Saturday, September 12, 2015

Aktiviti anak-anak dihujung minggu : Membuat kek mikro

Teks dan foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Sudah lama saya tidak membuat aktiviti dapur bersama anak-anak. Sejak berpindah dan keadaan rumah baru yang belum mempunyai oven menyebabkan saya menangguh sebarang projek. Sejak beberapa hari ini, viral di Facebook tentang resepi kek cawan. Seronok Harith Fakhruddin dan Najah Munirah apabila diajak. Harith membaca resepi dan Najah memasukkan bahan-bahan.

Saya kongsikan resepi yang saya gunakan pagi tadi.

Bahan-bahannya:
  1. 4 sudu besar milo
  2. 4 sudu gula kastor
  3. 4 sudu besar tepung gandum
  4. 4 sudu besar susu segar
  5. 4 sudu besar minyak masak
  6. Sebiji telur
  7. Sedikit baking powder
  8. Bahan tambahan - Chocolate chips 
  9. Bahan hiasan - Kepingan badam yang dibakar terlebih dahulu
Cara membuatnya:
  1. Gaulkan semua bahan
  2. Masukkan ke dalam bekas ceramic
  3. Bakar dalam ketuhar mikro selama 3 minit
Setelah siap. Mereka makan berkongsi. Boleh lah untuk menahan lapar sebelum makan tengah hari.
Selamat mencuba.



Monday, September 7, 2015

Aktiviti biasa di halaman rumah

Teks dan foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham


Salam Selasa.

Minggu lepas saya belikan penyiram bunga berbentuk gajah ini untuk HaNaMar. Kanak-kanak perlukan rutin menghirup udara luar setiap hari untuk lebih ceria.

Setiap kali Khairil Ammar merengek manja meminta untuk didukung, saya akan membiarkan dia berjalan di halaman rumah. Selesai melepaskan penat membakar lebihan tenaga, dia akan tidur lebih lena. 

Harith Fakhruddin dan Najah Munirah cukup gembira disuruh menyiram bunga. Jika mereka menyiram lantai, mama pejam sebelah mata.

Friday, September 4, 2015

3 perkara yang anda perlu tahu untuk bekerja di rumah

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham
Foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Tidak dinafikan ramai yang bercita-cita untuk bekerja di rumah. Kelapangan masa untuk menentukan urusan harian semamangnya impian ramai wanita. Namun begitu, 3 perkara berikut perlu di urus untuk memastikan anda berjaya untuk bekerja di rumah.

1. Fokus

Rumah adalah tempat yang paling selesa untuk diri sendiri. Sofa, tilam dan katil seolah-olah melambai kita jika tidak berhati-hati. Fokus tidak mudah tetapi boleh dilakukan. Seperti juga di pejabat, kita boleh hilang fokus kerana sapaan rakan sekerja dan perbincangan yang dilakukan secara tiba-tiba. 

Tetapkan masa untuk menyiapkan sesuatu perkara dalam masa setengah jam. Berjanji pada diri sendiri bahawa anda tidak akan melihat facebook, membeli belah online atau menonton televisyen.
Biar fokus walaupun setengah jam sahaja. Rehat sebentar untuk aktiviti lain seperti kerja rutin surirumah dan ulang lagi proses fokus setengah jam.


2. Ruang khas 

Demi untuk mengelak hilang fokus, maka anda perlu melabur meja khusus, ruang kecil atau bilik khas untuk meletakkan alat bantuan untuk bekerja di rumah seperti komputer, mesin faks dan telefon. Sekiranya bekerja dengan anak-anak, anda boleh meletakkan sebakul permainan atau meja khas untuk mereka membuat kerja sekolah.

Hiaslah ruang kerja anda dengan kata-kata motivasi untuk anda kekal fokus bekerja. Seperti mana kita menghias meja pejabat, meja kerja di rumah juga perlu kondusif.


3. Tempat khas untuk berehat.

Sebagaimana kita perlukan ruang khas untuk bekerja, kita juga perlukan ruang untuk berehat. Tetapkan kerusi mana untuk kita berehat tanpa bekerja. Sebolehnya bukan ruang yang terlalu selesa seperti sofa kerana bimbang sukar untuk kembali fokus bekerja. 

Sekiranya anda mempunyai halaman, memerhati bunga-bungaan juga boleh dikira sebagai berehat. Pasti ada kembali segar untuk fokus bekerja.




Saya gemar mengambil gambar bunga seperti ini. Aktiviti mudah yang merehatkan minda.

Tuesday, September 1, 2015

Salam Hari Kebangsaan 2015

Teks dan foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Hari ini, sudah dua hari kita berada di bulan September. Terlalu cepat masa berlalu. Kini sudah berada di suku ke tiga tahun 2015. Malaysia baru saja meraikan sambutan Hari Kemerdekaan Tanah Melayu yang juga dikenali sebagai Hari Kebangsaan Malaysia.

Kami tidak ke mana-mana cuti ini. Saya biarkan saja 3 beradik membuat aktiviti bebas di rumah. Bebas maksudnya ruang rumah sudah semacam kapal yang hendak tenggelam. Menjelang malam hari bekerja baru saya mengemas. 3 beradik sudah puas hati merangsang otak mereka sebebasnya. Seperti biasa, kanak-kanak rimas melihat keadaan rumah yang terlalu kemas. Kreativiti mereka terbantut agaknya.

Ahad lalu kami cuma menghabiskan masa petang di Taman Buaya Miri. Ini bukan kali pertama kami ke sini, maka kami cuma fokus kepada aktiviti yang anak-anak paling gemar iaitu memberi makanan haiwan. Kuda, kambing, ikan dan rusa semuanya diberi makan.

Cuti nanti kita datang sini lagi ok mama, pesan Najah Munirah. Saya senyum saja. Semoga negara kita baik-baik saja anakanda. Boleh lah kita datang lagi ya. Selamat Hari Kebangsaan semua.


Sunday, August 23, 2015

Merancang sambutan hari lahir yang ringkas

Teks dan foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham


Jadual En. Suami sungguh padat dua minggu ini. Baru sampai dari Kota Kinabalu Sabtu lepas. Isnin pula ke Labuan. Maksudnya cuma ada hari Ahad penuh. 

Harith Fakhruddin tidak pula bertanya apa-apa tentang sambutan hari lahirnya yang ke 9 tahun. Kami sudah membeli hadiah lebih awal minggu lepas dengan bajet RM50. Dia tidak kisah asalkan mainan baru. Bukan mudah mencari hadiah bajet kecil sekarang. Jenuh juga berlegar-legar mencari yang sesuai dari segi teknikal dan komersial. 

Saya ke kedai kek berdekatan sebelum Asar. Mencari kek saiz hirisan kecil dan pastri kegemaran Harith. Sebungkus belon, topi tiga beradik dan lilin.

Pulang ke rumah saya menggunakan tiga bahan untuk latar belakang sambutan.

1) Papan hijau untuk tulisan menggantikan garland khas.

2) Belon dilekatkan di sekitar papan hijau.

3) Bekas kek dua tingkat untuk saya letakkan muffin yang dicucuk lilin dan beberapa jenis pastri di bahagian bawah.

Asalkan ada nyanyian dan foto kenangan. Harith Fakhruddin gembira dan puas hati.

Saturday, August 22, 2015

Ahad 23082015

Teks dan foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Semalam nenek dan atuk HaNaMar datang ke rumah. Tujuan mereka untuk tolong menjolok buah longan di belakang rumah. Faham benar mereka, kalau mengharap orang di rumah ini memang busuklah buah longan terlebih masak. Saya tersengeh saja. Masa saya lebih tertumpu untuk kerja yang lebih penting kepada hal ehwal pakaian kotor.

Pokok longan yang sudah sedia ada semasa kami membeli rumah ini setahun tujuh bulan yang lalu. Sekurang-kurangnya HaNaMar ada kenangan menjolok buah zaman kanak-kanak. Tidak lah hanya memori permainan di pusat membeli belah.

En. Suami hanya akan pulang selepas tengahari. Sempat melayan kehendak mereka mahu berkunjung ke pustaka. Khairil Ammar seronok sungguh bermain di padang permainan. Berbeza dengan abang dan kakaknya yang sudah bosan dan mula mencari permainan yang lebih mencabar.

Esok bermula cabaran baru. Saya mencongak perancangan seminggu. Tunggu dulu. Nikmati hari satu persatu.



Friday, August 21, 2015

Permainan bahasa


Teks dan foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Secara peribadi saya rasa sukar mempelajari bahasa. Terutama memahami peraturan tatabahasa. Saya kagum dengan mereka yang mempunyai kemahiran bahasa yang tinggi. Sehingga kini saya masih cuba memperbaiki penggunaan perkataan.

Harith Fakhruddin gemar dengan permainan Scrabble. Membina perkataan bahasa Inggeris dari beberapa huruf. Cuma situasi agak mencabar apabila Khairil Ammar ingin turut serta.

Selalunya saya tidak sempat untuk duduk dan turut serta. Saya cuma menunjukkan cara untuk merujuk kamus bagi mencari perkataan yang sesuai. Proses ini menjadi kegemaran mereka. Najah Munirah belum boleh membaca kamus tapi sudah boleh diajak meramaikan kuota pemain.