Wednesday, November 25, 2015

Kempen derma darah 25/11/2015

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Semalam ada program derma darah di pejabat. Saya mencuba nasib lagi. Berbaris, mengisi borang dan menunggu giliran untuk diperiksa tahap kesihatan. Malam sebelumnya Khairil Ammar bangun 2 kali mahukan susu. Kepala terasa sedikit pening tapi saya gagahkan saja. Bukan teruk sangat pun, kata hati.

Sambil menunggu sempat bersosial dengan rakan-rakan sepejabat. Meskipun sama setingkat tetapi jarang berjumpa. Masing-masing sibuk dengan hal sendiri. Setelah lebih kurang sejam barulah nama saya dipanggil. Buku rekod mengesahkan kali terakhir saya berjaya menderma darah adalah pada tahun 2012. Tersenyum pegawai kesihatan membaca. 12/12/2012.

'Selepas itu ada mencuba tetapi saya sibuk mengandung, menyusukan anak dan sebagainya.'

Sengeh lagi pegawai kedua. Ok. Periksa darah dahulu, katanya.

Sedikit berdebar kerana tiga bulan lalu saya mencuba tetapi gagal di kaunter tiga. Tekanan darah awak terlalu rendah. Cuba lagi ya, katanya.

Giliran saya. Berat badan lulus. Tiba masa memeriksa darah. Saya perhati pergerakan darah.

Timbul.

Maaf, darah kurang hemoglobin.

Cuba lagi ya. Terima kasih.

Saya senyum saja. Bisik pada diri sendiri. Tak sihat lagi. Bila lah nak sihat ni?

Saya rindu perasaan hero setelah berjaya menderma.

Tuesday, November 24, 2015

Program Kesedaran Penyakit Kanser

Teks dan foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Semalam, syarikat tempat saya bekerja menganjurkan Program kesedaran mengenai penyakit kanser.

Berkesempatan mendengar pengalaman 'cancer survivor'. Berikut adalah sebahagian nota yang saya ambil.

(1) Cara anda melihat musibah sangat penting untuk kembali pulih. Pilih persepsi positif bahawa anda orang yang terpilih untuk menerima ujian dan bukannya sebagai mangsa.

(2) Keluarga yang sangat menyokong dan juga positif adalah sangat membantu proses pemulihan.

(3) Sentiasa membuat apa yang anda paling sukai adalah satu terapi.

(4) Kondisi badan yang kuat semasa proses kimoterapi dan radioterapi mempercepatkan proses pemulihan.

(5) Makan makanan biasa dalam kuantiti sedikit.

(6) Proses pemulihan adalah dalam tempoh kurang dari 2 tahun.

(7) Bersenam adalah cara sistem badan memperolehi bekalan oksigen yang mencukupi.

(8) Elakkan daripada perkara yang mendatangkan stres seperti menonton berita semasa. Keadaan ini meningkatkan asid dalam badan. Sel kanser sangat suka asid.

(9) Makan banyak makanan daripada tumbuh-tumbuhan seperti bijirin, sayur dan buah.

(10) Mengelak kanser adalah dengan mengamalkan cara hidup sihat.