Tuesday, June 16, 2020

Cerita pangkat budak sekolah

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

"Tahun ini langsung tidak dapat hadiah" . Keluh NM.  Saya mendengar tanpa balas. "Setiap tahun abang naik pentas dan terima hadiah. Tahun ini tak ada rezeki. Sukan pun tak dapat pingat." Sambung NM seperti tidak mahu berhenti meluah.

"Tidak mengapa lah. Mama dan papa okay saja. Bukan kami marah pun kalau tak nait pentas". Pujuk saya sederhana. "Mesti seronok mama. Tahun ini lima orang dalam kelas kami dapat jadi pengawas tahun depan." NM sedikit cemburu. 

Saya tahu NM berharap benar mahu merasa penting. Ada jawatan. Saya sudah kering idea memujuk. "Tapi kan. Di dalam kelas siapa lagi yang pernah menjual sesuatu?". Saya teringat kisah dia menjual komik yang dia sudah baca separuh harga. Berpeluh saya ketika tahu perkara itu. Bimbang ibu bapa pelajar yang membeli membuat aduan. 

"Tahun ini hasil jualan buku dan komik terpakai saya RM 20." NM menjawab bangga walaupun sifir nya belum habis dihafal. "Tidak mengapa tidak naik pentas okay. Kalau jadi pengawas, nanti kurang masa untuk melukis komik. Pelanggan kan ramai menunggu tempahan siap." 
NM teringat kembali permintaan kawan-kawan nya untuk melukis. 

Saya mengingatkan apa yang dia ada dan tidak ada pada mereka yang selalu naik pentas. NM ceria kembali. Ada perkara yang akan membuat dia sibuk. Saya lega sebentar. Emosi kacau pelajar 9 tahun zaman sekarang. Kompleks juga. 

23/11/2019

Cerita cinta luar biasa

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Kisah cinta. Tekun saya mendengar ibu bercerita. Seingat saya, ketika masih belajar dahulu pakcik D memang sudah sakit. Lama sakitnya. Bertahun keluar masuk hospital. 

Saya mencongak sendiri. Barangkali sudah lebih 20 tahun isterinya, makcik S setia mengurus suami yang sakit kencing manis. Bermula dari sebelah kaki menjadi amputee. Sehinggalah kepada kedua-dua belah sudah tiada.

Ibu bercerita lagi. Beberapa kali mereka melawat pakcik D di wad kecemasan. Beberapa kali juga pakcik D sihat semula. "Wajah pakcik D ceria saja semasa kami melawat minggu lalu". 

Saya berfikir tentang apa yang saya baca sebelum ini. Saya diam saja tanpa komen. Mengikut pemahaman saya, itu satu petanda.
"Seperti biasa makcik S setia menemani pakcik D". Ibu saya menambah lagi.

Minggu ini kami dikhabarkan makcik S pergi mengadap pencipta Nya dengan tiba-tiba. Masalah pada jantung. Sempat memberi pelukan dan ciuman selamat tinggal sebelum dia ditahan di wad sebelah tanpa pengetahuan pakcik D. Kami diam memikirkan pasti pakcik D terasa benar hilang suri hatinya. 

Sehari kemudian kami sekali lagi menerima berita keluarga. Pakcik D menyusul meninggal dunia fana. Sekali lagi kami diam tidak terkata. Sesungguhnya perancangan Allah itu sentiasa yang terbaik untuk hambanya. 

Bersemadilah kedua mereka seperti sebuah kisah cinta yang sangat sederhana tapi penuh makna. Cinta makcik S yang sabar menyantuni suami yang sakit bertahun lamanya. Cerita sabar pakcik D menerima ujian kesihatan sehingga akhir hayatnya. 

Semoga keduanya dirahmati. 
Semoga Allah mengampuni mereka berdua. 

9/11/2019

Cerita pentas

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

"Mama ada cuti?". HF bersungguh mahu saya hadir. "Nanti mama kira berapa hari yang tinggal". Nasib baik berkelana di lautan utara September lalu. Adalah tambahan cuti sehingga hujung tahun nanti.

"Mama hadir sebagai penonton atau tukang sorak?". HF berfikir kurang pasti. Selepas hari raptai baru dia mengesahkan peranan saya hari majlis itu nanti.

Seingat saya, tidak pernah layak hadir majlis sebegini semasa bersekolah dahulu. Pelajar biasa-biasa. Tidak di atas sana. Tidak juga di bawah. Sedang-sedang saja. 

Maka ini kali pertama saya hadir meskipun 5 tahun bersekolah di sini. Lain orang lain cara mereka naik pentas dewan sekolah. Ada kerana acara sukan. Ada kerana bakat. Ada kerana cemerlang akademik.

Ada kerana menang carta kebersihan kelas.  Ada kerana sabar mengawas kawan-kawan yang lain. Rai saja perbezaan kebolehan dan minat. 

Jika semua ikan di dalam akuarium nampak sama warnanya. Maka hilang lah seri seni hidupan akuatik. Cia cia cia... Seronok saya melayan gamelan. 22 tahun dahulu rasanya belum ada alunan muzik tradisional ini. 

Majlis sederhana tanpa perlu hotel mewah. Kipas helikopter ringkas tanpa perlu penghawa dingin berkos selenggara yang tinggi. Mengajar anak-anak erti selesa yang sederhana. Ringkas tapi cukup. 

"Jom mama". Kami pulang segera mengenang cuti saya separuh hari saja. Pelbagai komitmen menanti diselesaikan segera. 

Terima kasih HF. Mama cuma menumpang hadir. 

NNE
2/11/2019

Cerita doa

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Sudah lama saya tidak melayan anak-anak bersiar-siar di dalam mall. Ya, bersiar-siar kerana saya lebih kepada membeli dengan niat maka kurang gemar bersiar-siar. Mohon jangan mencebik 😋.

HF, NM, KA memilih menu masing-masing. Seperti biasa saya akan mencari apa yang ada di dalam beg. Kertas kecil saya beri seorang sehelai. Itu tips supaya mereka bertenang dan kurang isu untuk bergaduh. Ada yang menulis, ada yang melukis dan ada yang melipat origami.

'Beli biskut nenek ya cu' . Tiba-tiba wanita lebih berumur dari ibu saya datang menjual biskut. Saya pandang biskut yang ada di dalam plastik biru itu. Empat bekas semuanya. Saya bayar saja. Mudah-mudahan boleh dia pulang awal berehat di rumah. 

Wang baki saya minta beliau simpan saja. 'Doakan kami semua sihat ya nek' . Beliau mengangkat tangan berdoa. Kami semua aminkan saja. Sempat dia berpesan supaya belajar bersungguh-sungguh kepada mereka bertiga yang terpinga-pinga. 

'Mama, kenapa kita minta nenek itu berdoa'. Saya tidak tahu jawapan yang betul. 'Doa orang yang susah dari kita mungkin lebih mustajab'. Itu saja idea saya waktu itu. 

Makanan yang dipesan juga sudah siap sampai. 
KA yang selalu mengelat membaca doa makan juga membaca dengan tenang kali ini. 

NNE
26/10/2019

Thursday, January 18, 2018

Selamat Tahun Baru 2018

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham
Foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Salah satu azam yang sempat dicapai untuk tahun 2017 ialah membaca satu buku sebulan sekali.

Alhamdulillah tercapai meskipun mencabar.

Sunday, November 12, 2017

Aktiviti bermain di rumah sempena cuti Deepavali

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham
Foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Sejak awal minggu lepas cuaca tidak cerah. Selalu ribut, berangin dan hujan. Tidak banyak aktiviti luar yang boleh dilakukan oleh tiga beradik ketika cuti sekolah minggu Deepavali.

Nasib baik mereka mengikut nenek balik ke kampung bertukar angin. Saya dan suami tidak cukup cuti. Selalu juga mereka mendengar bosan alasan saya apabila tidak ke mana-mana semasa cuti.

Sabtu lepas cuma menonton My Little Pony dalam slot Family Friendly TGV. Saya dan suami sempat melepas rasa mengantuk. Saya tanyakan pendapat mereka, seronok kah?

Najah mencebik tanda tidak setuju.
Jawapan Harith di luar jangkaan, dia terhibur.
Mungkin tiada pilihan. Hihi.
Ammar seperti biasa, tidak boleh duduk statik.

Asal ternampak matahari, kami bergegas keluar ke taman. Membuat riadah beberapa pusingan. Mengeluar peluh untuk hari-hari mendung yang kelam dan sejuk.

Petang Ahad mereka mahu keluar bermain di kolam. Saya berunding. Kolam pasti air nya sejuk kerana hari selalu hujan. Mereka setuju bermain dalam kolam plastik di luar rumah.

Saya memerhati. Mereka mencari bola untuk menjadikan aktiviti bermain lebih seronok. Getah hos juga dijadikan titi sebelum melompat ke dalam kolam.

Idea bermain banyak diberi oleh Najah. Harith dan Ammar mengikut saja. Saya ketawa sendiri. Terhibur melihat telatah kreatif mereka. Sekali sekala bising juga membebel kerana ada yang menyakat dan ada yang menangis.

Seminggu berlalu. Isnin bermula minggu peperiksaan pula. Rutin sibuk bermula.

Sunday, May 21, 2017

Hari Ibu 2017

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham
Foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Dua minggu lepas ramai yang menyambut hari ibu. Saya tidak ambil kisah sangat kerana setiap hari pun perlu menjadi ibu. Beza nya saya perlu bekerja ke luar kawasan selama tiga hari. Pada mulanya sukar untuk membuat keputusan. Nasib saya baik kerana Encik Suami dapat memohon bekerja dari luar kawasan. Polisi kerja beliau yang tidak ada di syarikat saya.

Saya membuat persediaan terperinci sebelum bertolak. Pelbagai nota ditinggalkan untuk suami. Pagi sebelum bertolak ke Labuan, saya bangun seawal jam 3 pagi untuk menyediakan sarapan dan bekalan sekolah. Jam 5 saya sudah berada di lapangan terbang. Sungguh kelam kabut rasanya kerana saya sudah lupa banyak prosedur penerbangan.

Selama 3 hari saya mempunyai masa untuk duduk bertenang setelah pulang dari pejabat. Makan bersama kawan-kawan tanpa ada gangguan. Berjalan kaki di awal pagi sambil menikmati pemandangan. Nikmat masa bersendiri. Itu hadiah sambutan hari ibu saya pada tahun ini. Tidak disengajakan dan atas tuntutan kerja. Anak-anak juga gembira kerana peluang bersama papa lebih 3 hari berbanding minggu biasa. Semua gembira. Itu yang utama.

Bukan mudah menyusun masa untuk pasangan suami isteri yang bekerja sepenuh masa dan tidak mempunyai pembantu rumah. Bukan tidak mahu ada pembantu, cuma selalu dapat yang tidak serasi. Lain kali ada masa bercerita tentang pembantu rumah. Pembantu kami sudah pulang sebelum cuti Tahun Baru Cina tahun ini. Saya lebih tenang tetapi lebih penat. Tidak mengapa. Kita tidak dapat apa yang kita mahu. Mungkin itu yang kita perlu.

Salam Ahad sebelum Ramadhan.