Friday, September 30, 2016

Salam Sabtu 01102016

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Dua hari lalu saya minum petang bersama seorang kawan karib. Sambil menikmati makanan, saya berkongsi kisah viral minggu ini. Kami tidak mengulas panjang tentang kisah viral tersebut. Cuma beliau berkongsi pandangan.

Perkara sebegini berlaku di mana-mana. Orang biasa dan tidak terkenal pun ada yang terkena. Kongsi beliau lagi, ada seorang pekerja di jabatannya didapati memalsukan dokumen penting iaitu sijil kelayakan untuk kerja-kerja teknikal. Kelayakan ini penting untuk memastikan pekerja tersebut dapat menjalankan tugasnya dengan betul dan berkualiti.

Kumpulan kerja beliau terpaksa mengambil langkah drastik dengan meminta balik gaji yang telah dibayar sejak setahun yang lalu. Kesalahan ini juga dikongsikan dengan semua syarikat di dalam industri yang sama.

Maksudnya, pesalah ini tidak akan ada harapan untuk masuk ke dalam industri yang sama lagi selepas ini. Boleh bekerja tetapi perlu bertukar industri. Mereka juga sedang mengambil kira untuk membuat laporan polis atas kesalahan penipuan.

Syarikat juga menanggung kerugian sekiranya banyak masalah kerja tidak dapat diselesaikan kerana pekerja yang tidak kompeten. Jika cuma rugi duit, syarikat cuma kurang keuntungan. Namun jika akibatnya ialah melibatkan perkara keselamatan jangka panjang, nyawa pekerja lain yang akan terancam.

Saya yang mendengar sudah seram. Nampak kejam tetapi kawan saya tadi menerangkan. Sekiranya tidak ada tindakan sebegini, kita akan menghantar mesej salah kepada masyarakat pencari kerja.

Tujuannya ialah untuk mendidik masyarakat supaya faham bahawa integriti itu satu perkara besar meskipun pengalaman kerja mungkin ada.

Ramai pencari kerja yang memang berusaha bertungkus lumus mendapatkan kelayakan yang diiktiraf. Kita perlu memberi peluang kepada mereka ini untuk mendapat peluang pekerjaan.

Saya angguk faham. Saya terbayang jikalau pekerja itu tadi mempunyai tanggungan. Biasalah saya yang berhati tisu. Cuma saya setuju, bukan mudah untuk membuat sesuatu keputusan secara professional. Menutup sebelah mata perkara peribadi.

Perlahan-lahan saya menghabiskan baki makanan di dalam pinggan sambil muhasabah diri. Reputasi yang jatuh kerana kekurangan kompetensi tidak seteruk jika punah kerana integriti.


Monday, September 19, 2016

Salam Isnin 19092016

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Minggu lepas saya masuk ke sebuah restoren tempatan. Sendiri. Memerhati senarai perkara yang perlu diurus di kaunter rasmi kerajaan dan bank.

Di suatu sudut, saya pandang seorang anak kecil duduk kebosanan. Ini kali kedua saya lihat dia duduk di kedai tersebut. Ibunya bekerja di kaunter bayaran.
Saya cuma mengagak mungkin anak ini tiada teman di rumah. Masalah mencari pengasuh agaknya. Bisik hati kecil saya lagi.

Sesekali saya memandang tubuhnya dan saya kira lebih kurang sebaya anak sulung saya. Saya faham bosan anak kecil itu kerana anak-anak saya tidak boleh duduk terlalu lama. Rimas.

Tiba-tiba seorang pelanggan baru duduk mengambil tempat. Seorang wanita bertudung biru. Juga seorang diri. Saya terdengar perbualannya dengan pelayan. Bahawa dia mahu membelikan anak kecil yang bosan tadi makanan atau minuman.

Anak kecil tadi tunduk malu tapi mula tersenyum. Dia cuma memesan air. Wanita bertudung biru itu menambah pesanan. Sepotong kek coklat. Anak kecil tadi mula ketawa kecil.

Terima kasih wanita bertudung biru. Anda memberi saya pengajaran hidup. Memberi itu membahagiakan.

Bukan saja pada penerima, pada pemberi tetapi juga pada pemerhati.

Friday, September 16, 2016

Selamat Hari Pembentukan Malaysia

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Selesai makan tengah hari, saya mengajak suami mencari buku untuk dipinjam di Pustaka Miri. Lupa pula cuti umum. Kebetulan ada peringkat saringan Baram Sape Master sedang berlangsung. Mencari 10 pemain Sape terbaik Sarawak untuk menjadi wakil pertandingan peringkat akhir di Kuala Lumpur.

Lantas kami menjadi penonton di auditorium. Sempat saya meminta izin untuk kami sekeluarga duduk menyertai komuniti Orang Ulu. Antara kaum yang termasuk dalam kelompok Orang Ulu ialah: Kayan, Kenyah, Kajang, Kejaman, Punan, Ukit, Penan, Lun Bawang, Lun Dayeh, Murut, Berawan dan Kelabit.

Sengaja memberi pendedahan budaya sekeliling pada anak-anak. Merai perbezaan. Sangat penting untuk kelangsungan bangsa Malaysia.

Selamat Hari Pembentukan Malaysia!


Monday, September 12, 2016

Salam Hari Raya Aidiladha

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Dua hari lepas, saya dan suami mengenang pekerja warga asing yang menjaga kuda di Taman Buaya. Rasanya setiap kali ke sana, beliau pekerja yang setia menunggu pelanggan di bawah pokok. Tugasnya tidak pernah gagal menggembirakan anak-anak saya. Entah apa khabar keluarganya. Sudah lama dia berbakti di sini.

Semalam semasa menunggu giliran di kaunter bayaran, saya memerhati seorang pekerja asing membeli daging. Ketika itu sudah pukul 5 petang. Saya perhati dagingnya masih berais. Semoga sempat lah ais cair untuk dia memasak juadah raya malam nanti. Monolog hati saya.

Pagi ini seusai solat Aidil Adha, bumi Miri basah bersama angin yang agak kuat. Lebat. Cuaca yang jarang di sini. Ketika melalui stesen bas saya terpandang seorang warga asing berlindung dari hujan lebat. Siap memakai pakaian terbaik hari raya. Semoga dia gembira hari ini. Bisik hati saya lagi.

Pengorbanan itu universal.
Bukan setakat melapah daging.
Pandang kiri pandang kanan.
Pasti ada yang membuatkan kita bersyukur pada hidup sendiri.


Selamat Hari Raya kawan-kawan.
Esok kerja.



Saturday, September 10, 2016

Salam 10092016

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Hari ini cuti umum sempena hari ulang tahun TYT Sarawak.

6 tahun dahulu di Kota London, kali pertama saya bertemu dengan TYT hari ini. Sambil mengendong Najah Munirah di dalam sling merah jambu.

Ketika itu, beliau masih sebagai CM. Bersama di rumah Sarawak ketika itu ialah CM hari ini. Tiada topik khusus, cuma kami menumpang tandas untuk Harith Fakhruddin.

6 tahun lalu saya tidak tahu apa yang akan terjadi hari ini. Jikalau tidak pasti saya sudah wefie bersama mereka sekadar untuk menjadi album muka buku.

Saturday, September 3, 2016

Salam 03092016

Teks: Nur Hidayah Nazahiyah Erham

1) Minggu depan UPSR, ujian pertama sebagai pelajar sekolah.

2) Dari kecil sampai besar kita tidak akan berhenti diuji.

3) Ujian atas kertas atau ujian hidup yang lain.

4) Cemerlang atas kertas juga tidak menjanjikan kita akan hidup mudah.

5) Percayalah kita akan terus diuji selagi hidup.

6) Penting sangat kah untuk jadi cemerlang?

7) Sangat penting kalau cita-cita kita mahu bekerja dengan orang.

8) Sebelum orang lain setuju menjadikan kita pekerja mereka, faktor cemerlang atas kertas perkara pertama menjadi rujukan.

9) Pandai atas kertas bukan menjanjikan pandai bekerja.

10) Betul juga, cuma kriteria pertama yang dilihat ialah tulisan pada kertas.

11) Gigih dan tekun dalam usaha untuk cemerlang itu yang akan membantu kelangsungan hidup.

12) Jika mahu bekerja sendiri perkara nombor 11, perlu lebih berganda- ganda dari bekerja dengan orang lain.

13) Semoga berjaya adik-adikku.

UPSR bukan straight A