Tuesday, June 16, 2020

Cerita pangkat budak sekolah

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

"Tahun ini langsung tidak dapat hadiah" . Keluh NM.  Saya mendengar tanpa balas. "Setiap tahun abang naik pentas dan terima hadiah. Tahun ini tak ada rezeki. Sukan pun tak dapat pingat." Sambung NM seperti tidak mahu berhenti meluah.

"Tidak mengapa lah. Mama dan papa okay saja. Bukan kami marah pun kalau tak nait pentas". Pujuk saya sederhana. "Mesti seronok mama. Tahun ini lima orang dalam kelas kami dapat jadi pengawas tahun depan." NM sedikit cemburu. 

Saya tahu NM berharap benar mahu merasa penting. Ada jawatan. Saya sudah kering idea memujuk. "Tapi kan. Di dalam kelas siapa lagi yang pernah menjual sesuatu?". Saya teringat kisah dia menjual komik yang dia sudah baca separuh harga. Berpeluh saya ketika tahu perkara itu. Bimbang ibu bapa pelajar yang membeli membuat aduan. 

"Tahun ini hasil jualan buku dan komik terpakai saya RM 20." NM menjawab bangga walaupun sifir nya belum habis dihafal. "Tidak mengapa tidak naik pentas okay. Kalau jadi pengawas, nanti kurang masa untuk melukis komik. Pelanggan kan ramai menunggu tempahan siap." 
NM teringat kembali permintaan kawan-kawan nya untuk melukis. 

Saya mengingatkan apa yang dia ada dan tidak ada pada mereka yang selalu naik pentas. NM ceria kembali. Ada perkara yang akan membuat dia sibuk. Saya lega sebentar. Emosi kacau pelajar 9 tahun zaman sekarang. Kompleks juga. 

23/11/2019

Cerita cinta luar biasa

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Kisah cinta. Tekun saya mendengar ibu bercerita. Seingat saya, ketika masih belajar dahulu pakcik D memang sudah sakit. Lama sakitnya. Bertahun keluar masuk hospital. 

Saya mencongak sendiri. Barangkali sudah lebih 20 tahun isterinya, makcik S setia mengurus suami yang sakit kencing manis. Bermula dari sebelah kaki menjadi amputee. Sehinggalah kepada kedua-dua belah sudah tiada.

Ibu bercerita lagi. Beberapa kali mereka melawat pakcik D di wad kecemasan. Beberapa kali juga pakcik D sihat semula. "Wajah pakcik D ceria saja semasa kami melawat minggu lalu". 

Saya berfikir tentang apa yang saya baca sebelum ini. Saya diam saja tanpa komen. Mengikut pemahaman saya, itu satu petanda.
"Seperti biasa makcik S setia menemani pakcik D". Ibu saya menambah lagi.

Minggu ini kami dikhabarkan makcik S pergi mengadap pencipta Nya dengan tiba-tiba. Masalah pada jantung. Sempat memberi pelukan dan ciuman selamat tinggal sebelum dia ditahan di wad sebelah tanpa pengetahuan pakcik D. Kami diam memikirkan pasti pakcik D terasa benar hilang suri hatinya. 

Sehari kemudian kami sekali lagi menerima berita keluarga. Pakcik D menyusul meninggal dunia fana. Sekali lagi kami diam tidak terkata. Sesungguhnya perancangan Allah itu sentiasa yang terbaik untuk hambanya. 

Bersemadilah kedua mereka seperti sebuah kisah cinta yang sangat sederhana tapi penuh makna. Cinta makcik S yang sabar menyantuni suami yang sakit bertahun lamanya. Cerita sabar pakcik D menerima ujian kesihatan sehingga akhir hayatnya. 

Semoga keduanya dirahmati. 
Semoga Allah mengampuni mereka berdua. 

9/11/2019

Cerita pentas

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

"Mama ada cuti?". HF bersungguh mahu saya hadir. "Nanti mama kira berapa hari yang tinggal". Nasib baik berkelana di lautan utara September lalu. Adalah tambahan cuti sehingga hujung tahun nanti.

"Mama hadir sebagai penonton atau tukang sorak?". HF berfikir kurang pasti. Selepas hari raptai baru dia mengesahkan peranan saya hari majlis itu nanti.

Seingat saya, tidak pernah layak hadir majlis sebegini semasa bersekolah dahulu. Pelajar biasa-biasa. Tidak di atas sana. Tidak juga di bawah. Sedang-sedang saja. 

Maka ini kali pertama saya hadir meskipun 5 tahun bersekolah di sini. Lain orang lain cara mereka naik pentas dewan sekolah. Ada kerana acara sukan. Ada kerana bakat. Ada kerana cemerlang akademik.

Ada kerana menang carta kebersihan kelas.  Ada kerana sabar mengawas kawan-kawan yang lain. Rai saja perbezaan kebolehan dan minat. 

Jika semua ikan di dalam akuarium nampak sama warnanya. Maka hilang lah seri seni hidupan akuatik. Cia cia cia... Seronok saya melayan gamelan. 22 tahun dahulu rasanya belum ada alunan muzik tradisional ini. 

Majlis sederhana tanpa perlu hotel mewah. Kipas helikopter ringkas tanpa perlu penghawa dingin berkos selenggara yang tinggi. Mengajar anak-anak erti selesa yang sederhana. Ringkas tapi cukup. 

"Jom mama". Kami pulang segera mengenang cuti saya separuh hari saja. Pelbagai komitmen menanti diselesaikan segera. 

Terima kasih HF. Mama cuma menumpang hadir. 

NNE
2/11/2019

Cerita doa

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Sudah lama saya tidak melayan anak-anak bersiar-siar di dalam mall. Ya, bersiar-siar kerana saya lebih kepada membeli dengan niat maka kurang gemar bersiar-siar. Mohon jangan mencebik 😋.

HF, NM, KA memilih menu masing-masing. Seperti biasa saya akan mencari apa yang ada di dalam beg. Kertas kecil saya beri seorang sehelai. Itu tips supaya mereka bertenang dan kurang isu untuk bergaduh. Ada yang menulis, ada yang melukis dan ada yang melipat origami.

'Beli biskut nenek ya cu' . Tiba-tiba wanita lebih berumur dari ibu saya datang menjual biskut. Saya pandang biskut yang ada di dalam plastik biru itu. Empat bekas semuanya. Saya bayar saja. Mudah-mudahan boleh dia pulang awal berehat di rumah. 

Wang baki saya minta beliau simpan saja. 'Doakan kami semua sihat ya nek' . Beliau mengangkat tangan berdoa. Kami semua aminkan saja. Sempat dia berpesan supaya belajar bersungguh-sungguh kepada mereka bertiga yang terpinga-pinga. 

'Mama, kenapa kita minta nenek itu berdoa'. Saya tidak tahu jawapan yang betul. 'Doa orang yang susah dari kita mungkin lebih mustajab'. Itu saja idea saya waktu itu. 

Makanan yang dipesan juga sudah siap sampai. 
KA yang selalu mengelat membaca doa makan juga membaca dengan tenang kali ini. 

NNE
26/10/2019