Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham
"Tahun ini langsung tidak dapat hadiah" . Keluh NM. Saya mendengar tanpa balas. "Setiap tahun abang naik pentas dan terima hadiah. Tahun ini tak ada rezeki. Sukan pun tak dapat pingat." Sambung NM seperti tidak mahu berhenti meluah.
"Tidak mengapa lah. Mama dan papa okay saja. Bukan kami marah pun kalau tak nait pentas". Pujuk saya sederhana. "Mesti seronok mama. Tahun ini lima orang dalam kelas kami dapat jadi pengawas tahun depan." NM sedikit cemburu.
Saya tahu NM berharap benar mahu merasa penting. Ada jawatan. Saya sudah kering idea memujuk. "Tapi kan. Di dalam kelas siapa lagi yang pernah menjual sesuatu?". Saya teringat kisah dia menjual komik yang dia sudah baca separuh harga. Berpeluh saya ketika tahu perkara itu. Bimbang ibu bapa pelajar yang membeli membuat aduan.
"Tahun ini hasil jualan buku dan komik terpakai saya RM 20." NM menjawab bangga walaupun sifir nya belum habis dihafal. "Tidak mengapa tidak naik pentas okay. Kalau jadi pengawas, nanti kurang masa untuk melukis komik. Pelanggan kan ramai menunggu tempahan siap."
NM teringat kembali permintaan kawan-kawan nya untuk melukis.
Saya mengingatkan apa yang dia ada dan tidak ada pada mereka yang selalu naik pentas. NM ceria kembali. Ada perkara yang akan membuat dia sibuk. Saya lega sebentar. Emosi kacau pelajar 9 tahun zaman sekarang. Kompleks juga.
23/11/2019