Friday, April 29, 2016

Pengalaman audit cukai pendapatan oleh LHDN

Teks: Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Hari ini hari terakhir menghantar borang BE untuk buruh macam saya. Baru-baru ni saya kena audit cukai rawak. Ayat positif ialah saya insan terpilih. Tak apa. Tarik nafas dan fokus. Semasa dapat surat tu panik lah sikit sebab entah mana kotak file saya sebab baru pindah rumah tak sampai setahun.

Perkara pertama saya buat ialah minta tempoh serahan dokumen supaya dipanjangkan. InsyaAllah dapat. Pegawai tu nasib baik hatinya baik. Saya pohon 40 hari, beliau beri 50 hari. Alhamdulillah. Sekiranya tidak faham butiran yang diminta, tanya terus dan jangan buat andaian. Simbol seperti '/' mungkin bermaksud 'dan' serta bukan 'atau'.

Kemudian sila lah mulakan proses korek dokumen bukti. Nasib baik saya ada file khas tentang cukai walaupun tak adalah cun mana dan tak kemas sangat. Siap scan semua dan namakan file document mengikut susunan dalam surat. Email atau serahkan kepada pegawai bertugas secepat mungkin. Usah tunggu sehingga tempoh yang diberi tamat. Saya kena bayar balik sejumlah wang.

Biasalah zaman baru isi borang BE 5 tahun dulu, tak tau yang mana boleh claim. Ingatkan organisasi yang glemer, masuk TV, promosi sana sini tu termasuk dalam senarai badan boleh derma. Kita perlu tengok satu-satu badan berdaftar di laman web LHDN. Banyak organisasi kurang glemer berada di dalam senarai. Bila dah tak cukup bayar tu kita kena lah bayar. Korek lah tabung arnab bawah katil ye. Tak payah emosi ok. Pegawai tu pun buat kerja dia sahaja. Tak kena penalti tu kira sujud syukur.

Selamat hari buruh ya.

Friday, April 8, 2016

Pengalaman peribadi mendapat servis di Hospital Miri

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Sepanjang dua minggu ini saya dan suami berpeluang memerhati dan merasai pengalaman mendapatkan nasihat di Miri General Hospital. 

Sebelum ini rezeki kami Allah beri dalam bentuk rawatan di hospital swasta. 

Alhamdulillah untuk itu semua.

Namun disebabkan kami mahu mendapatkan second opinion dari pakar yang berlainan tentang Thyroglossal cyst Najah, maka kami berjaya juga ke GH Miri. 

Bukan mudah untuk mendapatkan referral letter dari GP. Kami hanya berjaya setelah 3 kali mencari GP yang sanggup menyediakan surat untuk merujuk kes Najah dibawa ke GH.

Sebagai pengunjung yang lazim ke klinik dan hospital swasta. 

Saya dan suami gembira dengan servis cemerlang dan penjelasan professional para doktor kerajaan. 

Mungkin apa yang selalu kami dengar dan baca sebelum ini adalah kes-kes terpencil yang tidak wajar disamaratakan. 

Jika kita faham sistem dah prosedur yang ditetapkan, InsyaAllah kita tidak kecewa menunggu giliran.

Kami akan masih mengunjungi klinik dan hospital swasta mengikut kesesuaian masalah kesihatan.

Sekurang-kurangnya keutamaan kepada golongan yang tidak berpeluang ke hospital swasta perlu diambil kira. 

Jika anda ada kawan yang berkhidmat di sana, saya izinkan untuk anda berkongsi cerita. 

Semoga perkongsian saya membuat mereka ceria.







Tuesday, March 8, 2016

Terapi pagi

Teks: Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Saya tak suka ikut 'main road'. Setelah menghadapi pagi yang selalunya terasa panjang walaupun hanya sejam. Biasalah mak-mak macam saya. Macam-macam dah berlaku di rumah seawal 5 pagi.

Jalan alternatif yang kecil selalunya jadi pilihan saya. Sebabnya saya rasa serabut tengok pemandu yang selalu emosi tak stabil dan jiwa kacau memandu di jalan utama. 

Sambil tengok anjing liar tidur.
Sambil mengelak pemandu motosikal.
Sambil tengok semak samun.
Sambil tengok pokok dan burung.
Sambil tengok peniaga tepi jalan.
Sambil tengok penunggang basikal berhenti tepi jalan memberi laluan kepada kenderaan berat.

Tuhan mengajar kita dalam banyak cara. Cuma perlu lihat dan analisis dengan mata hati.

Penunggang basikal lebih tenang jiwanya dari pemandu kereta besar di jalan utama.

Itu terapi saya. Anda bagaimana?

Monday, March 7, 2016

Kisah pagi Selasa

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Saya tak siap lagi buat bekalan sekolah. Si bongsu Ammar sudah menangis bangun lebih awal dari biasa. Dalam hati sempat berkira-kira masa. Habis lah lambat keluar rumah nampaknya.

Saya pujuk tapi tak reda juga tangisannya. Saya yang berkulit biasa ni dah bertukar warna menjadi hijau umpama Encik Hulk. Rupanya nak dukung dan bermanja. Alahai alahai...kita tak cukup masa ni anakanda. Nanti lambat pula si abang ke sekolah.

Saya tarik nafas panjang dan sedut aroma masam si bongsu dalam-dalam. Tiba-tiba warna kulit saya bertukar daripada hijau kepada warna asal. 

Saya pujuk diri, kalau pun si abang lambat hari ini. Saya nak ajar dia realiti hidup ni tak semua benda sempurna. Kita hidup bermasyarakat. Kalau kita jenis nak sentiasa awal. Mungkin ada orang tak macam kita. Toleransi pada keadaan sekeliling akan menyebabkan kita lebih tenang-tenang saja.

Masa tinggal setengah jam sebelum ujian progresif bermula. Tak apalah abang ya, nanti dah besar mungkin kita kena buat 'impromptu speech'. Getaran rama-rama pada abdomen itu lebih kurang rasanya. Saya bersiap seperti biasa sambil hati berdoa dipermudahkan perjalanan.

Abang selamat sampai ke sekolah 7 minit sebelum bermula. Sempat salam cikgu-cikgu. Saya agak sempatlah bertenang sebelum mula ujian. Saya pun sempat dapat parking maharaja di pejabat. Tahap maharaja kerana kalau hujan, sekadar berlari gaya itik tak lah lencun tanpa payung.

Selamat menjawab soalan periksa anakanda sekalian.

Monday, February 22, 2016

Salam Selasa 23022016

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham


Malam semalam selepas menyuap tiga beradik makan malam, kami berehat di ruang tamu. Sengaja saya memberi masa mereka menonton sebentar kerana sekarang Harith Fakhruddin dalam fasa suka menonton berita semasa. Khairil Ammar sibuk bermain set kenderaan hadiah ulang tahun ke dua nya. Tiba-tiba Najah Munirah datang minta dibelai. Anak perempuan memang sentiasa mahu dibelai. Sudah dipeluk juga dia boleh komen tiada ada orang sayang dia hari tersebut.

Mama, hari kiamat ya hari sekolah kah cuti? 
Saya diam mencari jawapan. 
Hari Jumaat. Mungkin sekolah. 
Jawab saya perlahan. Selepas 2 saat baru terasa lawaknya.

Najah memang akan mengira hari bersekolah. Baru Isnin, dia sudah mengira berapa hari lagi ke Jumaat. Tidak sabar menanti hujung minggu.
Macam-macam. Senyum dan layan saja.

Sunday, February 21, 2016

Salam Isnin 22022016


Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Ahad semalam kami cuma ke kolam renang. Menamatkan zikir Najah Munirah yang berlanjutan sejak minggu lepas. Sabtu juga hanya berkunjung ke Pustaka Miri dan meminjam beberapa buah buku. Saya mahu menyekat masa Harith Fakhruddin mengadap skrin. Selalunya dia akan menyiapkan kerja sekolah seawal petang Jumaat supaya hujung minggu nya bebas.


Dia ingatkan mama ni tak ada idea agaknya.Saya akan memastikan dia membaca buku yang dipinjam di perpustakaan supaya masa dia bermain komputer dan menonton televisyen akan lebih terhad. Harith mudah hilang fokus. Saya perlu sentiasa memantau. Cara paling mudah, saya akan mengajak dia membaca bersama-sama. Dia membaca bukunya. Saya juga perlu duduk disebelah dan membaca.


Sedikit risau dengan perkembangan Najah. Dia belum lagi mahir membaca. Tahun hadapan sudah bermula darjah satu. Secara peribadi saya tidak kisah. Cuma saya risau sukatan pelajaran sekolah sangat mencabar zaman sekarang. Bimbang dia akan merasa rendah diri jika ketinggalan. Saya perlu membuat gerak gempur cuti sekolah Mac ini.


Khairil Ammar pula ada perangai baru. Dia suka membuka sendiri lampin pakai buangnya. Puas saya mengejar ke sana ke mari. Budak bijak ketawa saja.Pejam celik pejam celik sudah bulan ke dua saya mengurus rumah seorang diri. Encik suami cuma ada di hujung minggu. Semoga semuanya baik-baik saja. Dua minggu lepas bergilir-gilir ahli rumah tidak sihat. Sungguh mencabar emosi tetapi tidak dapat terlalu dilayan. Jalan terus. Senyum saja.




Sunday, January 17, 2016

Tips memasak untuk bekalan seminggu

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Menyediakan makanan yang dimasak di rumah adalah satu usaha yang saya perlu rancang dengan teliti. Bukan acah-acah merancang tapi memang kena buat betul-betul. 

1) Rancang ikut hari bekerja
5 menu sarapan dan 5 lauk makan malam. Menu sarapan selalunya saya sediakan makanan tidak berkuah supaya mudah untuk dibawa bekal ke sekolah dan ke pejabat.

2) Menu ringkas dan sihat
Selalunya saya masak lauk berempah seperti kari ayam dan dan sup daging dihujung minggu.  Selepas disejukkan, saya akan masukkan makanan tersebut ke dalam bekas cukup untuk sekali makan dan dibekukan.

3) Simpan dengan rapi
Sayur pula saya akan hiris dan simpan dalam diamond foil supaya tidak layu. 

Selamat mencuba.
Terima kasih kerana membaca entri ini.