Saturday, August 15, 2015

Merancang majlis ramah tamah syarikat

Teks dan foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Sudah menjadi kebiasaan setiap kali berlalunya Hari Raya, penganjuran majlis ramah tamah diadakan di setiap syarikat tidak kira bersaiz kecil, sederhana atau besar. Seiring dengan keadaan ekonomi semasa, ramai syarikat mengambil langkah penjimatan dalam menganjurkan sebarang majlis. Cukup sekadar mencapai objektif membina jaringan kenalan, sesuatu penganjuran sudah dianggap berjaya.

Beberapa perkara yang sering menjadi fokus dalam penganjuran majlis sebegini.

1) Bajet

Ramai syarikat mengambil langkah mengehad bajet mengikut kadar perolehan syarikat dan keuntungan selepas cukai. Penganjuran yang tidak mengambil kira faktor paling penting ini boleh menggugat bajet untuk perkara yang lebih penting.

2) Tempat

Penganjuran rumah terbuka memerlukan ruang yang luas dan selesa untuk menampung jumlah pengunjung yang ramai dalam satu-satu masa. Keadaan cuaca dan angin monsun semasa juga perlu diambil kira supaya tidak ada pengunjung yang lenjun kebasahan.

3) Konsep

Lazimnya, konsep atau tema yang dipilih sempena perayaan yang disambut perlu selari dengan apa yang sudah dimiliki oleh para pengunjung. Menetapkan satu warna pakaian sahaja seperti warna merah jambu adalah agak sukar untuk diikuti oleh para pengunjung terutamanya pengunjung lelaki.

4) Menu

Pemilihan menu perlu selari dengan susunan tempat duduk. Elakkan menjamu menu berkuah jika susunan kerusi adalah buffet dan jumlah meja adalah terhad. Pilihlah menu yang boleh dimakan tanpa perlu lebih usaha untuk mengguna kedua-dua belah tangan untuk menyuap.

5) Program

Bagi syarikat besar, terdapat bajet tertentu bagi menjemput penghibur bagi memeriahkan suasana majlis. Aturcara gaya santai lebih sesuai untuk bajet yang terhad. Cukup sekadar memainkan lagu-lagu Hari Raya untuk mencipta suasana.

Penganjuran majlis ramah tamah adalah lebih daripada makanan sahaja. Perkataan ramah tamah lebih memberi pengaruh supaya pengunjung yang datang mengambil peluang bertegur sapa, bertukar cerita dan membina jaringan kenalan.

Selamat beramah tamah.




No comments:

Post a Comment