Tuesday, May 12, 2015

3 cara mengitar semula alat permainan lama

Teks dan foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Rasanya semua ibu bapa ada pendapat yang sama. Anak-anak tertarik dengan permainan baru untuk jangkamasa yang sangat pendek. Baru saja beli pagi tadi, esok pagi sudah berkurangan minat mereka. Berbeza dengan sesuatu barang bukan permainan seperti besen, periuk dan bekas-bekas makanan yang tersusun di rak. Semua ini lebih menarik daripada permainan berharga puluhan malahan ratusan ringgit.

Beginilah cara saya menyimpan permainan anak-anak.

1) Bahagikan permainan mengikut hari tertentu. Contohnya hari Isnin, bekas yang paling atas akan dibuka terlebih dahulu. Bekas-bekas lain tidak boleh dibuka sehingga tiba hari yang sepatutnya.

2) Kumpulkan kategori permainan yang pelbagai di dalam setiap bekas. Saya letakkan permainan yang mempunyai muzik, bola, patung dan kenderaan di dalam setiap bekas. Anak-anak akan bermain mengikut kegemaran mereka pada hari tertentu.

3) Kekalkan sensasi membuka bekas seperti membuka kotak permainan baru. Anak-anak teruja dengan aktiviti sebegini. Di harap dengan menyimpan secara berasingan, maka keseronokan bermain dapat diulang.

Selamat mencuba.

Monday, May 4, 2015

5 langkah mengitar semula pelbagai kotak

Teks dan foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Saya selalu menyimpan kotak-kotak bijirin, kotak biskut dan kotak ubat gigi. Kali ini saya kongsikan bagaimana saya membuat ruang di dalam laci daripada kotak-kotak tersebut.

1) Langkah pertama ialah dengan menyusun semua kotak yang sesuai mengikut saiz keseluruhan laci. 

2) Tandakan dengan menggunakan marker ketinggian semua kotak tersebut.

3) Gunting atau potong lebihan kotak di bahagian atas.

4) Anda boleh membalut kotak-kotak kecil tersebut untuk lebih comel dan kemas.

5) Setelah siap, susun semua benda mengikut saiz ruang kotak yang comel tadi.


Selamat mencuba dan pasti anda dapat menjimatkan beberapa minit masa berharga mencari barang yang kecil di dalam laci yang mempunyai barang yang banyak.

5 aktiviti yang boleh dilakukan di pantai bersama anak-anak

Teks dan foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham
Pantai adalah tempat yang penting untuk dikunjungi semasa anak-anak sedang membesar. Suasana santai menikmati keindahan laut sesuai untuk mengajar anak-anak tentang beberapa perkara asas.

Saya senaraikan 5 aktiviti mudah semasa berada di pantai.

1) Mengajar anak-anak tentang tekstur pasir. Biarkan mereka berkaki ayam. Bermain, menggengam pasir dan membina istana pasir adalah bagus untuk menggalakkan imaginasi dan rangsangan pada deria kulit.

2) Meminta anak-anak mencari beberapa sampah yang berada di sekitar pantai. Aktiviti ini mengajar anak-anak supaya menjaga kebersihan dan mengekalkan keindahan alam sekitar. Terangkan pada mereka akibat sampah yang dibuang ke dalam laut holeh menyebabkan kematian penyu dan ikan kerana makan sampah yang tidak hadam.

3) Mengajar anak-anak tentang ombak dan bahaya sekiranya saiz ombak terlalu besar. Mereka perlu tahu bila boleh bermain di pantai dan bila keadaan menjadi bahaya.

4) Menerangkan kepada anak-anak tentang ciptaan tuhan yang sangat cantik. Oleh itu kita mesti sentiasa bersyukur. Bersyukur adalah suatu bentuk berterima kasih. Kita berterima kasih pada Allah dengan menunaikan solat.

5) Beriadah bersama anak-anak. Pantai adalah sangat sesuai untuk berjogging, bermain layang-layang dan bermain permainan rakyat seperti ting ting.

Salam Selasa.

Tuesday, March 31, 2015

Origami mengelakkan anak dari ketagih gajet

Teks dan foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Seni melipat ataupun origami bukan lah suatu yang asing. Saya sendiri tidak cukup sabar mengikut arahan langkah demi langkah yang teliti dan rumit.

Namun disebabkan saya tidak mahu Harith Fakhruddin terlalu taksub dengan skrin elektronik. Maka saya melabur banyak kertas kosong. Saya beli satu rim kertas kosong tanpa jenama, khas untuk dia melipat-lipat. 

Origami terawal saya perkenalkan ialah kapal terbang. Lipatan mudah dan segera siap. Pada masa tersebut segenap ceruk almari dan sudut rumah dipenuhi kertas origami kapal terbang yang berjaya mendarat. Dia akan mengulangi proses lipat dan terbangkan pesawat. Saya tidak pasti berapa bulan. 

Di dalam kereta pun penuh dengan pesawat kertas. Tetapi saya tidak pula membebel. Saya lebih suka dia bermain origami daripada memandang skrin ipad. Niat yang paling penting. Objektif kenapa kita mahu anak bermain kertas. Proses melipat-lipat itu adalah masa sel-sel otak berhubung dengan aktif. Imaginasi juga semakin bertambah.

Selepas beberapa bulan, dia seperti ketagih origami. Meskipun menonton youtube, dia menonton tutorial origami yang sukar dan rumit. Tidak pula saya kisah apabila dia menonton skrin secara aktif. Otak dan tangan masih bergerak meski mata memandang skrin.

Kini dia sudah boleh membaca arahan dari buku-buku origami. Kemahirannya meningkat. Tidak perlu tutorial, melalui bacaan langkah demi langkah dia mampu membuat lipatan yang saya sendiri tidak faham bagaimana dia membuatnya.

Sampai bila dia akan bosan saya tidak pasti. Saya juga tidak kisah. Saya anggap itu cara dia melepaskan tekanan sebagai budak darjah tiga yang bersekolah pagi. Juga sekolah agama di waktu petang serta perlu menyiap pelbagai tugasan di rumah pula setiap malam. 

Saya juga masih menyimpan beberapa helai kertas kosong di dalam kereta. Tidak akan bosan Harith Fakhruddin.


Monday, March 30, 2015

Cara membuat rumah kotak

Teks dan foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Dua minggu yang lalu Najah ada tugasan semasa cuti. Dia perlu membuat satu projek tentang 'rumah saya'. Syaratnya 90% tugasan tersebut dilakukan oleh anak-anak. Cuma 10% atas bantuan ibu bapa. Tidak pasti pula peratusan bantuan saya dalam projek ini. Saya cuma mencantumkan kotak dengan selotap. Kerja-kerja seni yang lain saya serahkan kepada Najah Munirah.

Di sini saya kongsikan beberapa langkah mudah.

1) Kotak bijirin sarapan

Saya ada habit menyimpan kotak-kotak bijirin. Tidak kira bijirin kanak-kanak atau dewasa. Pasti ada kegunaannya.


2) Mencantum dan membentuk rumah

Buka kotak tersebut dengan berhati-hati. Terbalikkan dan cantumkan setiap bahagian dengan gam atau selotap. Saya selalu nak cepat. Maka gunalah selotap sahaja. Pastikan semua bahagian dicantum dengan rapi. Bentukkan bahagian atas kotak menjadi atap. Gunakan imaginasi masa zaman kanak-kanak dahulu. Atap rumah semestinya berbentuk huruf 'A'. 

3) Melukis bahagian rumah

Proses ini saya serahkan pada Najah Munirah 100%. Tidak perlu sempurna. Saya biarkan dia memilih berapa tingkap yang dia mahu. Warna apa yang dia suka. Proses ini sangat penting untuk menggalakkan imaginasi di luar kotak. Tidak kisah lah tingkap banyak tapi tak ada pintu. Layankan saja.


Mula-mula rajin nak mewarna ala pelangi. Tapi bila dah mengantuk, marker biru pun dia guna supaya cepat siap. 

4) Tapak rumah

Ambil satu lagi kotak bersaiz kertas A4 sebagai tapak rumah. Lebih mudah rumah berdiri dan dipamer di sekolah. Kalau rajin boleh tambah taman dan kereta. Tapi semasa projek ini, Khairil Ammar sudah mengamuk kerana mengantuk. Maka rumah saja yang siap.




Selamat mencuba.

Sunday, March 22, 2015

Melawat Tip of Borneo

Teks dan foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Semasa di Kota Belud, kami mencari tempat yang boleh dilawati. Orang tempatan mencadangkan supaya kami ke Kudat melihat Tip of Borneo. Maksudnya penghujung tanah Borneo. 

Jalan ke sana juga sempit berbukit bukau. Ada kawasan yang masih belum berturap. Saya mual lagi sepanjang perjalanan. Kurang lasak jika berlama-lama di dalam kenderaan. 

Setelah menghabiskan masa tiga jam barulah kami sampai. Sedikit menyesal kerana pening kepala. Namun apabila sampai dan melihat kecantikan laut dan pemandangannya. Penat lelah duduk di dalam van beransur hilang.

Kami bersantai selama dua jam di sana sebelum memulakan perjalanan pulang ke Kota Belud. 

Selesai majlis bertandang ke Kota Belud baru saya faham mengapa saya mual dan pening sepanjang perjalanan.

Rupa-rupanya saya sudah mula mengandung ketika itu.

Orang lain yang kahwin, saya pula yang mengandung. 

En. Suami sengeh saja.



Bertandang ke Kota Belud

Teks dan foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Tidak lama lagi bulan April. Anak buah saya akan menyambut hari lahirnya yang pertama. Terkenang pula saya kisah kami bertandang ke Kota Belud, Sabah dua tahun lalu untuk majlis pernikahan dan perkahwinan adik lelaki tunggal saya.

Itu kali pertama kami ke sana. Selalunya kami hanya ke Kota Kinabalu, Kundasang dan Ranau sahaja. Tempat wajib melancong melihat kemegahan gunung Kinabalu. 

Perjalanan ke Kota Belud dari Kota Kinabalu sekitar dua jam. Kami menyewa sebuah van bagi membawa rombongan pengantin lelaki.

Jalan ke sana agak sempit. Saya pening melihat jalan yang bengkang bengkok. Anak-anak seronok melihat kuda, lembu, kerbau dan bangau sungguh jinak di tepi jalan.

'Macam zoo mama, kata mereka.'

Saya senyum saja.