Sunday, May 21, 2017

Hari Ibu 2017

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham
Foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Dua minggu lepas ramai yang menyambut hari ibu. Saya tidak ambil kisah sangat kerana setiap hari pun perlu menjadi ibu. Beza nya saya perlu bekerja ke luar kawasan selama tiga hari. Pada mulanya sukar untuk membuat keputusan. Nasib saya baik kerana Encik Suami dapat memohon bekerja dari luar kawasan. Polisi kerja beliau yang tidak ada di syarikat saya.

Saya membuat persediaan terperinci sebelum bertolak. Pelbagai nota ditinggalkan untuk suami. Pagi sebelum bertolak ke Labuan, saya bangun seawal jam 3 pagi untuk menyediakan sarapan dan bekalan sekolah. Jam 5 saya sudah berada di lapangan terbang. Sungguh kelam kabut rasanya kerana saya sudah lupa banyak prosedur penerbangan.

Selama 3 hari saya mempunyai masa untuk duduk bertenang setelah pulang dari pejabat. Makan bersama kawan-kawan tanpa ada gangguan. Berjalan kaki di awal pagi sambil menikmati pemandangan. Nikmat masa bersendiri. Itu hadiah sambutan hari ibu saya pada tahun ini. Tidak disengajakan dan atas tuntutan kerja. Anak-anak juga gembira kerana peluang bersama papa lebih 3 hari berbanding minggu biasa. Semua gembira. Itu yang utama.

Bukan mudah menyusun masa untuk pasangan suami isteri yang bekerja sepenuh masa dan tidak mempunyai pembantu rumah. Bukan tidak mahu ada pembantu, cuma selalu dapat yang tidak serasi. Lain kali ada masa bercerita tentang pembantu rumah. Pembantu kami sudah pulang sebelum cuti Tahun Baru Cina tahun ini. Saya lebih tenang tetapi lebih penat. Tidak mengapa. Kita tidak dapat apa yang kita mahu. Mungkin itu yang kita perlu.

Salam Ahad sebelum Ramadhan.

Saturday, April 15, 2017

Staycation sambutan hari jadi yang ke 7

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham
Foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Tahun ini Najah Munirah sudah 7 tahun. Ulang tahun nya pada awal bulan lepas. Kami memberi pilihan sama ada mahu majlis di rumah atau hanya kek sahaja tetapi staycation di dalam kawasan Miri. Dia memilih staycation. Bukan dia beria sangat tentang staycation tersebut. Tetapi lebih kepada kolam mandi di hotel.

Kami bermalam di hotel dan keesokan paginya rutin seperti biasa. Bagus juga begitu. Tidak mama penat mengemas. Orang lain yang tidak menyambut hari jadi juga boleh tumpang kaki mandi kolam dan lari dari rutin. Sudah darjah satu. Paling rajin menolong mama mengemas. Semoga rajinnya sampai dewasa ya Najah Munirah sayang.

Aviax Aviation, Shah Alam

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham
Foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Salah satu destinasi percutian kami pada cuti sekolah bulan Mac yang lalu ialah Aviax Aviation. Kami mengetahui tentang tempat ini melalui satu video yang disediakan oleh portal terkenal. Kalau tak silap, The Vocket. Sebelum sampai, Encik Suami menelefon untuk mengesahkan tempat itu buka pada hari tersebut. Tempat ini berada di dalam U8 shopping mall.

Semasa kami sampai, pintu tutup dan berkunci. Sekali lagi kami menelefon. Rupa-rupanya pilot bertugas sedang solat Asar. Barulah kami tahu, pilot sebenar yang akan mengajar simulasi penerbangan. Terdapat kerusi kapal terbang di susun. Kami sekeluarga memilih slot setengah jam iaitu RM 150. Tetapi disebabkan pilot bertugas seronok melayan soalan Encik Suami, slot kami berakhir selepas sejam di dalam cockpit.

Seperti biasa, saya bertindak mengambil video, gambar dan mengawal Khairil Ammar yang bosan di dalam cockpit. Dia lebih berminat dengan model kapal terbang yang terdapat di luar cockpit. Pengalaman di Aviax sangat berharga terutama untuk En. Suami yang faham penerangan terperinci pilot. Harith Fakhruddin agak letih kerana mungkin simulasi tersebut sangat bersifat pendidikan tahap menengah ke atas.

Secara keseluruhan, Aviax Aviation sangat selesa untuk aktiviti sekeluarga. Terdapat makanan dan minuman ringan disediakan untuk anak-anak yang lapar menunggu penerbangan selesai. Menurut pekerja di situ, setiap hari terdapat pelajar yang mengambil kelas penerbangan. Satu alternatif kelas tambahan.

Saturday, April 8, 2017

The Box Chalet, Langkawi

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham
Foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Saya masih berhutang entri tentang percutian kami ke Langkawi di penghujung November tahun 2016. Percutian keluarga yang meriah kerana saya membawa kedua ibu bapa dan ibu saudara, manakala suami membawa ibu mertua dan 2 orang kakak. Sengaja membawa semua orang kerana percutian sebegini adalah cara paling mudah untuk berkumpul bersama.

Disebabkan cuti saya diluluskan agak lambat, maka agak sukar mencari tempat menginap yang sesuai untuk keluarga kami. Paling kurang perlu 4 bilik untuk keselesaan semua ahli keluarga. Suami berjaya mendapatkan tempat yang sesuai iaitu The Box Chalet. Kami menyewa 4 bilik yang setiap satu mempunyai tandas dan bilik mandi sendiri. Satu kriteria yang paling penting saya kira.

Tempat ini terletak di Padang Matsirat yang bersuasana kampung, Pemilik tempat ini ialah pasangan suami isteri yang sangat peramah. Suasana kampung yang tenang begini sangat sesuai untuk saya yang mahu bertenang dari kesibukan rutin bandar dan kerja di pejabat. Namun demikian, agak membosankan untuk ibu dan ibu saudara saya yang suka membeli belah.

Saya juga suka apabila anak-anak bosan dengan ketiadaan kolam dan hiburan kerana tidak terdapat televisyen di dalam bilik. Cuma satu televisyen berada di ruang menonton. Pada pendapat saya, kebosanan membuat mereka lebih kreatif. Mereka mula bermain disebalik pokok bunga dan menghitung batu-batu kecil.
Cuma tempat ini juga kurang sesuai untuk anak-anak saya masih sukar dikawal tahap kebisingan mereka. Letih saya mengawal kadar desibel suara mereka dan suara saya sendiri.

Saturday, March 25, 2017

Lexus Service Suite @ Times Square, KL

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham
Foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Kami baru sahaja pulang dari bercuti seminggu di Kuala Lumpur. Kali ini kami tinggal di atas Berjaya Times Square. Saya akan kongsikan pengalaman kami sekeluarga di sana.

Servis
  • Tidak mempunyai lobi. Semua urusan perlu dilakukan melalui telefon. Pembayaran juga perlu dibuat tunai kerana pekerja bergerak dari bilik ke bilik tanpa kemudahan mesin.
  • Pembersihan bilik dilakukan setiap hari.

Fasiliti
  • Kami menyewa suite 2 bilik yang mempunyai ruang tamu, 2 televisyen, 2 bilik mandi, sebuah tab mandi dan dapur ringkas.
  • Sebuah katil queen di dalam master bedroom, 2 buah single di dalam bilik bersebelahan, sebuah katil single di ruang tamu. Sangat selesa untuk kami 5 sekeluarga.
  • Kolam berada di tingkat 15. Sekuriti yang menjaga agak tegas. Kanak-kanak hanya dibenarkan di kolam kecil. Harith dan Najah agak bosan kerana mereka pandai mengapungkan diri di kolam sederhana dan boleh berenang asas.
  • Parking agak murah tetapi agak terhad kerana berkongsi dengan pelawat ke mall.

Kelebihan
  •  Berdekatan dengan taman tema indoor Berjaya Times Square. Sesuai untuk aktiviti cuaca panas.
  • Pilihan membeli belah dan tempat makan yang banyak.
  • Kemudahan monorail ke stesyen berdekatan.

Bagi percutian pendek dan perlu penjimatan masa, kami berpuas hati dengan tempat ini. Bersih dan sangat selesa.

Thursday, February 16, 2017

Majlis hari jadi ke 3 tahun

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham
Foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Minggu terakhir bulan lepas, kami mengadakan majlis sambutan kelahiran ke 3 tahun Khairil Ammar di rumah percutian orang tuan saya di kampung. Sengaja mahu memudahkan saudara mara untuk turut serta.

Saya memilih hiasan pakai buang yang mudah didapati dari Mr DIY. Hampir semuanya berwarna biru. Si abang secara sukarela mahu menjadi jurucakap dan membaca doa. Kami iyakan saja untuk memberi peluang mengasah bakat pengucapan awam. Bermula dari majlis kecil di rumah.

Semoga membesar menjadi soleh dan sihat anakanda Ammar.

Saturday, January 7, 2017

Merancang majlis hari jadi kanak-kanak 10 tahun

Teks : Nur Hidayah Nazahiyah Erham
Foto : Nur Hidayah Nazahiyah Erham

Assalamualaikum dan Salam Tahun Baru 2017. Sudah lama saya tidak menulis di sini. Pelbagai perkara berlaku dan saya akan cuba untuk menulis lebih kerap tahun ini. Bulan Ogos adalah bulan kelahiran Harith Fakhruddin. Disebabkan kesibukan tugas pejabat, saya tidak membuat apa-apa perancangan terperinci. Kek saya beli apa yang sudah siap sahaja. Tiada perician seperti sebelum ini.

Harith mahu kek sempena bulan kemerdekaan. Ya. Dia agak patriotik. Sudah pasti saya tidak dapat membeli kek siap yang ada ciri-ciri bendera. Maka saya beli bendera yang boleh di letak di atas meja. Semuanya saya beli apa yang ada di kedai serbaneka. Lapis meja, banner hiasan dan sedikit permainan.

Kami pulang sebentar ke kampung untuk menyambut majlis kecil ini. Cara paling mudah untuk mengumpul ahli keluarga ialah kita sendiri pergi ke tempat mereka. Kami mulakan majlis dengan meminta Harith Fakhruddin membuat ucapan. Ini adalah latihan pengucapan awam tanpa latihan. Penting sebagai kemahiran hidup. Tidak semua perkara kita boleh berlatih dengan intensif. Kami juga meminta dia sendiri membacakan doa selamat dan doa makan.

Selesai majlis potong kek dan bergambar, majlis seperti biasa disudahi dengan makan tengahari, bersosial bersama keluarga dan bermain permainan bersama sepupu seusia. Semoga anakanda Harith Fakhruddin baik-baik saja. Solat sentiasa, mendengar kata dan rajin berusaha. Selamat ulangtahun ke 10 sayang mama.