Monday, August 3, 2015

Salam Selasa 04082015

Teks dan foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Pejam celik pejam celik kita sudah berada di minggu pertama bulan Ogos. Harith Fakhruddin memesan, esok ada jamuan hari raya di sekolah agama nya. 

Pagi ini dua beradik sarapan roti bakar seawal pukul 5 pagi. Papa dan mama baru bermula berpuasa. Harapnya cukup kuota baki Syawal.

Khairil Ammar masih beradu. Dua tiga hari ini dia yang paling lewat tidur. Entah apa yang mahu dibualkan dan entah lagu apa yang dia nyanyikan. Asalkan bahagia duhai anakanda.

Setengah jam lagi perlu bersiap untuk ke pejabat. Jumpa lagi.




Sunday, August 2, 2015

Salam Syawal

Teks dan foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham.

Masih berbaki hari Syawal. Di sana sini masih kelihatan rumah terbuka. Saya pula sudah menyimpan pakaian hari raya.

Tahun ini giliran beraya di Miri. Hari pertama masa dihabiskan di rumah keluarga. Manakala hari ke dua, kami ke negara sebelah Brunei melawat sanak saudara di sana.

Kami membuka rumah sendiri pada hari raya ke tiga. Seperti dijangka, rakan-rakan tionghua yang lebih ramai kerana mereka agak lapang masa berbanding kawan-kawan muslim yang masih beraya bersama keluarga dan saudara mara masing-masing.

Kami beraya sederhana. Di zaman serba serbi mahal, bajet perlu dalam berbelanja.

Hari raya ke enam, saya sudah kembali ke pejabat.

Hari ini ada pot luck di pejabat. Saya membawa kelupis. Makanan tradisi Sarawak seakan lemang tetapi dibungkus di dalam daun. 


Selamat hari raya.

Thursday, June 25, 2015

Selamat menyambut Ramadhan

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham
Foto : Google

Hari ini genap hari ke 8 umat Islam menjalani ibadah puasa. Disebabkan kurang sihat, saya mengambil cuti sakit hari ini. Semalam, tiga kali saya berasa pitam. Kata doktor, kemungkinan badan saya kurang air. Mungkin badan memberi isyarat supaya berehat. Maklumlah saya baru selesai berpindah rumah sebelum bulan puasa bermula. Penat mengemas rumah yang telah diduduki selama 6 tahun masih terasa. Sengaja kami memilih cuti perayaan Hari Gawai yang juga jatuh pada musim cuti sekolah untuk berpindah. Kebanyakan kerja membersih saya upah pada Kak Lena, seorang balu yang gigih bekerja. Saudara mara juga datang membantu proses unpacking. Kalau tidak, pasti proses menjadi lebih lambat.

Pejam celik pejam celik sudah seminggu kita berpuasa. Masih berbaki 3 minggu untuk mengumpul bekalan pahala sebanyak mungkin. Semoga kita semua bersemangat melebihkan ibadah sehingga akhir bulan yang mulia ini. Saya masih belum mampu untuk berjemaah terawih di masjid. Khairil Ammar masih lasak untuk faham arahan. Saya cuma bersolat di rumah sambil ditemani Khairil Ammar yang merayau-rayau dan bermain. Mungkin tahun akan datang apabila beliau sudah biasa, boleh lah di bawa ke masjid.

Sudah masuk waktu Asar di Miri. Selepas itu, perlu menyiapkan sedikit juadah berbuka. Saya lebih gemar memasak dari membeli di bazaar kerana saya rasa proses mencari parking dan berjalan mencari juadah lebih memenatkan. Lain orang lain kegemarannya. Jumpa lagi.



Tuesday, May 12, 2015

Permainan murah dari dapur sendiri

Teks dan foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Saya selalu menyimpan benda terbuang seperti kitchen roll tissue yang sudah habis tisu nya. Malam tadi saya meluangkan masa selama 15 minit untuk bermain bersama Khairil Ammar.

1) Lekatkan kitchen roll tissue pada mana-mana bahagian dinding menggunakan sellotape.

2) Letak basin dapur di bahagian bawah kitchen roll tissue.

3) Biarkan anak-anak mengambil pom pom berwarna-warni dan meletakkan ke dalam kitchen roll tissue. Mereka akan mengulang aktiviti ini sehingga bosan.

Di samping itu, saya menerangkan kepada Ammar tentang warna dan bilangan pom-pom yang dipegangnya. Permainan ini penting untuk motor skill anak-anak untuk menguatkan jari jemari comel mereka.

Selamat mencuba.


3 cara mengitar semula alat permainan lama

Teks dan foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Rasanya semua ibu bapa ada pendapat yang sama. Anak-anak tertarik dengan permainan baru untuk jangkamasa yang sangat pendek. Baru saja beli pagi tadi, esok pagi sudah berkurangan minat mereka. Berbeza dengan sesuatu barang bukan permainan seperti besen, periuk dan bekas-bekas makanan yang tersusun di rak. Semua ini lebih menarik daripada permainan berharga puluhan malahan ratusan ringgit.

Beginilah cara saya menyimpan permainan anak-anak.

1) Bahagikan permainan mengikut hari tertentu. Contohnya hari Isnin, bekas yang paling atas akan dibuka terlebih dahulu. Bekas-bekas lain tidak boleh dibuka sehingga tiba hari yang sepatutnya.

2) Kumpulkan kategori permainan yang pelbagai di dalam setiap bekas. Saya letakkan permainan yang mempunyai muzik, bola, patung dan kenderaan di dalam setiap bekas. Anak-anak akan bermain mengikut kegemaran mereka pada hari tertentu.

3) Kekalkan sensasi membuka bekas seperti membuka kotak permainan baru. Anak-anak teruja dengan aktiviti sebegini. Di harap dengan menyimpan secara berasingan, maka keseronokan bermain dapat diulang.

Selamat mencuba.

Monday, May 4, 2015

5 langkah mengitar semula pelbagai kotak

Teks dan foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Saya selalu menyimpan kotak-kotak bijirin, kotak biskut dan kotak ubat gigi. Kali ini saya kongsikan bagaimana saya membuat ruang di dalam laci daripada kotak-kotak tersebut.

1) Langkah pertama ialah dengan menyusun semua kotak yang sesuai mengikut saiz keseluruhan laci. 

2) Tandakan dengan menggunakan marker ketinggian semua kotak tersebut.

3) Gunting atau potong lebihan kotak di bahagian atas.

4) Anda boleh membalut kotak-kotak kecil tersebut untuk lebih comel dan kemas.

5) Setelah siap, susun semua benda mengikut saiz ruang kotak yang comel tadi.


Selamat mencuba dan pasti anda dapat menjimatkan beberapa minit masa berharga mencari barang yang kecil di dalam laci yang mempunyai barang yang banyak.

5 aktiviti yang boleh dilakukan di pantai bersama anak-anak

Teks dan foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham
Pantai adalah tempat yang penting untuk dikunjungi semasa anak-anak sedang membesar. Suasana santai menikmati keindahan laut sesuai untuk mengajar anak-anak tentang beberapa perkara asas.

Saya senaraikan 5 aktiviti mudah semasa berada di pantai.

1) Mengajar anak-anak tentang tekstur pasir. Biarkan mereka berkaki ayam. Bermain, menggengam pasir dan membina istana pasir adalah bagus untuk menggalakkan imaginasi dan rangsangan pada deria kulit.

2) Meminta anak-anak mencari beberapa sampah yang berada di sekitar pantai. Aktiviti ini mengajar anak-anak supaya menjaga kebersihan dan mengekalkan keindahan alam sekitar. Terangkan pada mereka akibat sampah yang dibuang ke dalam laut holeh menyebabkan kematian penyu dan ikan kerana makan sampah yang tidak hadam.

3) Mengajar anak-anak tentang ombak dan bahaya sekiranya saiz ombak terlalu besar. Mereka perlu tahu bila boleh bermain di pantai dan bila keadaan menjadi bahaya.

4) Menerangkan kepada anak-anak tentang ciptaan tuhan yang sangat cantik. Oleh itu kita mesti sentiasa bersyukur. Bersyukur adalah suatu bentuk berterima kasih. Kita berterima kasih pada Allah dengan menunaikan solat.

5) Beriadah bersama anak-anak. Pantai adalah sangat sesuai untuk berjogging, bermain layang-layang dan bermain permainan rakyat seperti ting ting.

Salam Selasa.