Saturday, April 8, 2017

The Box Chalet, Langkawi

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham
Foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Saya masih berhutang entri tentang percutian kami ke Langkawi di penghujung November tahun 2016. Percutian keluarga yang meriah kerana saya membawa kedua ibu bapa dan ibu saudara, manakala suami membawa ibu mertua dan 2 orang kakak. Sengaja membawa semua orang kerana percutian sebegini adalah cara paling mudah untuk berkumpul bersama.

Disebabkan cuti saya diluluskan agak lambat, maka agak sukar mencari tempat menginap yang sesuai untuk keluarga kami. Paling kurang perlu 4 bilik untuk keselesaan semua ahli keluarga. Suami berjaya mendapatkan tempat yang sesuai iaitu The Box Chalet. Kami menyewa 4 bilik yang setiap satu mempunyai tandas dan bilik mandi sendiri. Satu kriteria yang paling penting saya kira.

Tempat ini terletak di Padang Matsirat yang bersuasana kampung, Pemilik tempat ini ialah pasangan suami isteri yang sangat peramah. Suasana kampung yang tenang begini sangat sesuai untuk saya yang mahu bertenang dari kesibukan rutin bandar dan kerja di pejabat. Namun demikian, agak membosankan untuk ibu dan ibu saudara saya yang suka membeli belah.

Saya juga suka apabila anak-anak bosan dengan ketiadaan kolam dan hiburan kerana tidak terdapat televisyen di dalam bilik. Cuma satu televisyen berada di ruang menonton. Pada pendapat saya, kebosanan membuat mereka lebih kreatif. Mereka mula bermain disebalik pokok bunga dan menghitung batu-batu kecil.
Cuma tempat ini juga kurang sesuai untuk anak-anak saya masih sukar dikawal tahap kebisingan mereka. Letih saya mengawal kadar desibel suara mereka dan suara saya sendiri.

No comments:

Post a Comment