada pihak pengurusan tertinggi terlebih dahulu. 

Kertas kerja perlulah mempunyai maklumat seperti berikut:

  1. Tarikh
  2. Tema
  3. Bajet
  4. Jawatankuasa induk - terdiri daripada pengerusi projek, setiausaha, bendahari dan jawatankuasa pelaksana

Kertas kerja ini sebaik-baiknya telah dibentangkan dan telah mendapat kelulusan paling kurang 3 bulan sebelum tarikh pelaksanaan aktiviti. Sebaik sahaja kertas kerja telah diluluskan, maka mesyuarat pertama perlu dilakukan dengan kadar segera.

Di dalam mesyuarat ini, pengerusi projek perlu memberi gambaran keseluruhan kepada para ahli jawatankuasa mengenai kertas kerja yang telah diluluskan. Beliau juga perlu menyatakan dengan teliti skop kerja setiap bidang tugas bagi mengelakkan keciciran skop yang akan mengganggu kelancaran projek.

Pengerusi juga perlu memberi tempoh masa kepada ahli jawatankuasa untuk membuat perancangan aktiviti dengan lebih terperinci dan meminta mereka menilai bajet bagi setiap aktiviti yang dicadangkan.

Setiap aktiviti yang dicadangkan perlulah tidak lari dari tema yang telah diluluskan di dalam kertas kerja. Pengerusi juga perlu memberi arahan kepada setiausaha untuk menyediakan surat pelantikan kepada setiap ahli jawatankuasa induk dan ahli jawatankuasa pelaksana. Ini bagi memastikan setiap ahli memberi komitmen penuh terhadap projek yang bakal dianjurkan.

Semasa mesyuarat pertama juga, bendahari perlu mendapat persetujuan semua ahli pelaksana untuk menyiapkan bajet masing-masing. Bajet ini perlu bagi memastikan bajet penganjuran tidak melebihi bajet yang telah diluluskan di dalam kertas kerja.

Setelah semuanya jelas dan memahami hala tuju projek, mesyuarat boleh ditangguhkan sehingga bajet keseluruhan sudah diterima oleh bendahari.

Bersambung.