Wednesday, November 25, 2015

Kempen derma darah 25/11/2015

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Semalam ada program derma darah di pejabat. Saya mencuba nasib lagi. Berbaris, mengisi borang dan menunggu giliran untuk diperiksa tahap kesihatan. Malam sebelumnya Khairil Ammar bangun 2 kali mahukan susu. Kepala terasa sedikit pening tapi saya gagahkan saja. Bukan teruk sangat pun, kata hati.

Sambil menunggu sempat bersosial dengan rakan-rakan sepejabat. Meskipun sama setingkat tetapi jarang berjumpa. Masing-masing sibuk dengan hal sendiri. Setelah lebih kurang sejam barulah nama saya dipanggil. Buku rekod mengesahkan kali terakhir saya berjaya menderma darah adalah pada tahun 2012. Tersenyum pegawai kesihatan membaca. 12/12/2012.

'Selepas itu ada mencuba tetapi saya sibuk mengandung, menyusukan anak dan sebagainya.'

Sengeh lagi pegawai kedua. Ok. Periksa darah dahulu, katanya.

Sedikit berdebar kerana tiga bulan lalu saya mencuba tetapi gagal di kaunter tiga. Tekanan darah awak terlalu rendah. Cuba lagi ya, katanya.

Giliran saya. Berat badan lulus. Tiba masa memeriksa darah. Saya perhati pergerakan darah.

Timbul.

Maaf, darah kurang hemoglobin.

Cuba lagi ya. Terima kasih.

Saya senyum saja. Bisik pada diri sendiri. Tak sihat lagi. Bila lah nak sihat ni?

Saya rindu perasaan hero setelah berjaya menderma.

No comments:

Post a Comment