Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Bt Erham
"Mama, ada bas bawa budak sekolah". Najah memandang ke arah bas henti-henti berwarna hijau dan putih itu.
"Mungkin bas tersebut membawa murid-murid sekolah harian daripada kampung di bawah bukit sana. Kampung Luak".
"Mereka mungkin bersekolah di bawah bukit sana. Sekolah SM St Joseph". Tambah saya lagi.
"Dahulu ada sebuah perhentian bas di bahu jalan sebelah sana. Tapi sudah dirobohkan dan bas juga sudah tidak mengambil penumpang".
"Mungkin tidak ada permintaan daripada penduduk di dalam kawasan berdekatan. Mereka mungkin sudah mempunyai kenderaan sendiri".
"Semasa mama bersekolah dahulu, situasi juga berbeza. Ramai pelajar harian berjalan kaki dari dalam sekolah ke luar pagar untuk sampai ke perhentian bas tersebut".
"Sekarang mama lihat keadaan sudah berbeza. Rata-rata mereka dijemput ibu bapa dan membawa kenderaan sendiri". Panjang pula ulasan saya pagi ini.
Tiba-tiba Najah bertanya. "Kalau masih ada perkhidmatan bas, adakah kami kena naik bas seperti budak-budak di dalam bas tadi?"
"Mama dahulu pernah naik bas sekejap kerana nenek ada kelas menjahit. Pada masa itu mama belajar berdikari naik bas dua kali untuk sampai ke rumah".
"Pengalaman tersebut berguna ketika mama melanjutkan pelajaran di universiti. Mama lebih yakin dan tidak bimbang". Saya membuat kesimpulan di pagi hari yang sibuk untuk sampai tepat pada masa yang ditetapkan.
Najah diam sahaja dan berlalu ke kelas.
1/8/2024