Thursday, January 9, 2025

Terbaik dari pencipta

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham


Semalam saya pulang sebentar ke kampung ibu. Jarak perjalanan kira-kira 40 minit. Boleh tahan banyak kenderaan di jalan awal pagi Khamis.


Tujuan asal ialah untuk menghantar barang yang akan dijual di jualan garaj anjuran ibu saudara Sabtu nanti. Tetapi saya tidak dapat ikut serta kerana anakanda ada program bersama kawan-kawan.


Sepanjang perjalanan saya mendengar cerita mak uda. Meminjamkan telinga untuk dia berkongsi rasa. Pelbagai emosi hadir.


Saya banyak diam dan bertanya serba sedikit. Memberi pendapat sekadarnya. Di akhir perbualan saya cuma merumus segala luahan sebagai ujian kehidupan.


Mungkin Allah menjawab doa dengan cara berbeza. Cara A yang diharapkan. Cuma mungkin cara B lebih baik untuk hambaNya.


Berdamai dengan takdir untuk lebih tenang menghadapi sisa usia.



From Blogger iPhone client

Wednesday, January 1, 2025

Botol mineral dan plastik

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham


Jam sudah menunjukkan pukul 9.30 malam. Tiba-tiba si bongsu menangis keletihan dan tertekan.

Berpeluh dan marah.

Letih menolak plastik ke dalam lubang botol mineral yang kecil.

Saya menekan butang pengaman udara dan kipas sekaligus.

Saya geram tapi perlu fokus kerana masa sudah suntuk untuk mengomel.

Anak sulung saya kerah supaya membantu mencari plastik dengan lebih banyak.

Anak kedua membebel panjang dan membuat cadangan itu dan ini.

Saya terus menerus meminta semua fokus kerana kita semua perlu tidur awal.

Segala penimbang elektronik, senduk dan lesung batu sudah menjadi alat untuk projek tergempar ini.

Saya bukan ibu ‘helikopter’.

Saya mahu anak-anak belajar berdikari mengurus tanggungjawab.

Mereka perlu mengurus beg, pakaian dan kerja sekolah sendiri.

Jika perlu bantuan, perlu beritahu secara terang apa yang diperlukan.

Setelah bertungkus lumus selama 45 minit.

Akhirnya kami berjaya mengisi 200 gm plastik ke dalam botol mineral saiz 600 ml. Satu lagi botol lebih kecil kami hanya mampu 192 gm sahaja.

Selesai semua barulah semua boleh tidur lena.

Begitulah cabaran kecil tahun baru.






From Blogger iPhone client