Tuesday, October 14, 2025

5 perkara yang saya baru ketahui setelah sampai di England

Teks dan foto  : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Mengimbau kenangan June 15, 2010

1)Kawasan kejiranan di kawasan bandar adalah agak sama susun atur dan rekabentuknya. 

Tidak kira di mana, deretan rumah berbatu bata merah tanpa salutan simen adalah pemandangan biasa di kebanyakan bandar di sini. 

Agaknya menggunakan khidmat arkitek yang sama untuk pembangunan kawasan bandarnya.


2) Rumah ibadatnya cantik dan antik tetapi tidak begitu meriah apabila tiba hari Ahad. 

Saya rasa Good Shepard di bazar Lutong adalah 100 kali lebih meriah daripada gereja di sini. 

Mungkin kebanyakan rakyatnya sudah tidak begitu menghayati nilai agama.


3) Tempat hiburan di sini tidaklah sebesar mana dari segi saiznya. 

Besar lagi Cherry Berries (entah betul ejaannya) di Miri. 

Penggunaan ruang secara maksima bagi menampung pelanggan yang ramai seawal pukul 12 tengahari pada hari tidak bekerja. 

Suatu fenomena yang saya temui berlaku hanya pada waktu malam di Malaysia. 


4) Ada juga rakyatnya yang tidak tamat persekolahan dan tidak bekerja. 

Andaian saya, negara maju pasti penduduknya juga maju dari segi pemikiran. 

Cuma kerana kerajaannya sanggup mengeluarkan wang kebajikan untuk golongan ini. 

Maka tidaklah ada mereka yang hidup melarat dan tidak berumah seperti pemandangan biasa di negara Eropah. 

Kawasan pelancongan di Perancis sangat mudah berjumpa orang yang tidur dicelah kotak. 

Tetapi saya tidak pernah jumpa golongan ini di England.


5) Jika mahu melihat pemandangan rumah-rumah mewah dan cantik, perlu memandu dikawasan jalan kecil yang berada disebalik ladang kuda, ladang lembu dan ladang buah-buahan. 

Kawasan sebegini barulah terasa cantiknya landskap England ciptaan Allah.


Sekadar gambar hiasan : Mak dan bapak di hadapan Manchester Stadium. Bapak masih boleh berjalan ketika ini.

Monday, October 13, 2025

Integriti bermula dari perkara kecil


Teks dan foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Semasa saya mengetuai unit operasi yang menguruskan servis untuk pekerja barisan hadapan di offshore, saya sedaya upaya akan turun sendiri melawat premis vendor yang menyediakan perkhidmatan kepada kami.

Ketika itu, kebanyakan vendor mempunyai premis berdekatan dengan sumber bekalan utama dan kemudahan pelabuhan.

Ada warehouse dan workshop di Labuan, Bintulu dan sekitar Miri.

Biasanya KPI lawatan tahunan ini kami jalankan di pertengahan tahun atau sebelum cuti perayaan, iaitu waktu semua target penambahbaikan sudah dikenalpasti.

Saya bersama beberapa orang staf yang berurusan terus dengan vendor akan membuat lawatan sambil berbincang sekiranya ada isu yang belum selesai.

Selalunya, selepas sesi soal jawab, kami akan dihidangkan kuih-muih dan air oleh tuan rumah.

Kami makan seadanya, sekadar menghormati usaha mereka menerima tetamu.

Itu perkara biasa.

Namun ada satu kejadian yang saya masih ingat.

Vendor yang sering membuat saya pening menjawab soalan management tiba-tiba menjemput kami makan tengah hari di sebuah restoran seafood.

Saya perasan wajah beberapa staf sokongan saya agak terkejut.

Pantas saya menolak dengan baik, kononnya kami sudah membuat tempahan makan tengah hari sendiri.

Sebenarnya, tidak ada tempahan pun.

Saya hanya tidak mahu kami terjebak dalam situasi janggal yang tidak perlu.

Salah seorang staf bertanya.

“Kenapa puan tak terima jemputan tu?

Saya jawab dengan tenang.

“Biarpun jemputan makan di restoran seafood nampak macam perkara kecil, saya lebih selesa mengelak.

Saya bimbang nanti tim kita rasa terhutang budi dan jadi kurang objektif apabila mengurus vendor yang kurang kompeten.”

Akhirnya kami pergi makan di restoran makanan segera berhampiran.

Lagipun elaun makan sudah disediakan syarikat.

Tidak ada sebab untuk makan besar semasa waktu kerja.

Saya selalu ingatkan anak buah saya.

“Saya cuma mahu hidup biasa dan tidur malam dengan tenang.”

Zaman sekarang, kamera telefon ada di mana-mana.

Kita tidak tahu bila orang merakam atau bila ada whistleblower.

Integriti bermula dengan perkara yang kecil.

Dan ia menentukan sejauh mana kita boleh berjalan dengan selesa