Tuesday, March 8, 2016

Terapi pagi

Teks: Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Saya tak suka ikut 'main road'. Setelah menghadapi pagi yang selalunya terasa panjang walaupun hanya sejam. Biasalah mak-mak macam saya. Macam-macam dah berlaku di rumah seawal 5 pagi.

Jalan alternatif yang kecil selalunya jadi pilihan saya. Sebabnya saya rasa serabut tengok pemandu yang selalu emosi tak stabil dan jiwa kacau memandu di jalan utama. 

Sambil tengok anjing liar tidur.
Sambil mengelak pemandu motosikal.
Sambil tengok semak samun.
Sambil tengok pokok dan burung.
Sambil tengok peniaga tepi jalan.
Sambil tengok penunggang basikal berhenti tepi jalan memberi laluan kepada kenderaan berat.

Tuhan mengajar kita dalam banyak cara. Cuma perlu lihat dan analisis dengan mata hati.

Penunggang basikal lebih tenang jiwanya dari pemandu kereta besar di jalan utama.

Itu terapi saya. Anda bagaimana?

Monday, March 7, 2016

Kisah pagi Selasa

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Saya tak siap lagi buat bekalan sekolah. Si bongsu Ammar sudah menangis bangun lebih awal dari biasa. Dalam hati sempat berkira-kira masa. Habis lah lambat keluar rumah nampaknya.

Saya pujuk tapi tak reda juga tangisannya. Saya yang berkulit biasa ni dah bertukar warna menjadi hijau umpama Encik Hulk. Rupanya nak dukung dan bermanja. Alahai alahai...kita tak cukup masa ni anakanda. Nanti lambat pula si abang ke sekolah.

Saya tarik nafas panjang dan sedut aroma masam si bongsu dalam-dalam. Tiba-tiba warna kulit saya bertukar daripada hijau kepada warna asal. 

Saya pujuk diri, kalau pun si abang lambat hari ini. Saya nak ajar dia realiti hidup ni tak semua benda sempurna. Kita hidup bermasyarakat. Kalau kita jenis nak sentiasa awal. Mungkin ada orang tak macam kita. Toleransi pada keadaan sekeliling akan menyebabkan kita lebih tenang-tenang saja.

Masa tinggal setengah jam sebelum ujian progresif bermula. Tak apalah abang ya, nanti dah besar mungkin kita kena buat 'impromptu speech'. Getaran rama-rama pada abdomen itu lebih kurang rasanya. Saya bersiap seperti biasa sambil hati berdoa dipermudahkan perjalanan.

Abang selamat sampai ke sekolah 7 minit sebelum bermula. Sempat salam cikgu-cikgu. Saya agak sempatlah bertenang sebelum mula ujian. Saya pun sempat dapat parking maharaja di pejabat. Tahap maharaja kerana kalau hujan, sekadar berlari gaya itik tak lah lencun tanpa payung.

Selamat menjawab soalan periksa anakanda sekalian.