Friday, September 30, 2016

Salam Sabtu 01102016

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Dua hari lalu saya minum petang bersama seorang kawan karib. Sambil menikmati makanan, saya berkongsi kisah viral minggu ini. Kami tidak mengulas panjang tentang kisah viral tersebut. Cuma beliau berkongsi pandangan.

Perkara sebegini berlaku di mana-mana. Orang biasa dan tidak terkenal pun ada yang terkena. Kongsi beliau lagi, ada seorang pekerja di jabatannya didapati memalsukan dokumen penting iaitu sijil kelayakan untuk kerja-kerja teknikal. Kelayakan ini penting untuk memastikan pekerja tersebut dapat menjalankan tugasnya dengan betul dan berkualiti.

Kumpulan kerja beliau terpaksa mengambil langkah drastik dengan meminta balik gaji yang telah dibayar sejak setahun yang lalu. Kesalahan ini juga dikongsikan dengan semua syarikat di dalam industri yang sama.

Maksudnya, pesalah ini tidak akan ada harapan untuk masuk ke dalam industri yang sama lagi selepas ini. Boleh bekerja tetapi perlu bertukar industri. Mereka juga sedang mengambil kira untuk membuat laporan polis atas kesalahan penipuan.

Syarikat juga menanggung kerugian sekiranya banyak masalah kerja tidak dapat diselesaikan kerana pekerja yang tidak kompeten. Jika cuma rugi duit, syarikat cuma kurang keuntungan. Namun jika akibatnya ialah melibatkan perkara keselamatan jangka panjang, nyawa pekerja lain yang akan terancam.

Saya yang mendengar sudah seram. Nampak kejam tetapi kawan saya tadi menerangkan. Sekiranya tidak ada tindakan sebegini, kita akan menghantar mesej salah kepada masyarakat pencari kerja.

Tujuannya ialah untuk mendidik masyarakat supaya faham bahawa integriti itu satu perkara besar meskipun pengalaman kerja mungkin ada.

Ramai pencari kerja yang memang berusaha bertungkus lumus mendapatkan kelayakan yang diiktiraf. Kita perlu memberi peluang kepada mereka ini untuk mendapat peluang pekerjaan.

Saya angguk faham. Saya terbayang jikalau pekerja itu tadi mempunyai tanggungan. Biasalah saya yang berhati tisu. Cuma saya setuju, bukan mudah untuk membuat sesuatu keputusan secara professional. Menutup sebelah mata perkara peribadi.

Perlahan-lahan saya menghabiskan baki makanan di dalam pinggan sambil muhasabah diri. Reputasi yang jatuh kerana kekurangan kompetensi tidak seteruk jika punah kerana integriti.


No comments:

Post a Comment