Wednesday, September 24, 2014

Salam Rabu 24092014

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Hari ini saya berada di Kerteh, Terengganu. Ada tugasan dua hari. Sampai melalui lapangan terbang Kuantan malam tadi. Sekitar pukul 9.00 malam baru selamat tiba di hotel. Perjalanan dari Miri bermula pukul 12.00 tengahari. Dua pesawat perlu dinaiki. Sudah lama saya tidak mempunyai tugasan luar daerah.  Mabuk kenderaan pula saya di dalam teksi. Malu.

Bilik hotel mengadap laut. Indah pemandangan pantai timur. Rasanya sudah lebih 5 tahun saya tidak menjejak kaki ke pantai timur. Banyak bangunan baru. Sepatutnya saya membawa kasut sukan. Lebih selesa untuk bersiar-siar di tepi pantai.

Semasa dalam pesawat ke Kuantan, saya duduk di tepi tingkap. Di sebelah saya pasangan kekasih. Mungkin juga baru berkahwin. Mereka sungguh mesra. Bisik hati. Kenapa perlu menunjuk-nunjuk. Tapi saya pilih untuk bersangka baik. Mungkin mereka dalam fasa bahagia. Biarkan saja. Mereka sudah dewasa untuk berfikir. Saya teruskan aktiviti membaca. Itu matlamat saya untuk tugasan luar daerah. Sekurang-kurangnya saya habis membaca sebuah buku. Kerana saya tidak mempunyai masa lain untuk aktiviti membina minda ini. Saya membaca sahaja. Hati saya lebih tenang daripada mulanya sibuk membuat penilaian pada pasangan tersebut.

Menilai. Suatu tindakan luar sedar yang selalu kita lakukan pada sesiapa. Kadangkala penilaian yang terlalu rumit membuatkan kita menjadi emosi dan negatif. Saya harap saya boleh melatih hati untuk tidak menilai terlalu kompleks. Jauhkan juga untuk menjadi penghukum disebabkan penilaian kita yang entah betul entahkan tidak.

Perut sudah lapar. Mencari makan malam versi pantai timur.

Sunday, September 21, 2014

Salam Isnin 22092014

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Hari ini seperti biasa Harith Fakhruddin bangun tanpa banyak soal. Meskipun sudah seminggu bercuti, dia cergas saja. Najah Munirah bangun dengan drama yang sudah dijangka. Malas saya melayan. Biarkan saja. Melayan rajuk sendiri. Khairil Ammar seperti tahu cuti sudah habis. Tidur saja. Semasa cuti dia lah yang paling awal bangun. Mahu bermain sepuasnya.

Hari ini saya ada kerja di hotel. Esok tengahari sudah perlu bergegas ke lapangan terbang. Harapnya saya sempat menyiapkan kerja tertunggak.

Bisik suami, minggu depan dia pula perlu ke luar daerah. Nampak gayanya, tidak pulanglah kami ke rumah sendiri selama dua minggu. Hidup kami memang nomad . Entah bila pencarian pembantu rumah akan berakhir.

Saya perlu ke pejabat.

Friday, September 19, 2014

Salam Sabtu 20092014

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Pagi ini suami perlu ke pejabat. Saya terpaksa membangunkan Khairil Ammar untuk menghantar abang dan kakaknya ke kelas mewarna. Nasib baik dia tidak marah. Tersengeh saja semasa saya mengangkatnya ke kerusi bayi. Selesai makan, dia tidur kembali. 

Saya hanya ada 10 minit di sini. Perlu mengemas bag. Minggu depan saya perlu ke Kerteh. Hari ini cadangannya mahu merai anak-anak sebelum cuti sekolah berakhir. Asal ada air dan kolam. Mereka sudah cukup gembira. 

Sebelum Khairil Ammar bangun, saya perlu menyambung kerja. 

Semoga semua gembira berhujung minggu.

Thursday, September 18, 2014

Membeli belah di alam maya (2)

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Salam Jumaat

Hari ini saya kongsikan pengalaman membeli secara online dari instashop.
Tidak dinafikan pengaruh ‘review’ dari ‘public figure’ seperti artis banyak memberi pengaruh untuk menekan butang ‘follow’ di Instagram. Saya rasakan gambar di Instagram lebih menarik dari Facebook. Ini kerana focus Instagram adalah gamba. Cantik gambar, mudahlah kita rasa berkenan sekiranya memang memerlukan produk tersebut. Berbanding dengan Facebook. Semakin hari saya rasa semakin lemas dengan lambakan maklumat. Semua benda berada di Facebook. Saya boleh pening menatap Facebook terlalu lama. Fokus juga cepat berubah untuk membaca artikel dan menonton video daripada melihat produk jualan.

Cuma perkara paling leceh membeli belah di Instagram ialah proses untuk menyimpan nombor telefon penjual didalam buku telefon kita. Pemalasnya saya. Perkara itu pun saya rasakan leceh.

Selesai menyimpan nombor tersebut. Kita boleh terus ‘print screen’ gambar-gambar produk yang kita berkenan dan hantar secara percuma melalui aplikasi ‘whatsapp’. Setakat ini, nasib saya baik kerana semua produk yang saya print screen gambar tersebut mempunyai stok.

Maka, selesai pembayaran dan memberi maklumat diri. Beberapa hari kemudian, barang yang ditunggu sudah sampai. Saya pernah membeli baju menyusu, tudung dan baju Khairil Ammar melalui kaedah ini.

Masa rehat sudah hampir tamat. Sambung kerja dulu.

Tuesday, September 16, 2014

Membeli belah di alam maya (1)

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Salam Isnin.

'Cantiknya baju. Beli di mana?'

'Beli online'.

'Comel stokin lengan ni. Kedai mana ada menjual?'

'Beli online'.

Itu antara soalan dari sanak saudara pada Hari Raya yang lalu. Jawapan saya pula hampir sama. Online.

Tidak dapat dinafikan saya sangat bergantung kepada kedai alam maya. Rutin kerja yang sibuk. Tambahan pula saya tidak sempat menempah baju tahun ini kerana saya sibuk melahirkan Khairil Ammar dan berpantang di awal tahun. Hanya baju melayu suami yang saya sempat tempah dengan hasil kualiti yang baik. Baju yang saya tempah di saat akhir semuanya tidak memuaskan. Terasa rugi pula. Bukan mudah mencari tukang jahit yang sanggup menjahit baju kanak-kanak. Disebabkan itu, baju Najah Munirah banyak dibeli online. 

Baju saya sendiri saya beli online dari kedai yang saya pernah beli secara offline. Sudah tahu memilih saiz yang sesuai. Saya jarang membeli jubah kerana ukuran panjang yang selalu tidak menepati citarasa. Tidak pernah pula saya mencuba kedai online memotong jubah mengikut ketinggian saya. Pre-order. Bagi saya agak leceh. Malas sebenarnya.

Saya tidak begitu gemar membeli belah mengikut waktu yang ditetapkan penjual. Saya membeli belah ketika saya mempunyai masa.

Banyak juga pengalaman membeli online. Shopping cart, Facebook dan Instashop.

Di lain masa saya kongsikan. Perlu ke pejabat dulu.


Sunday, September 14, 2014

Salam Isnin 15092014

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Hari ini saya dan suami mengambil cuti tahunan. Alang-alang esok cuti umum. Cuti mengemas sebenarnya. Anak-anak meminta dihantar ke rumah nenek. Bosan agaknya. Mereka minta ke kolam renang tetapi hari pula tidak begitu cerah. 

Semalam Harith Fakhruddin dan Najah Munirah menyertai pertandingan mewarna. Sengaja saya dan suami biarkan mereka berdikari. Kami cuma mengambil gambar dari jauh dan berlalu menghabiskan masa menunggu di sekitar pusat membeli belah tersebut. Kami tidak menunggu atau memberi sebarang arahan. Mereka duduk berasingan kerana berlainan kategori.

Kalau pun mereka mahu ke tandas, saya mahu melihat sama ada mereka berani mengangkat tangan dan memaklumkan pada jawatankuasa pengiring. Khairil Ammar tidur di dalam kereta sorong. Masa pertandingan hampir tamat, barulah dia bangun kelaparan.

Selesai pertandingan, saya hadiahkan dua beradik ais krim. Saya tahu lukisan mereka tidak setanding peserta lain yang berpengalaman. Tujuan sebenar adalah untuk memberi pendedahan. Meningkatkan keyakinan diri dan berdikari. 

'Mahu ikut pertandingan lagi?'

'Mahu mama.'

Saturday, September 13, 2014

Salam Ahad 14092014

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Najah Munirah sudah bangun. Sekali sekala minta dilayan berborak. Dua beradik masih lena. Saya dan suami mengambil peluang membuat kerja tertunggak. Harith Fakhruddin dan Najah Munirah saya daftarkan memasuki pertandingan mewarna sempena Hari Malaysia. Sengaja saya mencari aktiviti sempena cuti. Tidak lah mengadap komputer sahaja. Semalam tiada kelas seni. Nasib baik kelas piano Harith Fakhruddin tidak bercuti. Najah Munirah meminta dia dimasukkan ke kelas piano seperti abangnya. Saya menerangkan bahawa umurnya belum cukup. 

Kelas muzik agak teknikal. Saya sendiri tidak faham teorinya. Saya dan suami setuju menghantar anak-anak ke kelas sebegini pada hujung minggu adalah sebagai pendedahan selain kelas akademik 5 hari seminggu. Nasib kami baik kerana Harith Fakhruddin suka bersekolah. Rutin sekolah biasa di waktu pagi dan sekolah agama di sebelah petang. Pulang ke rumah, dia mengadap pula kerja sekolah. 

'Banyaknya kerja mama'. 

Najah Munirah membebel di sebelah saya. Dia mahu mengambil alih komputer untuk sesi 'StarFall'.