Sunday, August 23, 2015

Merancang sambutan hari lahir yang ringkas

Teks dan foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham


Jadual En. Suami sungguh padat dua minggu ini. Baru sampai dari Kota Kinabalu Sabtu lepas. Isnin pula ke Labuan. Maksudnya cuma ada hari Ahad penuh. 

Harith Fakhruddin tidak pula bertanya apa-apa tentang sambutan hari lahirnya yang ke 9 tahun. Kami sudah membeli hadiah lebih awal minggu lepas dengan bajet RM50. Dia tidak kisah asalkan mainan baru. Bukan mudah mencari hadiah bajet kecil sekarang. Jenuh juga berlegar-legar mencari yang sesuai dari segi teknikal dan komersial. 

Saya ke kedai kek berdekatan sebelum Asar. Mencari kek saiz hirisan kecil dan pastri kegemaran Harith. Sebungkus belon, topi tiga beradik dan lilin.

Pulang ke rumah saya menggunakan tiga bahan untuk latar belakang sambutan.

1) Papan hijau untuk tulisan menggantikan garland khas.

2) Belon dilekatkan di sekitar papan hijau.

3) Bekas kek dua tingkat untuk saya letakkan muffin yang dicucuk lilin dan beberapa jenis pastri di bahagian bawah.

Asalkan ada nyanyian dan foto kenangan. Harith Fakhruddin gembira dan puas hati.

Saturday, August 22, 2015

Ahad 23082015

Teks dan foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Semalam nenek dan atuk HaNaMar datang ke rumah. Tujuan mereka untuk tolong menjolok buah longan di belakang rumah. Faham benar mereka, kalau mengharap orang di rumah ini memang busuklah buah longan terlebih masak. Saya tersengeh saja. Masa saya lebih tertumpu untuk kerja yang lebih penting kepada hal ehwal pakaian kotor.

Pokok longan yang sudah sedia ada semasa kami membeli rumah ini setahun tujuh bulan yang lalu. Sekurang-kurangnya HaNaMar ada kenangan menjolok buah zaman kanak-kanak. Tidak lah hanya memori permainan di pusat membeli belah.

En. Suami hanya akan pulang selepas tengahari. Sempat melayan kehendak mereka mahu berkunjung ke pustaka. Khairil Ammar seronok sungguh bermain di padang permainan. Berbeza dengan abang dan kakaknya yang sudah bosan dan mula mencari permainan yang lebih mencabar.

Esok bermula cabaran baru. Saya mencongak perancangan seminggu. Tunggu dulu. Nikmati hari satu persatu.



Friday, August 21, 2015

Permainan bahasa


Teks dan foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Secara peribadi saya rasa sukar mempelajari bahasa. Terutama memahami peraturan tatabahasa. Saya kagum dengan mereka yang mempunyai kemahiran bahasa yang tinggi. Sehingga kini saya masih cuba memperbaiki penggunaan perkataan.

Harith Fakhruddin gemar dengan permainan Scrabble. Membina perkataan bahasa Inggeris dari beberapa huruf. Cuma situasi agak mencabar apabila Khairil Ammar ingin turut serta.

Selalunya saya tidak sempat untuk duduk dan turut serta. Saya cuma menunjukkan cara untuk merujuk kamus bagi mencari perkataan yang sesuai. Proses ini menjadi kegemaran mereka. Najah Munirah belum boleh membaca kamus tapi sudah boleh diajak meramaikan kuota pemain.


Thursday, August 20, 2015

Jumaat 21082015 - Harith Fakhruddin

Teks dan foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham


Hari ini genap 9 tahun sudah Harith Fakhruddin. Tahun depan tidur di bilik sendiri. Dia setuju tanpa masalah. Masih suka nombor dan kurang sabar. Jenuh kami memikir cara untuk menambah sabarnya. Tidak mengapa. Kita cuba lagi ya anakanda.

Malam tadi dia memesan. Mama, jangan hantar kek ke kelas macam tahun lepas tau.
Saya diam sahaja. Memang saya tidak ada rancangan sebegitu. Mungkin dia malu atau apa saja perasaan budak tahun tiga zaman sekarang.

En. Suami masih di lautan. Maka kita tangguh dulu acara makan kek. Saya tidak pula sibuk memesan kek kali ini. Nanti mama cari alternatif saiz kek yang tidak mengambil ruang peti sejuk.

Harith Fakhruddin,
Semoga terus berusaha bersungguh-sungguh ke jalan Allah.

Monday, August 17, 2015

Merancang Sukan Tahunan Syarikat (1)

Teks dan foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Lazimnya penganjuran sukan tahunan syarikat dilaksanakan untuk memberi peluang kepada pekerja menyerlahkan bakat kesukanan masing-masing. Acara sebegini juga memberi peluang meluaskan jaringan kenalan bagi syarikat berskala besar. Para pekerja dapat berkenalan dengan pekerja lain yang sukar dijumpai atas urusan kerja kerana berlainan bidang.

Perkara yang perlu diambil kira bagi penganjuran acara sukan adalah:
  1. Jumlah peserta yang bakal menyertai
  2. Jumlah kategori sukan
  3. Masa penganjuran
  4. Bajet
  5. Ahli jawatankuasa yang diperlukan
Tanpa perancangan teliti, majlis kejohanan tidak akan dapat dianjurkan dengan lancar dan teratur. 

Bersambung.

Perkhidmatan pengacara majlis di sekitar Miri Sarawak, sila hubungi nurhidayahnazahiyaherham@gmail.com

Sunday, August 16, 2015

Pantai oh pantai

Teks dan foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Semalam, sejak pagi Najah Munirah berzikir bertanya.

Mama, hari ni ada jalan-jalan?

Saya memandang deretan bakul pakaian yang belum berlipat. Pakaian seminggu untuk dua dewasa dan tiga kanak-kanak. Boleh tahan banyaknya. Saya menjawab, boleh jika tolong mama.

Harith Fakhruddin bermula malas. Dia menjawab keletihan. Saya berunding. Jika dia tidak mahu melipat pakaiannya, upah akan beralih kepada Najah yang mahu upah lebih. Harith lebih bersemangat melipat kerana tidak mahu rugi. 

Selesai kerja melipat dan meletakkan  baju ke dalam almari, Najah kembali menuntut janji. 

Ok, selepas solat Asar. 
Jawab saya separuh malas. 

Bersorak mereka tidak sabar untuk keluar menghirup udara luar. Sampai di pantai, kami kecewa kerana pantai agak kotor dengan sisa kayu. Pasti angkara manusia tidak prihatin. Saya memujuk Najah supaya bermain di kawasan pasir yang disediakan.

Sambil melayan mereka bermain, saya teringat video di Facebook. Straw tersepit di dalam hidung penyu. Kesian penyu. Menangis ia. Sampai hati manusia.


Saturday, August 15, 2015

Merancang majlis ramah tamah syarikat

Teks dan foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Sudah menjadi kebiasaan setiap kali berlalunya Hari Raya, penganjuran majlis ramah tamah diadakan di setiap syarikat tidak kira bersaiz kecil, sederhana atau besar. Seiring dengan keadaan ekonomi semasa, ramai syarikat mengambil langkah penjimatan dalam menganjurkan sebarang majlis. Cukup sekadar mencapai objektif membina jaringan kenalan, sesuatu penganjuran sudah dianggap berjaya.

Beberapa perkara yang sering menjadi fokus dalam penganjuran majlis sebegini.

1) Bajet

Ramai syarikat mengambil langkah mengehad bajet mengikut kadar perolehan syarikat dan keuntungan selepas cukai. Penganjuran yang tidak mengambil kira faktor paling penting ini boleh menggugat bajet untuk perkara yang lebih penting.

2) Tempat

Penganjuran rumah terbuka memerlukan ruang yang luas dan selesa untuk menampung jumlah pengunjung yang ramai dalam satu-satu masa. Keadaan cuaca dan angin monsun semasa juga perlu diambil kira supaya tidak ada pengunjung yang lenjun kebasahan.

3) Konsep

Lazimnya, konsep atau tema yang dipilih sempena perayaan yang disambut perlu selari dengan apa yang sudah dimiliki oleh para pengunjung. Menetapkan satu warna pakaian sahaja seperti warna merah jambu adalah agak sukar untuk diikuti oleh para pengunjung terutamanya pengunjung lelaki.

4) Menu

Pemilihan menu perlu selari dengan susunan tempat duduk. Elakkan menjamu menu berkuah jika susunan kerusi adalah buffet dan jumlah meja adalah terhad. Pilihlah menu yang boleh dimakan tanpa perlu lebih usaha untuk mengguna kedua-dua belah tangan untuk menyuap.

5) Program

Bagi syarikat besar, terdapat bajet tertentu bagi menjemput penghibur bagi memeriahkan suasana majlis. Aturcara gaya santai lebih sesuai untuk bajet yang terhad. Cukup sekadar memainkan lagu-lagu Hari Raya untuk mencipta suasana.

Penganjuran majlis ramah tamah adalah lebih daripada makanan sahaja. Perkataan ramah tamah lebih memberi pengaruh supaya pengunjung yang datang mengambil peluang bertegur sapa, bertukar cerita dan membina jaringan kenalan.

Selamat beramah tamah.




Monday, August 3, 2015

Salam Selasa 04082015

Teks dan foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Pejam celik pejam celik kita sudah berada di minggu pertama bulan Ogos. Harith Fakhruddin memesan, esok ada jamuan hari raya di sekolah agama nya. 

Pagi ini dua beradik sarapan roti bakar seawal pukul 5 pagi. Papa dan mama baru bermula berpuasa. Harapnya cukup kuota baki Syawal.

Khairil Ammar masih beradu. Dua tiga hari ini dia yang paling lewat tidur. Entah apa yang mahu dibualkan dan entah lagu apa yang dia nyanyikan. Asalkan bahagia duhai anakanda.

Setengah jam lagi perlu bersiap untuk ke pejabat. Jumpa lagi.




Sunday, August 2, 2015

Salam Syawal

Teks dan foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham.

Masih berbaki hari Syawal. Di sana sini masih kelihatan rumah terbuka. Saya pula sudah menyimpan pakaian hari raya.

Tahun ini giliran beraya di Miri. Hari pertama masa dihabiskan di rumah keluarga. Manakala hari ke dua, kami ke negara sebelah Brunei melawat sanak saudara di sana.

Kami membuka rumah sendiri pada hari raya ke tiga. Seperti dijangka, rakan-rakan tionghua yang lebih ramai kerana mereka agak lapang masa berbanding kawan-kawan muslim yang masih beraya bersama keluarga dan saudara mara masing-masing.

Kami beraya sederhana. Di zaman serba serbi mahal, bajet perlu dalam berbelanja.

Hari raya ke enam, saya sudah kembali ke pejabat.

Hari ini ada pot luck di pejabat. Saya membawa kelupis. Makanan tradisi Sarawak seakan lemang tetapi dibungkus di dalam daun. 


Selamat hari raya.