Saturday, February 28, 2015

Taman permainan dalam bangunan di Miri - Kids World

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Hampir setiap hujung minggu kami membawa anak-anak ke Permaisuri Mall, Miri. Tempat letak kereta yang lebih teratur adalah salah satu faktor yang menyebabkan kami lebih suka ke sini. 

Terdapat sebuah taman permainan kanak-kanak di tingkat paling atas bangunan. Bayaran RM5.00 tanpa had masa adalah sangat murah jika dibandingkan dengan tempat sedemikian di Kuala Lumpur. Pernah kami membayar RM30.00 seorang untuk kemudahan taman yang lebih kecil saiznya.

Jika ingin bermain permainan lain seperti kereta api di kawasan luar, hanya perlu menambah caj sebanyak RM5.00 juga. Satu alternatif ketika hari hujan dan tidak dapat bersantai di luar bangunan.


Thursday, February 26, 2015

Melawat Brunei Darussalam (2)

Teks dan foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Sesampai di hotel, anak-anak kecewa kerana tiada tab mandi. Saya memujuk mereka dengan kolam renang hotel. Saiz kolam agak kecil namun banyak kerusi santai disediakan di sekeliling kolam.

Sangat sesuai untuk berehat. Kerusi ala katil juga disediakan untuk pengunjung yang mahu memejamkan mata.

Jika perut terasa lapar, tekan saja loceng untuk memanggil pelayan restoren yang terletak bersebelahan dengan kolam. Saya memesan minuman panas dan char kue tiaw untuk mengalas perut. 


Kolam di Radisson Hotel, Brunei Darussalam.

Bersambung...

Monday, February 16, 2015

Melawat Brunei Darussalam (1)

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Encik Suami sudah awal- awal memberitahu saya bahawa tahun ini beliau agak sukar memohon cuti. Maklumlah sebagai orang baru, masih banyak yang perlu beliau belajar di tempat kerja.
Oleh itu, saya tidak membuat sebarang perancangan cuti yang memerlukan kami memohon cuti tahunan. Kami cuma bercuti ke negara jiran. Brunei Darussalam.
Kami bertolak setelah tengah hari. Maklumlah saya baru mula mengemas pagi hari yang sama. Keadaan trafik sangat lancar. Barisan di Imigresen juga pendek saja untuk ke Brunei. Namun seperti biasa barisan kereta ke Miri sangat panjang. 
Kami tidak berhenti di mana-mana kerana mahu cepat sampai ke Bandar Seri Begawan, ibu negara Brunei. Anak-anak sudah mula berzikir sejak perjalanan memasuki satu jam setengah.

Jauh lagi ke mama, tanya Najah Munirah.

Kita nak pergi mana ni mama, tanya Harith Fakhruddin.

Aaa aaa aaaaaa laung Khairil Ammar.

Zikir mereka semakin kerap dan bingit setelah 2 jam dalam keadaan statik.

Saya memberi makanan untuk menghilangkan kebosanan mereka.
Akhirnya kami tiba di Radisson Hotel kira-kira pukul 2 petang.

Bersambung...


Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin. Kubahnya diperbuat daripada emas.