Friday, September 30, 2016

Salam Sabtu 01102016

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Dua hari lalu saya minum petang bersama seorang kawan karib. Sambil menikmati makanan, saya berkongsi kisah viral minggu ini. Kami tidak mengulas panjang tentang kisah viral tersebut. Cuma beliau berkongsi pandangan.

Perkara sebegini berlaku di mana-mana. Orang biasa dan tidak terkenal pun ada yang terkena. Kongsi beliau lagi, ada seorang pekerja di jabatannya didapati memalsukan dokumen penting iaitu sijil kelayakan untuk kerja-kerja teknikal. Kelayakan ini penting untuk memastikan pekerja tersebut dapat menjalankan tugasnya dengan betul dan berkualiti.

Kumpulan kerja beliau terpaksa mengambil langkah drastik dengan meminta balik gaji yang telah dibayar sejak setahun yang lalu. Kesalahan ini juga dikongsikan dengan semua syarikat di dalam industri yang sama.

Maksudnya, pesalah ini tidak akan ada harapan untuk masuk ke dalam industri yang sama lagi selepas ini. Boleh bekerja tetapi perlu bertukar industri. Mereka juga sedang mengambil kira untuk membuat laporan polis atas kesalahan penipuan.

Syarikat juga menanggung kerugian sekiranya banyak masalah kerja tidak dapat diselesaikan kerana pekerja yang tidak kompeten. Jika cuma rugi duit, syarikat cuma kurang keuntungan. Namun jika akibatnya ialah melibatkan perkara keselamatan jangka panjang, nyawa pekerja lain yang akan terancam.

Saya yang mendengar sudah seram. Nampak kejam tetapi kawan saya tadi menerangkan. Sekiranya tidak ada tindakan sebegini, kita akan menghantar mesej salah kepada masyarakat pencari kerja.

Tujuannya ialah untuk mendidik masyarakat supaya faham bahawa integriti itu satu perkara besar meskipun pengalaman kerja mungkin ada.

Ramai pencari kerja yang memang berusaha bertungkus lumus mendapatkan kelayakan yang diiktiraf. Kita perlu memberi peluang kepada mereka ini untuk mendapat peluang pekerjaan.

Saya angguk faham. Saya terbayang jikalau pekerja itu tadi mempunyai tanggungan. Biasalah saya yang berhati tisu. Cuma saya setuju, bukan mudah untuk membuat sesuatu keputusan secara professional. Menutup sebelah mata perkara peribadi.

Perlahan-lahan saya menghabiskan baki makanan di dalam pinggan sambil muhasabah diri. Reputasi yang jatuh kerana kekurangan kompetensi tidak seteruk jika punah kerana integriti.


Monday, September 19, 2016

Salam Isnin 19092016

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Minggu lepas saya masuk ke sebuah restoren tempatan. Sendiri. Memerhati senarai perkara yang perlu diurus di kaunter rasmi kerajaan dan bank.

Di suatu sudut, saya pandang seorang anak kecil duduk kebosanan. Ini kali kedua saya lihat dia duduk di kedai tersebut. Ibunya bekerja di kaunter bayaran.
Saya cuma mengagak mungkin anak ini tiada teman di rumah. Masalah mencari pengasuh agaknya. Bisik hati kecil saya lagi.

Sesekali saya memandang tubuhnya dan saya kira lebih kurang sebaya anak sulung saya. Saya faham bosan anak kecil itu kerana anak-anak saya tidak boleh duduk terlalu lama. Rimas.

Tiba-tiba seorang pelanggan baru duduk mengambil tempat. Seorang wanita bertudung biru. Juga seorang diri. Saya terdengar perbualannya dengan pelayan. Bahawa dia mahu membelikan anak kecil yang bosan tadi makanan atau minuman.

Anak kecil tadi tunduk malu tapi mula tersenyum. Dia cuma memesan air. Wanita bertudung biru itu menambah pesanan. Sepotong kek coklat. Anak kecil tadi mula ketawa kecil.

Terima kasih wanita bertudung biru. Anda memberi saya pengajaran hidup. Memberi itu membahagiakan.

Bukan saja pada penerima, pada pemberi tetapi juga pada pemerhati.

Friday, September 16, 2016

Selamat Hari Pembentukan Malaysia

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Selesai makan tengah hari, saya mengajak suami mencari buku untuk dipinjam di Pustaka Miri. Lupa pula cuti umum. Kebetulan ada peringkat saringan Baram Sape Master sedang berlangsung. Mencari 10 pemain Sape terbaik Sarawak untuk menjadi wakil pertandingan peringkat akhir di Kuala Lumpur.

Lantas kami menjadi penonton di auditorium. Sempat saya meminta izin untuk kami sekeluarga duduk menyertai komuniti Orang Ulu. Antara kaum yang termasuk dalam kelompok Orang Ulu ialah: Kayan, Kenyah, Kajang, Kejaman, Punan, Ukit, Penan, Lun Bawang, Lun Dayeh, Murut, Berawan dan Kelabit.

Sengaja memberi pendedahan budaya sekeliling pada anak-anak. Merai perbezaan. Sangat penting untuk kelangsungan bangsa Malaysia.

Selamat Hari Pembentukan Malaysia!


Monday, September 12, 2016

Salam Hari Raya Aidiladha

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Dua hari lepas, saya dan suami mengenang pekerja warga asing yang menjaga kuda di Taman Buaya. Rasanya setiap kali ke sana, beliau pekerja yang setia menunggu pelanggan di bawah pokok. Tugasnya tidak pernah gagal menggembirakan anak-anak saya. Entah apa khabar keluarganya. Sudah lama dia berbakti di sini.

Semalam semasa menunggu giliran di kaunter bayaran, saya memerhati seorang pekerja asing membeli daging. Ketika itu sudah pukul 5 petang. Saya perhati dagingnya masih berais. Semoga sempat lah ais cair untuk dia memasak juadah raya malam nanti. Monolog hati saya.

Pagi ini seusai solat Aidil Adha, bumi Miri basah bersama angin yang agak kuat. Lebat. Cuaca yang jarang di sini. Ketika melalui stesen bas saya terpandang seorang warga asing berlindung dari hujan lebat. Siap memakai pakaian terbaik hari raya. Semoga dia gembira hari ini. Bisik hati saya lagi.

Pengorbanan itu universal.
Bukan setakat melapah daging.
Pandang kiri pandang kanan.
Pasti ada yang membuatkan kita bersyukur pada hidup sendiri.


Selamat Hari Raya kawan-kawan.
Esok kerja.



Saturday, September 10, 2016

Salam 10092016

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Hari ini cuti umum sempena hari ulang tahun TYT Sarawak.

6 tahun dahulu di Kota London, kali pertama saya bertemu dengan TYT hari ini. Sambil mengendong Najah Munirah di dalam sling merah jambu.

Ketika itu, beliau masih sebagai CM. Bersama di rumah Sarawak ketika itu ialah CM hari ini. Tiada topik khusus, cuma kami menumpang tandas untuk Harith Fakhruddin.

6 tahun lalu saya tidak tahu apa yang akan terjadi hari ini. Jikalau tidak pasti saya sudah wefie bersama mereka sekadar untuk menjadi album muka buku.

Saturday, September 3, 2016

Salam 03092016

Teks: Nur Hidayah Nazahiyah Erham

1) Minggu depan UPSR, ujian pertama sebagai pelajar sekolah.

2) Dari kecil sampai besar kita tidak akan berhenti diuji.

3) Ujian atas kertas atau ujian hidup yang lain.

4) Cemerlang atas kertas juga tidak menjanjikan kita akan hidup mudah.

5) Percayalah kita akan terus diuji selagi hidup.

6) Penting sangat kah untuk jadi cemerlang?

7) Sangat penting kalau cita-cita kita mahu bekerja dengan orang.

8) Sebelum orang lain setuju menjadikan kita pekerja mereka, faktor cemerlang atas kertas perkara pertama menjadi rujukan.

9) Pandai atas kertas bukan menjanjikan pandai bekerja.

10) Betul juga, cuma kriteria pertama yang dilihat ialah tulisan pada kertas.

11) Gigih dan tekun dalam usaha untuk cemerlang itu yang akan membantu kelangsungan hidup.

12) Jika mahu bekerja sendiri perkara nombor 11, perlu lebih berganda- ganda dari bekerja dengan orang lain.

13) Semoga berjaya adik-adikku.

UPSR bukan straight A

Wednesday, August 31, 2016

Selamat Hari Kemerdekaan Tanah Melayu

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

1) 59 tahun yang lalu hari ini Tanah Melayu merdeka.

2) Sarawak menyusul 6 tahun kemudian iaitu 22 Julai 1963.

3) Sabah pula merdeka pada 31 Ogos 1963.

4) Pembentukan Malaysia berlaku pada 16 September 1963.


Selamat berehat mengimbau Sejarah.

Friday, April 29, 2016

Pengalaman audit cukai pendapatan oleh LHDN

Teks: Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Hari ini hari terakhir menghantar borang BE untuk buruh macam saya. Baru-baru ni saya kena audit cukai rawak. Ayat positif ialah saya insan terpilih. Tak apa. Tarik nafas dan fokus. Semasa dapat surat tu panik lah sikit sebab entah mana kotak file saya sebab baru pindah rumah tak sampai setahun.

Perkara pertama saya buat ialah minta tempoh serahan dokumen supaya dipanjangkan. InsyaAllah dapat. Pegawai tu nasib baik hatinya baik. Saya pohon 40 hari, beliau beri 50 hari. Alhamdulillah. Sekiranya tidak faham butiran yang diminta, tanya terus dan jangan buat andaian. Simbol seperti '/' mungkin bermaksud 'dan' serta bukan 'atau'.

Kemudian sila lah mulakan proses korek dokumen bukti. Nasib baik saya ada file khas tentang cukai walaupun tak adalah cun mana dan tak kemas sangat. Siap scan semua dan namakan file document mengikut susunan dalam surat. Email atau serahkan kepada pegawai bertugas secepat mungkin. Usah tunggu sehingga tempoh yang diberi tamat. Saya kena bayar balik sejumlah wang.

Biasalah zaman baru isi borang BE 5 tahun dulu, tak tau yang mana boleh claim. Ingatkan organisasi yang glemer, masuk TV, promosi sana sini tu termasuk dalam senarai badan boleh derma. Kita perlu tengok satu-satu badan berdaftar di laman web LHDN. Banyak organisasi kurang glemer berada di dalam senarai. Bila dah tak cukup bayar tu kita kena lah bayar. Korek lah tabung arnab bawah katil ye. Tak payah emosi ok. Pegawai tu pun buat kerja dia sahaja. Tak kena penalti tu kira sujud syukur.

Selamat hari buruh ya.

Friday, April 8, 2016

Pengalaman peribadi mendapat servis di Hospital Miri

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Sepanjang dua minggu ini saya dan suami berpeluang memerhati dan merasai pengalaman mendapatkan nasihat di Miri General Hospital. Sebelum ini rezeki kami Allah beri dalam bentuk rawatan di hospital swasta. Alhamdulillah untuk itu semua.

Namun disebabkan kami mahu mendapatkan second opinion dari pakar yang berlainan tentang Thyroglossal cyst Najah, maka kami berjaya juga ke GH Miri. Bukan mudah untuk mendapatkan referral letter dari GP. Kami hanya berjaya setelah 3 kali mencari GP yang sanggup menyediakan surat untuk merujuk kes Najah dibawa ke GH.

Sebagai pengunjung yang lazim ke klinik dan hospital swasta. Saya dan suami gembira dengan servis cemerlang dan penjelasan professional para doktor kerajaan. Mungkin apa yang selalu kami dengar dan baca sebelum ini adalah kes-kes terpencil yang tidak wajar disamaratakan. Jika kita faham sistem dah prosedur yang ditetapkan, InsyaAllah kita tidak kecewa menunggu giliran.

Kami akan masih mengunjungi klinik dan hospital swasta mengikut kesesuaian masalah kesihatan. Sekurang-kurangnya keutamaan kepada golongan yang tidak berpeluang ke hospital swasta perlu diambil kira. Jika anda ada kawan yang berkhidmat di sana, saya izinkan untuk anda berkongsi cerita. Semoga perkongsian saya membuat mereka ceria.







Tuesday, March 8, 2016

Terapi pagi

Teks: Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Saya tak suka ikut 'main road'. Setelah menghadapi pagi yang selalunya terasa panjang walaupun hanya sejam. Biasalah mak-mak macam saya. Macam-macam dah berlaku di rumah seawal 5 pagi.

Jalan alternatif yang kecil selalunya jadi pilihan saya. Sebabnya saya rasa serabut tengok pemandu yang selalu emosi tak stabil dan jiwa kacau memandu di jalan utama. 

Sambil tengok anjing liar tidur.
Sambil mengelak pemandu motosikal.
Sambil tengok semak samun.
Sambil tengok pokok dan burung.
Sambil tengok peniaga tepi jalan.
Sambil tengok penunggang basikal berhenti tepi jalan memberi laluan kepada kenderaan berat.

Tuhan mengajar kita dalam banyak cara. Cuma perlu lihat dan analisis dengan mata hati.

Penunggang basikal lebih tenang jiwanya dari pemandu kereta besar di jalan utama.

Itu terapi saya. Anda bagaimana?

Monday, March 7, 2016

Kisah pagi Selasa

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Saya tak siap lagi buat bekalan sekolah. Si bongsu Ammar sudah menangis bangun lebih awal dari biasa. Dalam hati sempat berkira-kira masa. Habis lah lambat keluar rumah nampaknya.

Saya pujuk tapi tak reda juga tangisannya. Saya yang berkulit biasa ni dah bertukar warna menjadi hijau umpama Encik Hulk. Rupanya nak dukung dan bermanja. Alahai alahai...kita tak cukup masa ni anakanda. Nanti lambat pula si abang ke sekolah.

Saya tarik nafas panjang dan sedut aroma masam si bongsu dalam-dalam. Tiba-tiba warna kulit saya bertukar daripada hijau kepada warna asal. 

Saya pujuk diri, kalau pun si abang lambat hari ini. Saya nak ajar dia realiti hidup ni tak semua benda sempurna. Kita hidup bermasyarakat. Kalau kita jenis nak sentiasa awal. Mungkin ada orang tak macam kita. Toleransi pada keadaan sekeliling akan menyebabkan kita lebih tenang-tenang saja.

Masa tinggal setengah jam sebelum ujian progresif bermula. Tak apalah abang ya, nanti dah besar mungkin kita kena buat 'impromptu speech'. Getaran rama-rama pada abdomen itu lebih kurang rasanya. Saya bersiap seperti biasa sambil hati berdoa dipermudahkan perjalanan.

Abang selamat sampai ke sekolah 7 minit sebelum bermula. Sempat salam cikgu-cikgu. Saya agak sempatlah bertenang sebelum mula ujian. Saya pun sempat dapat parking maharaja di pejabat. Tahap maharaja kerana kalau hujan, sekadar berlari gaya itik tak lah lencun tanpa payung.

Selamat menjawab soalan periksa anakanda sekalian.

Monday, February 22, 2016

Salam Selasa 23022016

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham


Malam semalam selepas menyuap tiga beradik makan malam, kami berehat di ruang tamu. Sengaja saya memberi masa mereka menonton sebentar kerana sekarang Harith Fakhruddin dalam fasa suka menonton berita semasa. Khairil Ammar sibuk bermain set kenderaan hadiah ulang tahun ke dua nya. Tiba-tiba Najah Munirah datang minta dibelai. Anak perempuan memang sentiasa mahu dibelai. Sudah dipeluk juga dia boleh komen tiada ada orang sayang dia hari tersebut.

Mama, hari kiamat ya hari sekolah kah cuti? 
Saya diam mencari jawapan. 
Hari Jumaat. Mungkin sekolah. 
Jawab saya perlahan. Selepas 2 saat baru terasa lawaknya.

Najah memang akan mengira hari bersekolah. Baru Isnin, dia sudah mengira berapa hari lagi ke Jumaat. Tidak sabar menanti hujung minggu.
Macam-macam. Senyum dan layan saja.

Sunday, February 21, 2016

Salam Isnin 22022016


Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Ahad semalam kami cuma ke kolam renang. Menamatkan zikir Najah Munirah yang berlanjutan sejak minggu lepas. Sabtu juga hanya berkunjung ke Pustaka Miri dan meminjam beberapa buah buku. Saya mahu menyekat masa Harith Fakhruddin mengadap skrin. Selalunya dia akan menyiapkan kerja sekolah seawal petang Jumaat supaya hujung minggu nya bebas.


Dia ingatkan mama ni tak ada idea agaknya.Saya akan memastikan dia membaca buku yang dipinjam di perpustakaan supaya masa dia bermain komputer dan menonton televisyen akan lebih terhad. Harith mudah hilang fokus. Saya perlu sentiasa memantau. Cara paling mudah, saya akan mengajak dia membaca bersama-sama. Dia membaca bukunya. Saya juga perlu duduk disebelah dan membaca.


Sedikit risau dengan perkembangan Najah. Dia belum lagi mahir membaca. Tahun hadapan sudah bermula darjah satu. Secara peribadi saya tidak kisah. Cuma saya risau sukatan pelajaran sekolah sangat mencabar zaman sekarang. Bimbang dia akan merasa rendah diri jika ketinggalan. Saya perlu membuat gerak gempur cuti sekolah Mac ini.


Khairil Ammar pula ada perangai baru. Dia suka membuka sendiri lampin pakai buangnya. Puas saya mengejar ke sana ke mari. Budak bijak ketawa saja.Pejam celik pejam celik sudah bulan ke dua saya mengurus rumah seorang diri. Encik suami cuma ada di hujung minggu. Semoga semuanya baik-baik saja. Dua minggu lepas bergilir-gilir ahli rumah tidak sihat. Sungguh mencabar emosi tetapi tidak dapat terlalu dilayan. Jalan terus. Senyum saja.




Sunday, January 17, 2016

Tips memasak untuk bekalan seminggu

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Menyediakan makanan yang dimasak di rumah adalah satu usaha yang saya perlu rancang dengan teliti. Bukan acah-acah merancang tapi memang kena buat betul-betul. 

1) Rancang ikut hari bekerja
5 menu sarapan dan 5 lauk makan malam. Menu sarapan selalunya saya sediakan makanan tidak berkuah supaya mudah untuk dibawa bekal ke sekolah dan ke pejabat.

2) Menu ringkas dan sihat
Selalunya saya masak lauk berempah seperti kari ayam dan dan sup daging dihujung minggu.  Selepas disejukkan, saya akan masukkan makanan tersebut ke dalam bekas cukup untuk sekali makan dan dibekukan.

3) Simpan dengan rapi
Sayur pula saya akan hiris dan simpan dalam diamond foil supaya tidak layu. 

Selamat mencuba.
Terima kasih kerana membaca entri ini.

Thursday, January 14, 2016

Salam Jumaat 15012016

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Sekejap sahaja sudah hari Jumaat. Minggu kedua persekolahan yang sibuk. Mental dan fizikal masih dalam fasa menyesuaikan diri setelah lama bercuti. Setiap hari saya ada 4 kali perjalanan menghantar ke pelbagai destinasi. Masa di pejabat juga perlu dirancang sebaik mungkin supaya tidak kurang dari sepatutnya.

Saya perlu lebih perancangan hujung minggu ini. Supaya kerja di dapur menjadi lebih cepat dan tangkas. Saya pasti anda semua ada cabaran hidup masing-masing. Sama ada kita mahu mengalah atau mahu berjuang. Semua keputusan adalah yang terbaik mengikut cara kita tersendiri.

Bekalan ke pejabat juga saya tambah. Makan tengah hari juga saya di meja kerja. Lebih jimat masa dan tenaga beratur di kafeteria. Semoga konsisten sehingga ke hujung tahun.

Jumaat yang barakah. Selamat mengumpul ladang pahala.

Terima kasih kerana membaca entri ini.

Sunday, January 10, 2016

Tips membuat bekal makanan untuk anak yang cerewet

Teks dan foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Saya pasti ibu-ibu pasti arif tentang bekalan sekolah anak masing-masing. Sekarang ni ramai ibu-ibu yang sangat rajin menyiapkan bekalan yang sangat comel dan menarik.

Malangnya saya bukan lah dalam kategori ibu-ibu tersebut. Sengeh.
Namun saya berusaha untuk sentiasa menyiapkan bekalan walaupun kadang kala bukan lah sihat sangat makanan tersebut.

Tahun ini Najah bertukar tadika. Saya gembira kerana guru besarnya GARANG tentang makanan.
  1. Tiada biskut manis.
  2. Tiada makanan proses dari pasaran seperti nugget dan sosej.
  3. Tiada makanan rapu.
Boleh lah saya gunakan alasan 'cikgu tak bagi bawa bekal begitu' kepada dia. Sengeh lagi.

Kalau tidak sukar sungguh saya menepis permintaan dia yang mahu.
  1. Air sirap
  2. Coklat dan gula-gula.
  3. Biskut manis.

Menu wajib pula ialah buah-buahan. Saya SUKA sangat guru besar tadika barunya.

Maka saya pun perlu juga memikirkan semua kriteria tersebut di atas apabila menyiapkan bekalan.

1) Sikit
Saya suka meletakkan portion yang sedikit untuk setiap makanan. Tidaklah membazir.

2) Pelbagai
Saya berusaha mempelbagaikan menu kepada 3 jenis iaitu makanan berat, biskut dan buah-buahan.

3) Menu yang biasa
Saya tidak meletak menu yang mereka tidak pernah makan kerana saya akan letih melihat makanan yang tidak habis dimakan.

Selamat mencuba.
Terima kasih kerana membaca entri ini.


Tuesday, January 5, 2016

Mengekalkan azam tahun baru supaya tidak dilupakan

Teks dan foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Setiap tahun salah satu azam saya ialah mahu membaca buku sebanyak mungkin. Namun selalunya azam tersebut terbengkalai dengan berlalunya masa. Tahun ini saya mencari tips untuk mengekalkan azam. Diharap perkongsian ini memberi saya lebih fokus untuk mencapai target.

1) Tetapkan matlamat.
Saya berazam untuk habis membaca sebuah buku sebulan. Ketebalan buku ialah sekitar 200 muka surat. Jika lebih tebal maka matlamat lebih terperinci perlu dibuat.

2) Bahagikan matlamat setiap hari.
Bagi menghabiskan bacaan dalam jangka masa setengah jam sehari, saya perlu menghabiskan 6-10 muka surat.

3) Rai setiap kejayaan kecil
Saya akan membeli buku baru setiap kali setiap buku berjaya habis dibaca. Tidak boleh membeli buku baru selagi buku yang sedia ada masih belum tamat bacaan.

Sekiranya anda seperti saya, bolehlah mencuba cara di atas.

Semoga bermanfaat dan terima kasih kerana membaca entri ini.

Salam Rabu semua.


Sunday, January 3, 2016

Bermulanya rutin persekolahan 2015 yang lebih menarik

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham
Foto : Google

Hari ini saya memulakan rutin seawal 4 pagi. Encik suami juga memulakan tugas di Kota Kinabalu. Gaya hidup baru untuk semua. 

Harith seperti biasa tidak payah bangun awal dan bersiap siaga. Pak mat setia membantu menghantar ke sekolah seawal 6 pagi.

Rutin Najah ditukar ke sebelah petang kerana dia liat bersiap awal. Perlulah mencari alternatif sekolah yang ada sesi petang supaya drama pagi dapat dikurangkan.

Ammar manja bila bangun awal. Perlu dilayan dahulu sebelum memberi saya peluang bersiap.

Azam saya tahun 2016 ialah tidak ponteng tahajud. Semoga istiqamah.



Friday, January 1, 2016

Bercuti ke Damai Beach Resort Kuching, Sarawak

Teks dan foto :  Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Salam tahun baru 2016. Seperti biasa azam setiap hari ialah mahu menulis di sini setiap hari.
Jadual hidup agak sibuk sepanjang cuti sekolah. Banyak perkara perlu diselesaikan mengikut keutamaan.

Selalunya kami ke Kuching melawat keluarga mertua di akhir bulan Disember tetapi tahun ini kami pulang di awal bulan. Cuaca cerah di Kuching kali ini. Biasanya saya pulang, hujan selalu turun. Sebagai orang Miri yang jarang jumpa hujan, saya memang suka suasana hujan di Kuching. Saya rasa agak pelik tahun ini di bulan Disember cuaca cerah. Mungkin cuaca sudah tidak sama seperti dahulu. Disember selalu dikaitkan dengan hujan.

Damai Beach Resort terletak kira-kira setengah jam perjalanan dari bandaraya Kuching. Terdapat Damai Puri Resort and Spa bersebelahan dengan tempat ini. Bagi mereka yang mahu menikmati keindahan Laut Cina Selatan dan Gunung Santubong, bolehlah berkunjung ke sini.