Wednesday, July 31, 2024

Tentang bas

 Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Bt Erham

"Mama, ada bas bawa budak sekolah". Najah memandang ke arah bas henti-henti berwarna hijau dan putih itu.

"Mungkin bas tersebut membawa murid-murid sekolah harian daripada kampung di bawah bukit sana. Kampung Luak".

"Mereka mungkin bersekolah di bawah bukit sana. Sekolah SM St Joseph". Tambah saya lagi.

"Dahulu ada sebuah perhentian bas di bahu jalan sebelah sana. Tapi sudah dirobohkan dan bas juga sudah tidak mengambil penumpang".

"Mungkin tidak ada permintaan daripada penduduk di dalam kawasan berdekatan. Mereka mungkin sudah mempunyai kenderaan sendiri".

"Semasa mama bersekolah dahulu, situasi juga berbeza. Ramai pelajar harian berjalan kaki dari dalam sekolah ke luar pagar untuk sampai ke perhentian bas tersebut".

"Sekarang mama lihat keadaan sudah berbeza. Rata-rata mereka dijemput ibu bapa dan membawa kenderaan sendiri". Panjang pula ulasan saya pagi ini.

Tiba-tiba Najah bertanya. "Kalau masih ada perkhidmatan bas, adakah kami kena naik bas seperti budak-budak di dalam bas tadi?"

"Mama dahulu pernah naik bas sekejap kerana nenek ada kelas menjahit. Pada masa itu mama belajar berdikari naik bas dua kali untuk sampai ke rumah".

"Pengalaman tersebut berguna ketika mama melanjutkan pelajaran di universiti. Mama lebih yakin dan tidak bimbang". Saya membuat kesimpulan di pagi hari yang sibuk untuk sampai tepat pada masa yang ditetapkan.

Najah diam sahaja dan berlalu ke kelas.

1/8/2024

Sunday, July 28, 2024

Sabtu dan memori zaman sekolah

 Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

"Jom kawan-kawan. Kita jumpa di Cerita Kebaya Sabtu nanti." Ani mengajak semua kawan-kawan perempuan yang boleh dihubungi. Seronok rasa dapat berjumpa kawan-kawan yang sama-sama membesar di sekolah menengah. Meskipun saban hari melihat cerita mereka di media sosial, pasti sekali sekala berjumpa berdepan lebih bermakna terutama usia sudah masing-masing melepasi nombor 40.

"Aku sekarang dah boleh bangun lambat. Tak ada siapa marah." Lily bercerita bersahaja. Kami ketawa besar dengan ruang lapang masa yang sedang dia nikmati setelah lebih 20 tahun berjuang di rantau orang. Bahagia kami berbeza. Tapi semua mencari bahagia seadanya.

"Okay. Aku nak buat pengumuman ni. Hehe. Aku dah pencen awal. Sekarang jadi driver hantar anak sekolah. Cukuplah 18 tahun jadi pekerja. Aku nak buat benda lain pulak." Noni pula bercerita. 

"Eh bila nak habis memilih menu ni?" Sampuk Brenda pula. "Kejap dekat kejap jauh kertas tu kita pegang. Semua dah rabun dekat ya. Hehe. Kita semua dah tua dah. Nak tengok menu pun pening." Semua ketawa besar. Seperti zaman sekolah. Sikit-sikit ketawa ceria. Zaman masalah hanyalah macam mana nak siapkan kerja sekolah.

"Kawan-kawan, aku kena balik dah. Transport dah sampai." Zizi meminta diri. "Jom kita ambil gambar depan tangga sebelum Zizi balik." Jerit Ani. 

Semua bergerak mengambil tempat dan mengabadi kan kenangan setelah 3 jam berjumpa sebentar mengenang masa silam sekolah. Seronok kerana santai. Alhamdulillah.

29/7/2024